Cari:
Li Shangyin, Penyajak yang Terkenal dengan Karya Cinta (1)
2009-11-11 08:26:44 CRI Cetak

Li Shangyin dilahirkan pada tahun 812, dan meninggal dunia pada tahun 858 Masehi, iaitu pada tempoh akhir zaman Dinasti Tang. Beliau bukan sahaja terkenal dengan karya cinta yang dihasilkannya, tetapi juga terkenal kerana kisah cinta yang dialaminya.

Berbeza dengan penyajak-penyajak yang lain pada zaman Dinasti Tang yang memiliki latar belakang keluarga yang kaya dan anggota keluarga yang kebanyakannya menyandang jawatan  kerajaan ketika itu, Li Shangyin, sejak kecil lagi sudah menjadi anak yatim dan menjalani kehidupan yang susah. Beliau juga tidak berapa mendapat jagaan daripada saudara maranya, dan terpaksa hidup dengan mengembara ke merata-rata tempat.

Bagaimanapun, Li Shangyin tidak mengalah atau berputus asa ketika berdepan dengan kesengsaraan. Beliau berusaha bertungkus-lumus dan menumpukan perhatian kepada pelajarannya dan berjuang untuk mencapai cita-cita yang tinggi dalam arena politik. Tetapi, cita-citanya tidak tercapai hinggalah akhir hayat beliau.

Li Shangyin akhirnya meninggal dunia dalam kemiskinan dan kesedihan ekoran pertikaian politik yang berlarutan.

Jika dilihat dari satu segi yang lain, walaupun gagal dalam usahanya untuk maju dalam arena politik, Li Shangyin menunjukkan bakat yang besar dan berjaya menghasilkan karya yang cemerlang dalam bidang kesusasteraan. Beliau sering menyatakan perasaanya melalui puisi dan mahir menghasilkan puisi cinta dengan menggunakan perkataan yang indah-indah. Karyanya sering menimbulkan gambaran yang indah lagi terbuka luas bagi pembaca.

Bagaimanapun, puisi cinta yang dihasilkan oleh Li Shangyin biasanya diakhiri dengan rasa sedih, walaupun gambaran-gambaran yang indah ditunjukkan di bahagian permulaannya. Puisinya "Wuti", yang bermaksud "tanpa tajuk", diiktiraf sebagai puisi yang paling terkenal antara karya ciptaannya.

Puisi "Wuti" bermula dengan sebuah keluhan, Ya, memang susah untuk berjumpa dengan kekasihku, dan rasanya susah juga ketika berpisah dengannya. Angin yang bertiup dari timur sudah menjadi lemah, manakala bunga-bungaan mula layu. Ulat sutera yang hidup pada musim bunga bertungkus-lumus mengeluarkan benang dari mulutnya tanpa henti hingga ke akhir hayatnya. Keadaan ini seperti lilin yang dinyalakan, habis badannya, barulah berhenti titikannya, seperti titisan air mata manusia juga."

Para pembaca biasanya terharu dengan rasa duka yang dibayangkan dalam puisi tersebut, walaupun mereka masih belum membaca kandungan puisi itu seterusnya.

Li Shangyin kemudian, memberikan dua gambaran dalam puisinya. Pertama, tentang kekasihnya yang keluh kesah di depan cermin sambil menyikat rambutnya, dan yang kedua tentang dirinya yang terseksa kerinduan kerana tinggal jauh daripada kekasihnya, dan tidak dapat tidur kerana kegelisahan. Beliau terpaksa bergantung kepada khayalan untuk mengurangkan kegelisahan dan kerinduan tersebut.

Pada sepotong ayat penamat dalam puisi "Wuti", Li Shangyin menyuarakan hasratnya untuk meminta tolong daripada "Qing Niao" (burung hijau) supaya menjadi utusannya untuk bertemu dengan kekasihnya.

----DAZHONG

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China