Cari:
Li Shangyin, Penyajak yang Terkenal dengan Karya Cinta (2)
2009-11-18 09:52:31 CRI Cetak

"Burung Hijau" merupakan sebuah 'imej" yang sering digunakan oleh Li Shangyin dalam karyanya. "Burung Hijau membawa surat" ialah sebuah legenda yang membawa petanda baik pada zaman purba di China. Asal usulnya berpunca daripada "Kitab Shanhai", sebuah buku mitos yang dihasilkan pada zaman purba.

Kononnya, pada masa dahulu, terdapat tiga ekor Burung Hijau yang kepalanya berwarna merah sedangkan matanya hitam. Haiwan yang sangat garang itu ditugaskan sebagai pelayan dan utusan untuk Ibu Suri Barat, seorang bidadari yang memerintah di kayangan. Apabila ingin menemui rakyatnya, Ibu Suri Barat pasti menghantar Burung Hijau sebagai utusannya untuk menyebarkan khabar itu. Kemudian, Burung Hijau akan terbang melintasi ribuan gunung dan sungai sebelum dia membawa baginda mendarat di bumi.

.

Dalam mitos-mitos yang tersebar pada zaman berikutnya, Burung Hijau berubah menjadi burung phoenix yang diiktiraf sebagai raja burung yang indah dan melambangkan hal-hal yang baik.

Bagaimanapun, Li Shangyin menggambarkan imej Burung Hijau sebagai tiga ekor burung yang kecil, comel, jinak dan pandai bertimbang rasa. Dalam karya-karya ciptaan Li Shangyin, ketiga-tiga ekor burung itu dipilih sebagai utusan untuk membawa surat kepada kekasihnya. Selain itu, Burung Hijau yang sudah berubah imejnya ketika itu, iaitu daripada burung yang garang bertukar menjadi burung yang jinak itu, telah membantu Li Shangyin menghapuskan keseksaan yang ditanggungnya akibat rindu kepada kekasihnya, di samping membawa harapan, walaupun sedikit sahaja, kepada penyajak itu untuk meneruskan percintaan dengan buah hatinya itu.

Pengalaman percintaan yang pernah dialami oleh Li Shangyin ketika masih remaja lagi dapat membantu menjelaskan kenapa beliau cenderung mengisahkan Burung Hijau dalam puisinya. Menurutnya, ketika beliau belajar di sebuah kuil Tao, beliau yang masih muda waktu itu, jatuh cinta dengan seorang pelajar pengikut Tao yang agak cantik. Tetapi, percintaan seumpama itu tidak mungkin dapat diterima oleh masyarakat dalam sistem feudal. Maka, pasangan kekasih itu terpaksa menggunakan surat untuk menyatakan rasa cinta antara satu sama lain.

Selain dapat menikmati puisi yang dihasilkan oleh pihak pasangan masing-masing melalui surat yang semakin kerap dikirim, Li Shangyin dan gadis itu juga kadang-kadang membuat pertemuan sulit di kuil itu. Percintaan antara mereka kian hari kian bersemarak sehingga menjadikan mereka melahirkan hasrat untuk tinggal bersama-sama.

Percintaan seumpama itu tidak mungkin berjaya pada zaman feudal di negara ini. Li Shangyin dan teman wanitanya terpaksa berdepan dengan tekanan yang besar, dan sentiasa merasa bimbang akan dipisahkan pada bila-bila masa sahaja.

Setelah menikmati saat romantik yang tidak begitu lama, pasangan kekasih ini terpaksa menghadapi penderitaan akibat dipisahkan. Perpisahan tersebut mungkin sudah dijangka. Teman wanitanya diarahkan keluar dari kuil itu, dan belum tentu dapat berjumpa dengan Li Shangyin lagi selepas itu.

Bagi Li Shangyin, penyajak yang sudah hilang kekasihnya, beliau terpaksa menerima kenyataan yang pahit itu. Maka, menderitalah dia untuk selama-lamanya disebabkan oleh perpisahan itu. Kadang-kala, beliau  melawat tempat tinggal teman wanitanya di kuil tersebut, untuk menyampaikan kerinduannya, dengan membawa sebuah tanglung, tidak kira hari sudah malam atau belum, ketika hujan turun.

Percintaan yang murni itu, lenyap begitu sahaja tanpa membuahkan apa-apa hasil, walaupun kedua-dua pihak meunjukkan keikhlasan. 

Li Shangyin bijak menggunakan pengetahuannya yang luas dalam menghasilkan puisinya, di samping menyuarakan perasaanya melalui mitos-mitos yang popular.

----DAZHONG

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China