Cari:
Sima Xiangru: Penyajak yang Berbakat Besar (6)
2009-05-20 15:08:01 CRI Cetak
Pada masa itu, Permaisuri Chen telah dilucutkan gelarannya sebagai permaisuri oleh sebab memurkakan baginda. Jadi, baginda permaisuri itu terpaksa pindah ke Istana Changmen dan tinggal bersendirian. Selepas diberitahu tentang keadaan Permaisuri Chen yang hidup dalam kesepian itu, Sima Xiangru telah menghasilkan sajak "Changmen" yang menggambarkan perasaan permaisuri yang tidak disayangi lagi oleh sesiapa pun ketika itu dengan gambaran yang cukup hidup. Kata-kata yang digunakan dalam sajak tersebut menggambarkan perasaan karyawan yang begitu halus dan sensitif, dan menimbulkan rasa risau di hati pembaca. Ketika membaca sajak itu, Permaisuri Chen amat terharu dan terus menangis.

Baginda juga berasa sedih selepas membaca sajak itu dan tidak murka lagi terhadap permaisurinya. Baginda memutuskan untuk mengembalikan gelaran dan kedudukan isterinya sebagai permaisuri.

Sajak "Changmen" segera tersebar luas dalam kalangan rakyat dan diiktiraf sebagai contoh sajak yang amat berpengaruh kepada sajak-sajak yang berlatarbelakangkan kehidupan dalam istana yang dihasilkan pada masa berikutnya.

Pada suatu ketika, Raja Wu merancang untuk berburu lagi di kawasan sekitar Changyanggong dan meminta Sima Xiangru mengiringi baginda. Sima Xiangru berasa kecewa kerana baginda tidak menerima kritikannya yang terdapat dalam sajak "Shanglin" dan membaiki gaya hidup baginda. Sebaliknya, baginda semakin ghairah untuk berburu dan mengatur upacara berburu yang semakin mewah. Maka, Sima Xiangru memutuskan untuk menulis sepucuk surat yang secara langsung memujuk baginda untuk menghentikan aktiviti berburu itu.

Sima menyatakan bahawa jika ditinjau dari segi keselamatan peribadi baginda, berburu di tempat-tempat yang curam dan berbahaya memang tidak sesuai. Jika bertemu haiwan yang ganas pula, baginda akan menghadapi bahaya yang dahsyat. Menurut beliau, ketika berjalan-jalan di tempat biasa pun, kita mungkin ditimpa kemalangan apalagi jika berburu dan menunggang kuda dengan memecut di hutan tebal dan bukit-bukau. Kemalangan tentu banyak yang menanti.

Raja Wu yang sangat teruja ketika bersiap untuk bertolak ke kawasan hutan itu, segera hilang minatnya selepas membaca surat tersebut. Baginda menjadi marah dan mahu memecat Sima Xiangru yang mengganggu rancangan baginda untuk berburu. Namun, baginda sempat bersabar dengan segera dan kemudian menjadi tenang kerana menganggap pendapat Sima Xiangru itu ada benarnya. Baginda amat menghargai keikhlasan dan kesetiaan Sima Xiangru terhadap kerajaan Han dan tanah air, lalu baginda menerima pendapat beliau, iaitu tidak berburu lagi supaya menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan beban rakyat yang terpaksa menyediakan kemudahan untuk meraikan baginda apabila baginda berburu.

Tidak lama selepas itu, Sima Xiangru dilantik sebagai pegawai yang bertanggungjawab untuk menangani urusan di kawasan makam. Jawatan itu amat memudahkan Sima Xiangru untuk berkarya kerana kerja-kerja yang perlu ditanganinya tidak begitu banyak. Sima Xiangru dapat menikmati masa lapang yang mencukupi ketika menyandang jawatan tersebut dan berjaya menghasilkan beberapa buah karya seperti sajak "Wanita Cantik", sajak "Orang Besar", sajak "Persembahan Makam di Luar Kota" dan "Lagu Qin".

Ketika bertugas sebagai pegawai yang menangani urusan di kawasan makam, Sima Xiangru pernah berjalan melalui Istana Yichun, dan Taman Yichun yang terletak di sebelah timurnya.  Raja kedua dari Dinasti Qin telah dikebumikan di Taman Yichun yang telah usang dan rosak itu kerana sudah terbiar begitu lama. Kuburnya kelihatan amat biasa dan susah dibayangkan itulah makam seorang raja.

Ketika mengimbas kembali kejatuhan kuasa Dinasti Qin yang hanya sempat bertahan selama dua generasi sahaja itu, Sima Xiangru berasa resah dan cuba menimba pengalaman daripada keruntuhan kuasa tersebut dengan menghasilkan sajak "Takziah kepada Raja Kedua Qin".

----DAZHONG

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China