Cari:
"Kisah di Bilik Barat" Gambarkan Cerita Cinta yang Romantik (1)
2009-09-02 11:09:54 CRI Cetak

Nama sepasang kekasih, "Zhang Sheng dan Cui Yingying", meniti di bibir rakyat China kerana kisah cinta yang bersifat klasik yang dialami mereka. "Hong Niang" (Kak Merah) yang membantu pasangan kekasih ini untuk mengeratkan hubungan antara kedua-dua mereka, juga menjadi terkenal disebabkan usahanya menggalakkan hubungan tersebut. Pada masa ini, "Hong Niang" biasanya digunakan oleh masyarakat China sebagai gelaran bagi "match maker".

Cerita cinta antara Zhang Sheng dengan Cui Yingying mula tersebar pada zaman Dinasti Tang, iaitu kira-kira 1,000 tahun yang lalu, dan dicatatkan dalam opera "Kisah di Bilik Barat" yang dihasilkan oleh Wang Shipu, penulis opera yang tersohor pada zaman Dinasti Yuan, kira-kira 700 tahun lalu. Dengan demikian, cerita Zhang Sheng dengan Cui Yingying ini tersebar di seluruh China hingga diketahui oleh hampir setiap keluarga di negara ini.

Pada masa ini, "Kisah di Bilik Barat" sering dipersembahkan dalam pelbagai jenis opera dan mendapat sambutan yang hangat. Opera ini menceritakan kisah dua orang muda yang mempertahankan hak untuk bercinta secara bebas tanpa mempedulikan peraturan yang konservatif yang diamalkan dalam masyarakat feudal.

Zhang Sheng, seorang pemuda yang masih menuntut untuk menduduki ujian, jatuh cinta dengan Cui Yingying, seorang gadis yang baru ditemuinya di sebuah kuil. Mereka yang sama-sama tinggal di kawasan perumahan di sebelah kuil itu, telah memadu cinta di bilik barat, dengan bantuan Hong Niang, seorang pelayan wanita kepada Cui Yingying.

Setelah mengetahui anak perempuannya bermalam dengan Zhang Sheng, ibu Cui Yingying amat marah dan menyatakan tentangannya terhadap hubungan itu. Beliau juga mencela dan memukul Hong Niang, pelayan yang membantu majikannya untuk meneruskan hubungan dengan kekasihnya.

Melihat sikap yang tegas yang ditunjukkan oleh ibu kekasihnya, Zhang Sheng berasa amat kecewa dan menderita akibat merindui kekasihnya, iaitu Cui Yingying. Gadis itu sudah dipaksa oleh ibunya ketika itu juga untuk memutuskan hubungannya dengan Zhang Sheng.

Tidak lama selepas itu, kuil yang didiami oleh keluarga Cui Yingying itu ditimpa kemalangan. Sekumpulan pengganas telah mengepung kuil itu dengan tujuan untuk merompak harta di dalamnya. Zhang Sheng berusaha menghubungi seorang rakannya, Hulubalang Bai Ma untuk meminta tolong. Lalu, Hulubalang Bai Ma membawa pasukannya menumpaskan kumpulan penggnas itu dan menyelamatkan harta dalam kuil itu, sekali gus menyelamatkan keluarga Cui Yingying. Untuk membalas budi Zhang Sheng, ibu Cui Yingying bersetuju menjodohkan anak perempuannya dengan Zhang Sheng dengan syarat pemuda itu mesti lulus dalam ujian peringkat negara dan menjadi pegawai kanan.

Zhang Sheng bersetuju dengan syarat yang dikenakan oleh ibu kekasihnya itu, lalu berusaha mempersiapkan diri untuk menghadapi ujian. Akhirnya, beliau lulus dalam ujian itu dan berjaya dilantik sebagai pegawai kerajaan, seterusnya memperisterikan Cui Yingying. Cerita cinta ini berakhir dengan penamat yang menggembirakan para pembaca, iaitu mereka yang bercinta dapat hidup bersama dan berkeluarga.

Cerita Zhang Sheng dan Cui Yingying yang tersebar mulai zaman Dinasti Tang, kira-kira 1,000 tahun yang lalu ini, dilengkapi oleh ramai karyawan dalam acara persembahan nyanyian atau opera pada zaman-zaman berikutnya, iaitu zaman Dinasti Song dan Jin.

----DAZHONG

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China