Cari:
Xuan Zang, Sami Tersohor pada Zaman Dinasti Tang
2009-08-26 10:38:13 CRI Cetak
Agama Buddha yang berasal dari India diperkenalkan ke China kira-kira pada abad pertama Masihi. Sampai abad ke-7 iaitu pada zaman Dinasti Tang, agama Buddha telah disebarkan dengan pesat di China. Pada tempoh itu, sami tersohor China Xuan Zang bertolak dari Changan, ibu negara Dinasti Tang China pergi ke India untuk mempelajari kitab-kitab agama Buddha. Perkara ini telah melahirkan pengaruh besar bagi perkembangan agama Buddha di China.

Dinasti Tang iaitu dari abad ke-7 hingga abad ke-10 Masihi merupakan dinasti yang paling kuat dan masa pemerintahan yang paling panjang dalam sejarah China. Pada zaman itu, kebudayaan juga telah mencapai perkembangan besar di China. Pada masa awal Dinasti Tang, kesan daripada sanjungan tinggi pihak penguasa terhadap agama Buddha, maka ramai orang telah mempelajari kitab-kitab agama Buddha, Xuan Zang ialah salah seorang daripadanya.

Semasa kanak-kanak, Xuan Zang yang sangat cerdik telah berminat terhadap kitab-kibat agama Buddha. Ketika berusia 11 tahun, beliau telah mampu membaca banyak kitab agama Buddha. Beliau menjadi sami ketika berusia 13 tahun. Dalam belasan tahun selepas itu, beliau mengembara ke pelbagai tempat untuk mempelajari ajaran agama Buddha. Beliau mendapati bahawa terdapat banyak golongan agama Buddha di pelbagai tempat, tetapi pemahaman dan pengertian mereka terhadap ajaran agama Buddha berbeza, malah saling bertentangan. Memandangkan keadaan sedemikian, Xuan Zang telah melahirkan hasrat untuk mempelajari ajaran agama Buddha India, tempat berasalnya agama Buddha.

Pada tahun 627 Masihi, Xuan Zang bertolak dari Changan, ibu negara Dinasti Tang China dan memulakan perjalanan pergi ke Kuil Nalanda, institusi pengajian agama Buddha tertinggi di India. Xuan Zang berjalan kaki menerusi Gansu dan Xinjiang di barat laut China dan memasuki Afghanistan. Seterusnya beliau tiba di India Utara. Beliau merentasi padang pasir, gunung yang diliputi salji dan hutan dara, lalu tiba di India Tengah. Setelah menziarahi 6 tempat suci agama Buddha dan mengembara ke lebih 40 buah negeri di India, akhirnya beliau tiba di Kuil Nalanda di sebelah timur laut bandar Gaya Provinsi Bihar India pada masa ini. Perjalanan itu memakan masa selama lebih 4 tahun.

Xuan Zang dengan tekun telah meneliti semua kitab agama Buddha yang tersimpan di kuil tersebut dalam masa 5 tahun. Lantaran itu, beliau telah mengembara ke pelbagai tempat India untuk melanjutkan pelajaran dalam masa 6 tahun. Dengan demikian, beliau telah menjadi pendeta agama Buddha yang terkenal.

Selepas kembali ke Kuil Nalanda, Xuan Zang memberi syarahan tentang kitab agama Buddha dalam bahasa Hindi. Syarahannya menarik dan beliau semakin terkenal.

Pada tahun 643 Masihi, Xuan Zang kembali ke Changan. Beliau telah memperoleh penilaian yang tinggi daripada Maharaja Dinasti Tang dan pujian kalangan tokoh agama Buddha serta pelbagai lapisan masyarakat China. Dengan sokongan kerajaan, Xuan Zang telah menubuhkan kumpulan yang terdiri daripada sami dan sarjana terkenal untuk menterjemahkan kitab-kitab agama Buddha secara besar-besaran. Kumpulan yang diketuai oleh Xuan Zang itu telah menterjemahkan 75 buah kitab agama Buddha sebanyak 13 juta perkataan dalam masa 19 tahun. Pada usia yang lanjut, Xuan Zang telah menterjemahkan Maha Prajna Paramita Sutra, kitab yang terpanjang daripada kitab-kitab agama Buddha yang terdiri daripada 600 jilid. Ini telah menciptakan keajaiban dalam sejarah penterjemahan manusia.

Selain menterjemahkan kitab-kitab agama Buddha dan menyebarkan agama Buddha, Xuan Zang juga telah menulis Catatan Lawatan Pelbagai Negara berdasarkan pengalaman pengembaraannya. Buku itu telah memperkenalkan secara terperinci keadaan geografi, adat resam, kebudayaan dan politik di lebih 100 buah negara dan negeri yang dilawatinya. Buku itu merupakan bahan berharga dalam penyelidikan terhadap Asia Tengah, Afghanistan dan India purba. Buku itu juga telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa seperti Inggeris, Perancis, Jepun dan Jerman selepas abad ke-19.

Pengaruh yang dilahirkan oleh Xuan Zang mempunyai nilai yang lebih tinggi daripada tujuan dan hasil yang dicapai oleh beliau dalam perjalanan ke India untuk mempelajari kitab-kitab agama Buddha. Xuan Zang menduduki tempat terpenting dalam sejarah kebudayaan China dan Timur.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China