Cari:
Lagu Rakyat Mongol Nyanyian De Dema 1
2009-11-19 14:19:18 CRI Cetak

De Dema ialah seorang biduanita etnik Mongol yang amat diminati oleh ramai pendengar China. Dalam ruangan hari ini, saya akan memperkenalkan lagu rakyat Mongol yang dinyanyikan oleh De Dema.

Terlebih dahulu, saya akan menyiarkan lagu yang berjudul "Danabala" yang dinyanyikan oleh De Dema dalam bahasa Mongol dan Mandarin. Lagu ini ialah lagu cinta. Lirik lagunya, antara lain berbunyi, "Pokok Payung yang tinggi bergoyang terkena angin dan hujan. Burung bersiul-siulan di atasnya. Abang Danabala yang aku sayangi menunggang kuda pergi merantau jauh. Siapa akan menemani gadis Jinxiang yang aku sayangi. Abang akan pulang tahun depan untuk menemanimu."

De Dema, biduanita etnik Mongol yang terkenal di China ini dilahirkan dalam sebuah keluarga penggembala di Wilayah Autonomi Mongolia Dalam, di bahagian utara China pada tahun 1947. Ibu dan bapanya adalah penyanyi padang rumput yang terkenal di tempat tersebut. Padang rumput yang luas dan indah memupuk bakat De Dema dalam bidang muzik. Ketika berusia 13 tahun, De Dema sudah dipilih menjadi seorang pemain kecil dalam kumpulan seni etnik Mongol. Dua tahun selepas itu, beliau dihantar ke sekolah kesenian Mongolia Dalam untuk mempelajari muzik vokal. Pada tahun 1964, beliau diterima oleh Konservatori Muzik China dan menjadi orang pertama dari kumpulan etnik minoriti yang masuk ke institusi itu. Selepas lulus dari universiti itu, De Dema pulang ke kampung halamannya dan memulakan kerjayanya sebagai seorang penyanyi.

Sekarang saya akan menyiarkan lagu rakyat Mongol yang berjudul "Angin yang Bertiup di Angkasa". Lagu ini menggambarkan sikap penduduk Mongol yang positif terhadap kehidupan dan harapan mereka terhadap masa depan.

Selama 10 tahun selepas tamat dari universiti itu, De Dema terus menjadi penyanyi solo Kumpulan Opera Etnik Mongolia Dalam dan Kumpulan Seni Tarian dan Nyanyian Mongolia Dalam. Pada tahun 1978, De Dema menjadi begitu terkenal dengan sebuah lagu nyanyiannya yang diberi tajuk "Padang Rumput yang Indah Ialah Keluargaku". Empat tahun kemudian, De Dema datang ke Beijing, lalu memasuki Kumpulan Nyanyian dan Tarian Etnik-Etnik Pusat dan menjadi penyanyi solo kumpulan itu. Kebolehannya dalam bidang nyanyian dari semasa ke semasa menjadi semakin mantap. Beliau memadukan gaya nyanyian bel canto dengan gaya nyanyian etnik Mongol, menyempurnakan dan mengembangkan kebolehannya dalam seni suara berdasarkan ciri-ciri etnik.

Akhir sekali, saya akan menyiarkan lagu tiun panjang etnik Mongol yang berjudul "Padang Rumput yang Luas". Lagu rakyat tiun panjang merupakan satu cara utama untuk menyanyikan lagu rakyat etnik Mongol dan amat popular di kawasan ternakan. Nadanya tinggi dan iramanya merdu. Lagu "Padang Rumput yang Luas" dengan lirik lagunya yang hanya empat bait ini menyampaikan rasa rindu dan cinta seorang gembala muda terhadap kekasihnya. Lirik lagunya, antara lain berbunyi "Padang rumput walaupun amat luas, tetapi tidak diketahui di mana ada tasik. Wajahmu memang cantik sekali, tetapi hasrat katimu tidak diketahui."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China