Dalam ruangan kali ini, saya akan meneruskan penerangan tentang lagu rakyat Jiangsu, sambil menghidangkan beberapa buah lagu mereka yang terkenal itu.
Sebagai hidangan pertama, nikmatilah lagu yang berjudul "Menghantar Abang". Lagu ini lagu cinta yang popular di bandar Suzhou, provinsi Jiangsu. Lagu ini berirama sentimental dan menggambarkan rasa sedih seorang gadis apabila berpisah dengan kekasihnya. Lirik lagunya, antara lain berbunyi "Ketika menghantar abang berjalan jauh, aku hadiahkan sapu tangan kepada abang. Abang jangan lupa akan daku. Aku curahkan perasaan cinta kepada abang."
Dalam rancangan minggu lalu, saya telah memperkenalkan provinsi Jiangsu yang terletak di kawasan hilir sungai Yangtze, kawasan tenggara China. Jiangsu menjadi pusat politik dan budaya bagi beberapa dinasti dalam sejarah China. Pemandangan di Jiangsu amat indah dan kewasan ini dikenali sebagai kampung yang kaya dengan hasil ikan dan jelapang padi. Rakyat provinsi Jiangsu bekerja dengan bersungguh-sungguh dan mencipta budaya yang cemerlang di tempat mereka, khususnya menghasilkan lagu rakyat yang beraneka ragam. Dengan suasana budaya dan alam sekitarnya, lagu rakyat Jiangsu menjadi merdu dan lembut.
Seterusnya mari kita bersama-sama nikmatilah sebuah lagu yang berjudul "Meneka Nama Bunga". Lagu jenis ini terdapat di kebanyakan tempat di China. Penyanyi selalunya menyanyi melalui cara tanya jawab, termasuk meneka nama bunga untuk menguji kecekapan berfikir, menyebarkan pengetahuan atau berhibur. Lagu jenis ini biasanya menjadikan bunga yang berkembang sepanjang tahun sebagai temanya. Lagu "Meneka Nama Bunga" yang akan saya hidangkan ini memberikan pengetahuan yang melibatkan pertanian.
Sejak zaman kuno, Jiangsu merupakan tempat yang kaya dan makmur dengan pemandangannya yang indah. Penduduk yang tinggal di kawasan ini hidup dengan aman dan bahagia. Hal ini banyak digambarkan dalam lagu rakyat Jiangsu. Lagu yang berjudul "Melur" ialah lagu rakyat Jiangsu yang bukan sahaja sangat popular dalam kalangan orang China, bahkan amat disukai oleh warga asing. Pemuzik Itali yang terkenal, Giacomo Puchini telah memasukkan lagu ini dalam opera "Turandot" yang diciptanya supaya operanya lebih berciri timur.
Seterusnya, saya akan menghidangkan lagu yang berjudul "Janji Malam dengan Abang". Lagu ini menggambarkan rasa bimbang gadis yang menunggu kekasihnya.
Akhirnya, silalah nikmati lagu yang berjudul "Lagu Gunung". Lagu ini dinyanyikan secara tanya jawab antara teruna dan dara untuk menyampaikan hasrat mereka yang dilamur cinta.