Cari:
Zhuangzi, Pendebat yang Petah pada Zaman Negeri-negeri Berperang (3)
2009-12-16 16:33:35 CRI Cetak

Encik Huishi mengesyorkan Zhuangzi untuk mengadap raja Negeri Wei. Sebelum dibawa ke istana yang mewah itu, Zhuangzi dipujuk supaya menukar pakaiannya yang sudah usang ketika itu. Tetapi, Zhuangzi berkeras mempertahankan pakaiannya yang selalu dipakai itu, walaupun sudah kelihatan usang. Selain itu, kasutnya juga sudah buruk dan rosak. Zhuangzi tidak mahu menukarnya dengan kasut yang baru, malah hanya mengikatnya kepada kakinya dengan seutas benang.

Setelah dibawa ke ruangan tengah di dalam istana Negeri Wei, Zhuangzi yang bersikap sombong itu hanya berdiri  tegak sahaja di situ, tanpa mengucapkan selamat atau berlutut seperti kelaziman rakyat ketika mengadap raja.

Askar-askar yang mengawal di sebelahnya memaki Zhuangzi dengan kasar sambil berkata, "Siapa ini, orang hutankah? Cepat berlutut!" Zhuangzi membalas herdikan itu dengan nada yang tenang, "Saya tidak perlu memberi salam kepada baginda dengan berlutut, kerana saya bukan rakyat Wei."

Raja Wei menitahkannya supaya Zhuangzi maju ke depan agar hampir dengan takhta baginda. Zhuangzi menjawab bahawa kalau baginda benar-benar menghormati sarjana yang berbakat besar, bagindalah yang patut turun dari takhta untuk menyambut kedatangannya.

Setelah memikirkan pendapat yang dikemukakan oleh Zhuangzi itu, dan menganggapnya betul, baginda pun turun dari takhtanya untuk menemui Zhuangzi. Kemudian, baginda bertanya kepada Zhuangzi, "Kenapa tuan kelihatan begitu 'letih' dan tuan berbau 'busuk' dengan pakaian yang lusuh ini?"

Ketika berdepan dengan pertanyaan itu, Zhuangzi tidak berasa malu, sebaliknya menjawab dengan suara yang lantang, "Saya hanya miskin sahaja, bukanlah 'busuk', kerana hidup pada masa yang tidak sesuai. Ini umpama monyet, jika hidup di dalam hutan, ia akan hidup dengan gembira, kerana ia boleh menggunakan kelebihannya untuk memetik buah-buahan di pokok yang bercabang tinggi. Betapa gembiranya ia kerana dapat melompat-lompat sesuka hatinya. Selain itu, ia juga tidak takut adanya pemanah di hutan, tak kira sehebat manapun mereka, baik seperti Houyi atau Peng Meng. Bagaimanapun, jika meninggalkan hutan dan berpindah ke kawasan kampung, monyet terpaksa berjalan dengan berhati-hati. Gerakannya menjadi perlahan-lahan dan ia perlu berwaspada. Adakah kakinya menjadi keras apabila berpindah dan bertukar tempat tinggal dari hutan ke kawasan kampung? Tentulah tidak. Hanya persekitarannya sekarang tidak sesuai lagi baginya untuk menggunakan kelebihannya untuk melompat-lompat, dan ia terpaksa berjaga-jaga untuk melindungi dirinya daripada diserang oleh musuh."

Maksudnya jelas, iaitu Zhuangzi yang berpakaian usang itu walaupun kelihatan "letih" dan "busuk", tetapi dia bukan orang yang tidak bijak. Beliau hanya berada dalam persekitaran yang tidak sesuai dengannya. Beliau terpaksa menumpukan perhatian kepada persekolahannya terlebih dahulu dan tiada masa untuknya mengumpulkan kekayaan.

Selepas itu, ketika berbual-bual dengan baginda, Zhuangzi sempat menasihati baginda supaya menjaga kesihatan melalui riadah dan memakan makanan yang menyihatkan, kerana baginda kelihatan kurang bersemangat akibat kebiasaan dan tabiatnya. Sebagai seorang raja yang memerintah, baginda disediakan layanan yang terbaik tanpa membuat apa-apa kerja.

Baginda mengakui bahawa apa yang dikatakan oleh Zhuangzi betul dan terus mengundang beliau masuk ke ruang belakang istana itu untuk meneruskan perbualan mereka. Baginda menawarkan satu jawatan dalam kerajaannya kepada Zhuangzi, atau beliau boleh berkhidmat sebagai penasihat diraja yang bertanggungjawab terhadap urusan penjagaan kesihatan.

Tetapi, Zhuangzi menolak tawaran tersebut dengan alasan beliau tidak berminat.

----DAZHONG

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China