Dalam ruangan kali ini, saya akan hidangkan lagu-lagu yang dipersembahkan oleh biduan etnik Mongol, Ari Bujie.
Sebagai hidangan pertama, marilah kita bersama-sama menikmati lagu yang berjudul "Dataran Tinggi Mongol yang Berwarna Biru", persembahan Ari Bujie. Lirik lagunya, antara lain berbunyi "Dataran Tinggi Mongol yang berwarna biru, berilah harapan kepadaku. Sejak zaman silam hingga kini, engkau menjadi kepercayaan, yang tak mungkin padam bagiku. Rasa cinta dan harapan baik kucurahkan kepadamu."
Ari Bujie dilahirkan dalam sebuah keluarga penggembala di Wilayah Autonomi Mongolia Dalam pada tahun 1941. Beliau mula menyanyi sejak kecil dan dipilih menjadi seorang penyanyi dalam Kumpulan Kesenian Daerah Tentera Mongolia Dalam ketika berumur 17 tahun. Kemudian, beliau dihantar masuk ke Kumpulan Penyanyi dan Penari Jabatan Politik Umum Tentera Pembebasan Rakyat China dan Institut Drama Shanghai untuk mempelajari bidang muzik. Pada tahun 1969, Ari Bujie dipilih lagi untuk menjadi penyanyi solo bagi kumpulan kesenian pasukan tentera di Beijing.
Selepas menyertai persembahan selama beberapa tahun, gayanya menyanyi menjadi bertambah istimewa kerana beliau telah berjaya menggabungkan ketrampilannya sebagai seniman lagu rakyat dengan bel canto yang digunakannya ketika menyanyi. Lingkuangan suaranya luas dan vokalnya agak besar. Seterusnya, silalah nikmati lagu yang berjudul "Khemah yang Berwarna Perak" yang dinyanyikan Ari Bujie. Lagu ini bercirikan etnik Mongol dan menggambarkan rasa cinta dan sentimental terhadap padang rumput.
Ari Bujie sebagai penyanyi pasukan tentera, selalu pergi ke kem untuk menyanyikan lagu-lagunya kepada tentera di situ. Persembahannya mendapat sambutan hangat daripada tentera, baik yang sedang menjalankan tugas di hutan, mahupun di padang pasir, dataran tinggi atau di pulau. Dalam masa lebih 50 tahun, Ari Bujie yang sentiasa berusaha dengan gigih dalam bidang kegemarannya ini, berjaya menghasilkan album yang berjudul "Rindu kepada Kampung Halaman", "Memuji Padang Rumput", "Kudaku" dan "Kebahagiaan di Padang Rumput". Beliau juga telah mengadakan konsert nyanyian solo beberapa kali. Buat masa ini, Ari Bujie telah bersara tetapi masih bertugas sebagai pemimpin kumpulan paduan suara bukan profesional. Beliau berharap dapat terus menyumbangkan tenaganya kepada usaha mewariskan muzik etnik China dan mengembangkan kesenian Mongol.
Berikutnya, marilah kita bersama-sama menikmati lagu yang berjudul "Pelana Berukir Corak Bunga". Lirik lagunya, antara lain berbunyi "Ketika aku masih bayi, aku diletakkan dalam buaian yang ajaib. Sebuah pelana berukir corak bunga menemaniku sepanjang tempoh kecilku. Aku tak kan lupakan buaian itu walaupun aku sudah dewasa. Pelana itu akan diwariskan turun-temurun di padang rumput".Akhir sekali saya akan menghidangkan lagu yang berjudul "Gada Meiren" yang dinyanyikan Ari Bujie.