Cari:
Yang Xiong, Penyajak yang Bijaksana dan Berpemikiran Luas (3)
2009-07-08 10:23:28 CRI Cetak

Yang Xiong telah menjadi terkenal sebagai penyajak yang berbakat besar dan semakin aktif dalam mengarang puisi-puisi yang menunjukkan gambaran tentang pemandangan di tempat tinggalnya, iaitu kawasan Sichuan. "Shudufu" yang bermaksud "Sajak Ibu Kota Kawasan Shu" adalah antara karya cemerlang yang dihasilkan oleh Yang Xiong. Sajak itu menggunakan pemandangan kawasan Sichuan yang bermacam ragam sebagai latar belakangnya, dan ia penuh dengan ungkapan yang indah. Selain pemandangan pergunungan yang tinggi, lembah yang curam dan sungai yang mengalir deras yang digambarkan melalui sajak tersebut, kekayaan yang melimpah dan kemakuran hidup rakyat di kawasan Sichuan juga dapat dicerminkan oleh beliau.

"Mianzhusong" yang bermaksud "Pujian kepada Bandar Mianzhu" juga adalah antara hasil karya Yang Xiong. Sajak ini cukup hebat sehingga tersebar dengan segera di kawasan Sichuan ketika baru sahaja selesai ditulis.

Pada suatu masa, Yang Zhuang yang berasal dari kawasan Sichuan, telah dilantik sebagai Zhisulang untuk melayan Raja Chengdi. Beliau telah memilih sajak "Mianzhusong" dan membacanya kepada baginda. Setelah mendengar sajak "Mianzhusong" itu, baginda salah sangka dan menganggapnya karangan Sima Xiangru, seorang penyajak yang tersohor ketika itu yang juga berasal dari Sichuan. Untuk menjelaskan keadaan itu, Yang Zhuang memberitahu baginda bahawa sajak itu sebenarnya adalah hasil karya Yang Xiong, teman sekampung halamannya dan bukan hasil karya Sima Xiangru.

Walaupun telah diberitahu keadaan sebenarnya, baginda tetap ragu-ragu dan memutuskan untuk memanggil Yang Xiong ke istana.

Dengan demikian, Yang Xiong yang sudah berusia 40-an itu pun meninggalkan kampung halaman yang didiaminya sejak sekian lama dan bertolak ke bandar Changan untuk mengadap baginda.

Setelah menempuh perjalanan yang jauh, Yang Xiong pun tiba di Bandar Changan pada tahun 12 sebelum Masehi. Dalam pertemuannya dengan baginda, Yang Xiong yang berbakat besar dalam bidang sastera itu, tidak mengecewakan baginda apabila beliau berjaya memberikan jawapan yang betul kepada beberapa soalan yang dikemukakan oleh baginda.

Baginda berasa gembira setelah mendapati Yang Xiong mempunyai kemampuan yang luar biasa dalam mengarang puisi, dan terus menugaskan beliau sebagai pelayan diraja.

Yang Xiong sememangnya tidak menjangka beliau senasib dengan Sima Xiangru, penyajak veteran yang hampir segenerasi dengannya. Sebenarnya, Yang Xiong tidak begitu berminat mengikuti perkembangan politik.

Pada tahun 11 sebelum Masehi, Raja Chengdi memutuskan untuk berangkat ke Istana Ganquan dengan tujuan untuk berdoa kepada langit demi mendapatkan anak lelaki. Yang Xiong dibawa bersama oleh baginda mengikut dalam rpmbongannya yang bbesar itu dengan menunggang kuda dan mengibarkan bendera kerajaannya yang besar. Istana Ganquan yang akan dikunjungi mereka merupakan bangunan yang dibina pada zaman Dinasiti Qin, iaitu sebelum Dinasti Han. Bangunan yang cukup mewah itu telah diperbaiki lagi oleh baginda dan ditambah beberapa banyak bangunan sampingan serta hiasan hingga kelihatan tersergam indah.

Selain bangunan yang megah, pokok-pokok yang menghijau dan dataran yang tinggi, terdapat banyak lagi intan permata yang bermacam ragam yang tak ternilai disimpan dalam istana tersebut.

Setelah menyaksikan pemandangan yang indah itu, Yang Xiong diperintahkan oleh baginda supaya menggunakan bakatnya untuk mengarang ""Ganquanfu" yang bermaksud "Sajak Ganquan". Karya yang cemerlang itu berjaya memberikan gambaran yang hidup tentang pemandangan Istana Ganquan dan pengarangnya telah mendapat penghargaan tinggi daripada baginda.

Selepas peristiwa itu, baginda sering menjemput Yang Xiong untuk mengiringi baginda dalam perjalanan ke luar istana.

----DAZHONG

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China