"Pinggir Air" merupakan novel berbabak yang pertama yang mengisahkan mengenai pemberontakan kaum tani di China. Novel ini mendapat sambutan baik dari kalangan rakyat selama ratusan tahun. Setiap anggota keluarga dalam masyarakat China sudah masak dengan watak seramai 108 orang pahlawan yang menetap di Gunung Liang yang dikisahkan dalam "Pinggir Air".
Jin Shengtan, pengkritik sastera yang terkenal pada zaman Dinasti Qing, iaitu kira-kira 400 tahun yang lalu, berpendapat bahawa "Pinggir Air" ialah sebuah buku fiksyen yang paling menarik di seluruh dunia.
Cerita yang berliku-liku yang digambarkan oleh "Pinggir Air" berlaku pada penghujung Dinasti Song Utara, iaitu lebih 1,000 tahun yang lalu. Masyarakat China sering berhadapan dengan rusuhan ketika itu dan rakyat menderita akibat rasuah yang menjadi-jadi di kalangan pegawai dan kerap berlaku pemberontakan petani di seluruh negara.
Di Provinsi Shandong, bahagian timur China, sekelompok pemberontak yang terdiri daripada 36 orang anggota diketuai oleh Song Jiang mencetuskan pemberontakan petani. Mereka menimbulkan huru hara dan merompak golongan kaya. Hasil rompakan itu dibahagi-bahagikan kepada golongan miskin yang selama ini hidup tertindas. Pemberontak yang bermaharajalela itu amat menakutkan golongan pegawai yang makan rasuah kerana bimbang harta kekayaan milik mereka dirompak pada bila-bila masa. Sebaliknya, rakyat jelata berasa riang gembira kerana kumpulan pemberontak membantu mereka mengatasi kekurangan yang dihadapi terutama bahan makanan.
Kumpulan pemberontak pimpinan Song Jiang itu berjaya menumbangkan satu persatu pasukan kerajaan yang sering menggempur kubu-kubu pemberontak. Lama-kelamaan, kumpulan pemberontak menjadi semakin kuat dengan tenaga penggeraknya bertambah kepada 108 orang anggota. Mereka akhirnya menduduki pinggir air di sekitar Gunung Liang dan mendirikan markas di gunung tersebut. Kesemua 108 orang anggota kumpulan itu masing-masing mempunyai watak yang unik dan kehebatan yang luar biasa.
Novel berbabak "Pinggir Air" mengisahkan pengalaman mereka secara berasingan dan menunjukkan gambaran hidup mengenai latar belakang mereka, ada yang bijak menggunakan akal, ada yang kuat dan mahir menguasai silat, ada yang sering membantu penduduk miskin dan golongan lemah yang menderita akibat penganiayaan kelompok pengganas, ada yang giat menyebarkan risalah keadilan tanpa mengira keselamatan diri dan yang penuh dengan semangat cinta sejagat serta berbakti terhadap tanah air.
Kesemua imej yang terkandung dalam"Pinggir Air" merupakan idola pahlawan dalam hati sanubari kaum tani sejak sekian lama.
Novel "Pinggir Air" menggunakan kata-kata yang ringkas, tepat dan hidup. Baik perkataan yang digunakan penulis ketika menceritakan plot, mahupun perkataan yang ditutur oleh setiap watak, amat sesuai dengan kehidupan seharian. Penulis novel ini pandai memilih kata-kata yang tepat dalam menggambarkan pemandangan, menghuraikan sesuatu peristiwa dan mencerminkan wajah setiap watak.
Penulis novel "Pinggir Air", Shi Naian, hidup pada zaman peralihan antara Dinasti Ming dengan Dinasti Qing yang penuh kalau bilau. Sejak kecil lagi, beliau tidak bersekolah kerana keluarganya yang miskin tidak mampu membayar yuran persekolahan. Tetapi, Shi Naian seorang yang bijak dan rajin belajar sendiri. Beliau sering meminjam buku daripada kawan-kawannya, malah pergi ke sebelah sekolah untuk mengikuti pelajaran dari luar.
Setelah dewasa, Shi Naian membaca banyak buku yang dihasilkan oleh sarjana ternama. Antaranya, sebuah buku yang paling diminati, iaitu "Kisah Rejim Xuanhe Dinasti Song" yang mengisahkan perihal pemberontakan kaum tani. Selepas sering mendengar cerita pahlawan di rumah teh yang menyediakan perkhidmatan pencerita, Shi Naian yang berbakat besar dalam bidang sastera berjaya menghasilkan novel "Pinggir Air" berdasarkan cerita-cerita yang tersebar dalam kalangan rakyat.
"Pinggir Air" diiktiraf sebagai batu asas dalam bidang mengarang novel dalam bahasa lisan di negara ini.
----DAZHONG