Cari:
Lagu Rakyat Nyanyian Lu Wei
2009-06-24 16:25:42 CRI Cetak

Dalam rancangan kali ini, saya akan hidangkan beberapa buah lagu rakyat yang dipersembahkan oleh penyanyi muda Lu Wei. Terlebih dahulu, marilah kita bersama-sama menikmati lagu yang berjudul "3 Bulan 3, 9 Bulan 9" menurut kalendar China. Lagu ini menggambarkan rakyat China yang berbilang kaum hidup bersama-sama dengan aman dan harmoni. Lirik lagunya, antara lain berbunyi "Menyemai benih pada bulan 3 dan menuai hasil pada bulan 9. Lagu gembala dapat didengar di mana-mana sahaja di kawasan pergunungan. Lagu nelayan sentiasa menemani kapal. Kenapa kampung halaman begitu indah, hanyalah disebabkan penduduk pelbagai etnik bersatu-padu untuk membangunkannya."

Puan Lu Wei dilahirkan di Bandar Hangzhou, provinsi Zhejiang. Ibu bapanya pelakon opera Yue. Pengaruh keluarga terhadap Lu Wei amat kuat, menjadikannya mempunyai kelebihan dalam bidang seni muzik dan tarian sejak kecil. Pada tahun 1993, selepas tamat dari fakulti seni muzik Institut Perguruan Hangzhou, Lu Wei telah menyertai Pertandingan Muzik dan Tarian Rakyat Kebangsaan dan memenangi tempat ekdua. Setahun kemudian, beliau mewakili provinsi Zhejiang dalam menyertai Pertandingan Nyanyian Pemuda Kebangsaan CCTV dan memperoleh tempat kedua dalam kategori lagu rakyat. Kejayaan beliau dalam pertandingan kali ini membolehkan beliau dipilih sebagai penyanyi Kumpulan Penyanyi dan Penari Pasukan Tentera Laut China.

Sekarang saya akan menghidangkan lagu yang berjudul "Sinar Bulan" yang dipersembahkan oleh Lu Wei. Lagu ini menceritakan kisah sepasang kekasih yang saling mencintai berjalan-jalan di bawah sinaran bulan.

Dalam setiap persembahan Lu Wei, biasanya ada sebuah atau dua buah lagu baru yang diperkenalkan kepada pendengar pada tahun itu. Suaranya amat merdu dan lagunya mudah menyentuhkan hati pendengar. Seterusnya silalah nikmati lagu yang berjudul "Syurga Dunia". Lagu ini kali pertama dipersembahkan oleh Lu Wei pada tahun 2000. Ia digubah khas untuk Ekspo Antarabangsa Tasik Xihu Hangzhou. Lagu ini memuji-muji keindahan Hangzhou dan kemesraan penduduknya.

Akhir sekali, marilah kita bersama-sama menikmati lagu yang berjudul "Musim Bunga Datang dan Pergi Lagi". Lu Wei menyanyi dengan menggabungkan unsur-unsur moden dengan yang klasik sehingga terbentuknya gaya nyanyian yang amat bersesuaian dengan suaranya.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China