Walaupun "Penjelajahan ke Barat" dikarang berdasarkan peristiwa bersejarah tentang Sami Besar Xuan Zang pada zaman Dinasti Tang, tetapi Tang Seng, iaitu watak yang disamakan dengan Sami Besar Xuan Zang itu tidak dijadikan watak utama dalam novel tersebut. Sun Wukong, perantis sulung kepada Tang Seng itulah watak utamanya. Watak yang cerdik lagi tabah ini diberi oleh penulis novel ini pelbagai kemampuan yang hebat.
Sun Wukong diiktiraf sebagai watak yang paling cemerlang dalam "Penjelajahan ke Barat" dan melambangkan keadilan serta semangat yang kental.
Pada babak pertama "Penjelajahan ke Barat", penulisnya menceritakan begitu banyak tentang Sun Wukong. Watak yang serupa monyet itu mengisytiharkan penubuhan kerajaannya dan melantik dirinya sendiri sebagai raja baru di Gunung Huaguo, iaitu kampung halamannya. "Raja Monyet" ini tidak menerima pemerintahan yang dilaksanakan oleh kerajaan yang sedia ada di kayangan, malah berani mencetuskan persengketaan dengan pihak berkuasa yang sedia ada.
Akhirnya persengketaan tersebut memuncak hingga menyebabkan "Raja Monyet" memperhebatkan pemberontakan dan turut menghuru-harakan masyarakat di Istana Kayangan. Keberanian yang ditunjukkan oleh "Raja Monyet" itu memang tidak dijangkakan oleh orang ramai dan hal ini mengejutkan mereka.
Pertempuran yang berlaku ketika Sun Wukong menghuru-harakan masyarakat di Istana Kayangan mencerminkan keberanian watak itu untuk memperjuangkan kebebasan tanpa rasa takut pada pihak berkuasa. Setelah gagal dalam pertempuran dengan tentera Raja Kayangan, Wukong dijatuhi hukuman yang berat, iaitu ditindih di bawah Gunung Wuhang selama 500 tahun.
Selepas itu, Sun Wukong dibebaskan oleh Tang Seng, lalu diberi tugas untuk mengikut sami besar itu menjelajah ke India untuk belajar ilmu agama Buddha dan memohon diberi kitab. Pada masa itu, Wukong sudah beralih menjadi seorang pahlawan daripada hanya seorang pendurhaka atau pemberontak sahaja. Pahlawan ini berpakaian rok yang dibuat dari kulit harimau dan diikat sebuah lingkaran logam pada kepalanya. Sepanjang perjalanan ke barat, Wukong dikatakan menewaskan hantu dan syaitan satu persatu menggunakan kecerdikan dan kepintarannya, sekali gus membantu umat manusia menghapuskan kesengsaraan yang dideritai mereka angkara hantu dan syaitan yang amuk-mengamuk.
Pada babak terakhir novel ini, Sun Wukong berjaya menyelesaikan misinya untuk membantu Tang Seng memperoleh kitab agama Buddha di India, lalu mengiringi Sami Besar itu membawa kesemua kitab itu pulang ke bandar Chang'an.
Antara novel-novel klasik China, "Penjelajahan ke Barat" dilihat sebagai yang paling kompleks isi kandungannya dengan percampuran ajaran yang dianjurkan oleh dua jenis agama, iaitu agama Buddha dan Tao serta ajaran Konfusius. Penulisnya menyediakan wahana kepada dewa-dewi yang berlatarbelakangkan agama Buddha dan Taoisme untuk melakukan pergaulan bersama-sama. Aktiviti seharian mereka juga digabungkan dengan masyarakat manusia. Selain itu, kata-kata yang dipetik daripada ajaran Konfusius juga digunakan oleh penulisnya untuk menyempurnakan novel ini.
Kesemua keistimewaan ini menyebabkan "Penjelajahan ke Barat" amat menarik dan penuh dengan episode kelakar hingga mendapat sambutan hangat daripada para pembaca daripada pelbagai lapisan masyarakat China.
Kemunculan "Penjelajahan ke Barat" membuka era baru dalam sejarah pengarangan novel mitos di China dan dinilai sebagai simbol kemuncak novel roman pada zaman purba.
----DAZHONG