Cari:
Cao Cao, Negarawan dan Ahli Ketenteraan Tersohor dalam Sejarah China
2009-10-30 17:54:39 CRI Cetak

Pada akhir abad ke-2 Masihi sehingga awal abad ke-3, Dinasti Han Timur China semakin mundur. Raja, kalangan bangsawan dan panglima perang pelbagai negeri masing-masing meluaskan pasukan tenteranya dan meningkatkan kekuatannya. Mereka melancarkan peperangan antara satu sama lain bagi mengalahkan seteru dan meningkatkan kedudukan. Seluruh masyarakat Dinasti Han Timur China berada dalam keadaan kacau-bilau. Cao Cao merupakan pemimpin daripada kumpulan politik dan ketenteraan yang paling kuat di China pada masa itu. Beliau telah menamatkan keadaan kacau-bilau dan menyatukan bahagian utara China menerusi peperangan dalam masa panjang.

Cao Cao dilahirkan pada tahun 155 Masihi dalam sebuah keluarga pegawai. Beliau hidup selama 65 tahun. Beliau memperoleh kedudukannya berdasarkan kepada keberanian dan kebijaksanaannya. Sejak kecil lagi, Cao Cao sudah pandai berkung fu. Beliau pernah bertarung tanpa sebarang senjata dengan binatang liar, malah beliau sendiri pernah bergelut dengan berbelas-belas orang, namun, berjaya mempertahankan diri. Pada masa muda, beliau menjawat jawatan sebagai pegawai tentera di Luoyang, ibu negara China pada masa itu. Pemerintah pada masa itu Dong Zhuo telah melaksanakan pemerintahan yang zalim dan telah menimbulkan kemarahan orang ramai. Cao Cao berjaya menyeludup ke dalam istana raja untuk membunuh Dong Zhuo tetapi gagal. Selepas itu, beliau melarikan diri daripada Luoyang dan menubuhkan tenteranya sendiri untuk berperang bagi menentang Dong Zhuo. Selepas Dong Zhuo meninggal dunia, panglima perang di pelbagai tempat melaksanakan perang saudara untuk menunjukkan kehebatan sendiri dan merebut kuasa pemerintahan negara, Cao Cao juga turut menyertai peperangan tersebut.

Cao Cao mementingkan mereka yang berbakat. Beliau pernah tiga kali mengeluarkan pengumuman bagi mempelawa mereka yang berbakat untuk mengambil bahagian dalam pasukan tenteranya. Panglima perang Zhang Xiu pernah beberapa kali berperang dengan Cao Cao dan telah membunuh anak lelaki dan anak saudara beliau. Kemudian, Zhang Xiu telah menyerah diri kepada Cao Cao. Cao Cao bukan saja tidak membalas dendam terhadap Zhang Xiu, sebaliknya melantik Zhang Xiu sebagai panglima tenteranya, malah mengahwinkan anak mereka. Dengan berbuat sedemikian, kekuatan ketenteraan Cao Cao telah meningkat dengan cepat.

Cao Cao berminat untuk membaca buku tentang taktik peperangan dan arif dalam melaksanakan taktik peperangan itu. Buku yang paling diminati oleh beliau ialah Taktik Peperangan Sunzi yang ditulis oleh Sun Wu, ahli teori peperangan yang terkenal pada zaman China purba. Cao Cao telah menulis sendiri buku Taktik Peperangan sebanyak lebih 100 ribu perkataan Mandarin. Taktik yang paling terkenal yang dilaksanakan oleh Cao Cao ialah menaklukkan pelbagai panglima perang atas nama maharaja. Pada masa itu, pelbagai panglima perang berusaha untuk meluaskan kekuatan sendiri dan tidak mematuhi perintah Maharaja Xian Dinasti Han Timur. Cao Cao menggunakan cara kekerasan bagi memaksa Maharaja Xian dibawa ke kawasan yang ditadbir oleh beliau. Cao Cao mamaksa Maharaja Xian melantik beliau sebagai Panglima Agung dan Perdana Menteri. Dengan berbuat demikian, Cao Cao telah memiliki kuasa untuk mengarahkan tentera dan mengendalikan urusan pentadbiran kerajaan pusat. Tindakan ini merupakan peranan besar yang dimainkan oleh beliau untuk menyatukan bahagian utara China.

Pada tahun 200 Masihi, Cao Cao melancarkan peperangan terhadap panglima perang Yuan shao. Cao Cao menggunakan taktik dengan memutuskan bekalan makanan tentera yang diketuai oleh Yuan Shao dan akhirnya Cao Cao berjaya mengalahkan Yuan Shao. Selepas Yuan Shao dikalahkan, Cao Cao telah berjaya menyatukan bahagian utara China.

Cao Cao meninggal dunia sebelum dapat mewujudkan matlamatnya bagi menyatukan China pada tahun 220 Masihi. Tidak lama selepas itu, anak lelakinya Cao Pi menggulingkan Dinasti Han Timur dan menubuhkan Negeri Wei di bahagian utara. Pada tempoh itu, Liu Bei telah menubuhkan Negeri Shu di bahagian barat, manakala Sun Quan juga telah menubuhkan Negeri Wu di bahagian timur. Sejak itu bermulalah Zaman Kerajaan 3 Negeri iaitu Wei, Shu dan Wu yang tersohor dalam sejarah China.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China