Cari:
Lu You, Penyair Patriotik Tersohor China
2009-07-01 11:41:30 CRI Cetak

Lu You merupakan seorang penyair dan sasterawan tersohor pada zaman Dinasti Song Selatan. Beliau bukan saja mencapai pencapaian cemerlang dalam bidang penggubahan puisi dan prosa, tetapi juga dihormati oleh rakyat China disebabkan beliau mempunyai cita-cita yang luhur dan patriotik.

Lu You dilahirkan pada tahun 1125 Masihi di Zhejiang, bahagian timur China. Bapanya Lu Zai ialah seorang pegawai dan juga sarjana yang suka mengumpulkan buku. Pada masa itu, Negeri Jin, sebuah negeri etnik minoriti di sebelah utara Dinasti Song sentiasa melakukan peperangan terhadap Dinasti Song sehingga rakyat jelata berada dalam keadaan huru-hara dan tidak tenteram. Maharaja Dinasti Song telah menjalankan dasar bertolak ansur terhadap Negeri Jin. Ini menyebabkan sejumlah besar wilayah di bahagian utara Dinasti Song dirampas oleh Negeri Jin dan ramai orang terpaksa melarikan diri untuk mengelakkan peperangan. Sejumlah pegawai kanan dan hulubalang berpendirian tegas yakni berhasrat untuk menangkis pencerobohan tentera Negeri Jin. Bapa Lu You merupakan pegawai yang berpendirian sedemikian. Semangat patriotik bapanya telah melahirkan pengaruh terhadap Lu You. Beliau berhasrat untuk bertempur dan melawan pencerobohan tentera Negeri Jin malahan sanggup berkorban untuk negeri.

Lu You telah mengikuti peperiksaan kerajaan untuk memperoleh kelayakan sebagai seorang pegawai kerajaan atau pegawai tentera. Akan tetapi, artikel yang ditulis oleh beliau dalam peperiksaan yang membentangkan hasrat patriotisme beliau untuk melawan pencerobohan dan merebut kembali bumi yang diduduki oleh tentera Negeri Jin telah membelakangi pendirian penguasa. Maka, beliau tidak dilantik oleh kerajaan sebagai pegawai dalam masa yang panjang. Hal ini berlarutan sehingga beliau berusia lebih 40 tahun, barulah beliau dilantik sebagai pegawai tentera. Lu You berperang dengan gagah berani untuk mewujudkan cita-cita luhurnya. Akan tetapi, hanya lebih setengah tahun selepas itu, beliau telah dipecat oleh pegawai kanan kerajaan yang berpendirian bertolak ansur dengan Negeri Jin. Selepas itu, beliau tidak menyandang lagi jawatan sebagai pegawai.

Walaupun Lu You gagal menyandang jawatan sebagai pegawai kerajaan bagi merealisasikan hasrat politiknya, tetapi beliau telah mencapai pencapaian yang cemerlang dalam bidang kesusasteraan. Semangat patriotisme yang diperlihatkan dalam karya kesusasteraannya menyebabkan beliau disanjung tinggi secara turun-temurun di China.

Lu You merupakan seorang penyair prolifik yang telah menulis sajak yang paling banyak dalam sejarah China. Menurut dakwaan beliau bahawa beliau telah menulis 10 ribu buah sajak dalam masa 60 tahun. Antaranya sebanyak lebih 9300 buah sajak telah dikekalkan sampai sekarang. Kebanyakan sajak yang ditulis oleh beliau bertemakan pertahanan daripada pencerobohan tentera musuh dan penyelamatan negeri. Beliau menulis banyak sajak untuk menggambarkan pertempuran yang gagah berani yang dilancarkan oleh tentera kerajaan Dinasti Song Selatan untuk melawan tentera musuh. Beliau juga meluahkan kebimbangan terhadap nasib negeri pada masa depan menerusi sajaknya. Selain itu, Lu You juga telah menulis banyak prosa yang baik. Prosa-prosa itu ada yang mencatatkan keadaan kehidupan harian, ada yang mengeluarkan pendapat terhadap hal ehwal negeri dan ada yang menceritakan kisah sahabat handai yang kebanyakannya telah memperlihatkan semangat patriotisme. Lu You digelar sebagai sasterawan patriotik yang ulung.

Semasa berusia lanjut, Lu You sentiasa melakukan kerja di kebun, menanam pokok bunga-bungaan, membaca buku, meminum arak dan menulis sajak. Beliau juga mengubati penyakit para petani. Walaupun keadaan hidup beliau agak santai, tetapi beliau sentiasa menaruh perhatian terhadap usaha penyatuan semula tanah air. Apabila kerajaan Dinasti Song Selatan mengambil keputusan untuk menentang pencerobohan tentera Negeri Jin dan merampas kembali bumi yang diduduki, Lu You sangat gembira sekali. Setelah mendengar berita tentang tentera kerajaan Dinasti Song Selatan gagal menentang tentera Negeri Jin dan merampas kembali bumi yang diduduki, beliau sangat sedih dan telah menulis sajak "Amanah Kepada Anak" yang menceritakan hasratnya untuk mewujudkan penyatuan semula tanah air. Sajak tersebut sentiasa dibaca oleh para patriot apabila tanah air mengalami pencerobohan luar negeri pada dinasti-dinasti selepasnya.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China