Setelah menghentikan kegiatan mengarang sajak, Yang Xiong cenderung memberikan sumbangan dalam bentuk yang lain kepada tanah airnya, tidak lagi melalui penulisan. Beliau tidak layak lagi mengesyorkan nama tokoh yang bijak kepada raja secara langsung kerana jawatannya kurang tinggi.
Maka, Yang Xiong mengesyorkan nama mereka, yang dianggapnya tokoh bijak itu kepada rakan-rakannya di ibu kota dahulu, dan mengharapkan rakan-rakanya yang berjawatan tinggi akan mengesyorkan nama tokoh yang bijak itu kepada baginda. Misalnya, gurunya, Yan Zhun yang amat dihormatinya kerana berpengetahuan luas dan beretika tinggi itu, dianggapnya layak menyandang jawatan yang tinggi dalam kerajaan . Yang Xiong berharap beliau dilantik oleh baginda untuk menyandang sesuatu jawatan.
Yang Xiong menumpukan perhatian yang semakin besar terhadap pentadbiran negara dan merebut apa jua peluang untuk menyuarakan pendapat dan rancangannya tentang usaha memajukan pembangunan negara.
Pada bulan April tahun 5 sebelum Masehi, menteri-menteri yang sedang berkumpul di depan raja di ruang tengah istana untuk membincangkan isu-isu politik, tiba-tiba terdengar suatu bunyi yang aneh, seperti loceng dipukul. Mereka tidak tahu dari mana datangnya bunyi itu. Baginda dan para menterinya terkejut dan berasa takut. Raja Aidi meminta Yang Xiong yang dilihatnya sebagai tokoh yang bijak dan berpengetahuan untuk menjelaskan hal itu.
Kebetulan pada masa itu, Yang Xiong berasa bimbang akan pentadbiran negara terjejas disebabkan beberapa orang pegawai yang khianat yang selalu menghasut baginda dengan bercakap perkara yang bukan-bukan. Memandangkan baginda dan para menteri begitu takut akan bunyi yang aneh itu yang dipercayai dari hantu atau dewa-dewi, Yang Xiong sengaja memetik bukti dari buku yang berkaitan dengannya untuk "memastikan" bunyi aneh itu memang dikeluarkan oleh hantu dan merupakan petanda malang. Menurut beliau, disebabkan kerajaan salah melantik pegawai, dewa-dewi dari langkit menjadi marah.
Baginda percaya kepada cakapYang Xiong dan memutuskan untuk meningkatkan usaha dalam mentadbir negara, sekali gus memecat sekumpulan pegawai yang dipercayai khianat.
Pada tahun 3 sebelum Masehi, Penghulu puak Mongol yang dikenali sebagai "Chanyu", dari sebelah utara China telah menghantar utusannya ke ibu kota Dinasti Han, iaitu Changan untuk menyatakan kesediaannya berbakti kepada kerajaan Han dan memohon mengadap Raja Aidi.
Baginda dengan gembira mengalu-alukan dan berjanji akan menemui utusan dari Mongol itu kerana penyatuan negara dan perpaduan perkauman akan membawa manfaat kepada rakyat yang menetap di kawasan sempadan. Tidak lama selepas itu, baginda jatuh sakit. Perkara ini sebenarnya berlaku secara kebetulan. Tetapi, tersebarlah khabar angin dalam kerajaan yang menyatakan bahawa utusan Mongol itu membawa kecelakaan kepada baginda, dan jika baginda diadap olehmereka, baginda akan ditimpa bahaya.
Sekumpulan pegawai dan bangsawan juga memujuk baginda supaya jangan bertemu atau diadap oleh utusan Mongol itu dengan alasan upacara itu akan membazirkan wang negara. Dengan demikian, baginda terpengaruh dan merancang untuk menolak pemohonan dari utusan Mongol itu.
Yang Xiong yang menyandang jawatan "Huangmensilang" tika itu, iaitu pangkat yang tidak begitu tinggi, berasa cemas dan risau kerana peristiwa yang penting itu akan dibatalkan ekoran tersebarnya khabar angin itu . Beliau segera menulis surat kepada baginda pada malam setelah beliau diberitahu perkara itu. Dalam suratnya, Yang Xiong berusaha untuk menerangkan betapa pentingnya untuk bertemu dengan utusan Mongol itu dan mengutuk khabar angin yang tidak membawa apa-apa erti itu.
----DAZHONG