Cari:
Li Qingzhao, Sasterawan Wanita Terkenal dalam Sejarah China
2009-05-27 13:48:45 CRI Cetak
China pada zaman purba merupakan masyarakat yang hanya mengutamakan hak kaum lelaki, manakala kedudukan kaum wanita sangat rendah. Dalam bidang kesusasteraan, hampir kesemua pencapaian dimonopoli oleh kaum lelaki. Walaupun demikian, pada abad ke-11 di China telah muncul seorang sasterawan wanita Li Qingzhao yang terkenal dalam sejarah China.

Li Qingzhao dilahirkan pada tahun 1084 dalam sebuah keluarga yang termasyhur. Bapanya Li Gefei merupakan seorang sasterawan yang ternama pada masa itu, ibunya juga merupakan seorang intelektual. Ini menyebabkan Li Qingzhao berpeluang mempelajari pengetahuan kesusasteraan dan menulis sajak semasa kanak-kanaknya. Sajak yang ditulis oleh Li Qingzhao semasa beliau berusia 11 tahun telah mendapat pujian daripada bapa dan bapa saudaranya.

Li Qingzhao berkahwin semasa berusia 18 tahun dengan Zhao Mingcheng, seorang ahli epigrafi yang tersohor. Epigrafi merupakan ilmu yang mengkaji ukiran perkataan pada barangan tembaga dan batu, maka ahli epigrafi juga merupakan sasterawan dan ahli sejarah yang mempunyai pengetahuan luas terhadap perkataan purba. Li Qingzhao mempunyai minat yang sama dengan suaminya. Mereka telah menggunakan banyak masa dan wang untuk membeli, menyimpan dan membaca buku. Di rumah mereka, belasan buah bilik digunakan untuk menyimpan buku. "Catatan Epigrafi" yang ditulis bersama-sama oleh Li Qingzhao dan suaminya yang merupakan sebuah karya keilmuan epigrafi yang penting dalam sejarah China.

Li Qingzhao hidup pada zaman Dinasti Song China. Pada masa itu, kerajaan Dinasti Song sentiasa diceroboh oleh Negeri Jin, sebuah negeri etnik minoriti di utara kerajaan Dinasti Song. Ini mengakibatkan pemerintahan kerajaan Dinasti Song tidak stabil. Pada tahun 1127, tentera Negeri Jin telah menawan Bandar Bianliang yang dikenali sebagai Kaifeng pada masa ini yang merupakan ibu negara Dinasti Song, sejumlah besar pelarian melarikan diri ke bahagian selatan China termasuklah keluarga Li Qingzhao. Disebabkan itulah, sajak yang ditulis oleh Li Qingzhao pada masa sebelum dan selepas keluarganya melarikan diri ke bahagian selatan adalah sangat berbeza. Pada masa sebelum keluarganya melarikan diri ke bahagian selatan China, kehidupan keluarganya stabil dan tenang, maka gaya penulisan sajak Li Qingzhao lebih tulen, bersemangat dan ceria. Akan tetapi, sajak yang ditulisnya selepas keluarganya melarikan diri ke bahagian selatan China memperlihatkan perasaan sayu, pilu dan sedih disebabkan kehidupan keluarganya yang mengalami banyak kesukaran dan tidak stabil.

Sajak-sajak yang ditulis oleh Li Qingzhao bertaraf tinggi dari segi kesusasteraan walaupun sajak-sajak beliau yang dikekalkan sampai sekarang tidak begitu banyak. Li Qingzhao pandai menggambarkan pemandangan alam yang indah untuk meluahkan perasaannya yang cinta akan alam dan hasrat percintaan dalam sajak yang ditulisnya. Selain itu, beliau juga sentiasa menulis sajak untuk mengutarakan rasa unik yang dialami oleh hati dan sanubarinya. Sajak yang ditulis oleh beliau seperti "Yang hijau menjadi gemuk dan yang merah menjadi kurus" yang seakan-akan hidup telah menggambarkan daun pokok yang hijau dan bunga yang merah selepas hujan lebat. Manakala sajak "Tirai ditiup angin barat, orang lebih layu daripada bunga kuning" yang ditulisnya telah menggambarkan kelayuan seseorang. Sajak-sajak terkenal tersebut disukai dan sentiasa dipetik oleh rakyat China.

Li Qingzhao telah memperoleh pencapaian yang tinggi dalam seni penulisan sajak dan menempati kedudukan yang tinggi dalam sejarah kesusasteraan China. Beliau sentiasa menggambarkan suasana dalam kehidupan seharian atau alam untuk membentangkan perasaan hatinya, misalnya sajak yang ditulisnya "Pemandangan masih kekal, manusia entah ke mana pergi, kesemuanya telah berkesudahan, air mata menitis belum berucap" dan "Perahu kecil tidak mampu memuat kesedihan yang sarat" merupakan sajak-sajak yang termasyhur dan disanjung tinggi oleh generasi yang sudah-sudah.

Sajak yang ditulis oleh Li Qingzhao semasa beliau berusia lanjut telah memperlihatkan jiwa patriotik beliau. Sajak "Hidup adalah elit dan mati adalah pahlawan" yang ditulis oleh beliau sentiasa dipuji dan dipetik oleh orang ramai dalam sejarah malah pada masa sekarang. Sajak-sajak yang ditulis oleh beliau telah melahirkan pengaruh yang besar dalam perkembangan kesusasteraan China.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China