Cari:
Zhuangzi, Pendebat yang Petah pada Zaman Negeri-negeri Berperang (5)
2009-12-30 10:59:25 CRI Cetak
Setelah menjelajah ke pelbagai negeri di bahagian utara China selama lebih tiga tahun, barulah Zhuangzi pulang ke kampung halamannya. Kemudian, beliau memperisterikan seorang gadis yang bernama Huang Yu. Isterinya melahirkan seorang anak lelaki pada tahun berikutnya.

Setelah mempunyai isteri dan anak, Zhuangzi berusaha pula menjalankan tanggungjawabnya untuk menjaga rumahtangga. Beliau meminta tolong daripada kawannya untuk mendapatkan kerja, lalu ditawarkan satu jawatan yang rendah di satu kebun pokok lakuer. Setelah berkhidmat selama beberapa tahun di kebun itu, Zhuangzi meletakkan jawatannya kerana enggan mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh raja yang baru naik takhta. Perintah itu menetapkan cukai yang akan dipungut daripada petani yang hidup dengan menaman pokok lakuer dan hasil jualannya dinaikkan sekali ganda. Zhuangzi menentang perintah tersebut kerana beliau menganggap cukai yang dikutip pada masa itu sudah cukup berat, dan beliau tidak mahu dijadikan orang suruhan raja untuk menindas kaum tani.

Selepas itu, Zhuangzi menerima permohonan dari seorang pemuda yang ingin mengikut beliau untuk belajar. Pemuda itu dikenali sebagai Lin Qie, seorang budak pengemis yang dijumpai oleh Zhuangzi ketika melakukan penjelajahan di Negeri Wei.

Dengan demikian, Lin Qie menjadi anggota baru dalam keluarga Zhuangzi yang asalnya terdiri daripada tiga orang sahaja. Zhuangzi dan perantisnya, Lin Qie sering mengadakan kursus di tempat-tempat yang berlainan. Jika ada masa terluang di rumah, mereka kadang-kadang mencari rezeki dengan menjual kasut yang dibuat mereka sendiri daripada jerami yang kering.

Setelah agak lanjut usianya, Zhuangzi mendapati bahawa ajarannya lebih mudah difahami dan diterima oleh orang biasa apabila dijelaskan dalam bentuk cerita seharian. Oleh itu, beliau memutuskan untuk bekerjasama dengan perantisnya Lin Qie, yang diarahkannya untuk mencatat apa-apa yang diceritakannya ketika beliau mengajar. Dengan demikian, lahirlah sebuah kitab yang berjudul 'Zhuangzi" yang dianggap sebagai khazanah negara yang amat tinggi nilainya.

Menurut beberapa buah buku sejarah yang mempunyai catatan tentang watak Zhuangzi ini, terdapat tiga keistimewaan yang agak menonjol tentang watak ini.

Pertama, Zhuangzi mempunyai cita-cita yang tinggi dan kegemaran yang istimewa. Orangnya suka berterus terang. Dalam bab pertama yang bertajuk "Xiao Yao You" dalam kitab "Zhuangzi", penulisnya memulakan bab ini dengan tiga cerita, iaitu 'Peng Cheng Wan Li", "Zhou dan Xue Jiu" dan "Pengzu Chang Shou".

"Peng Cheng Wan Li" bermaksud Burung Peng yang mampu terbang sejauh 5,000 kilometer. Menurut cerita ini, terdapat sejenis ikan yang dikenali sebagai "Kun" yang hidup di Laut Utara, dan badan ikan ini besar sekali. Ikan ini boleh berubah menjadi "Peng", sejenis burung raksasa. Apabila berlaku badai di laut pada bulan Jun, Peng akan terbang ke kawasan selatan dengan dengan menggerakkan sayapnya yang 1,500 kilometer lebarnya itu dalam laut. Burung itu juga mampu terbang di udara hingga setinggi 4.5 ribu kilometer. Keadaan itu amat menakjubkan.

"Zhou dan Xue Jiu" merujuk kepada dua jenis binatang yang kecil badannya yang dikenali sebagai cengkerit dan kerengga. Kedua-dua binatang itu mengejek-ngejek "Peng", burung yang besar itu kerana bersusah payah terbang begitu tinggi di udara untuk menuju ke tempat yang begitu jauh, sedangkan mereka yang hidup di atas pokok yang biasa, hanya perlu bergerak sedikit sahaja. Betapa selesanya hidup mereka. Zhuangzi menjelaskan hal itu dengan keluhan; "Kedua-dua binatang kecil ini manakah boleh memahami cita-cita tinggi yang dikejar oleh 'Peng'!"

----DAZHONG

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China