Raja Zhou ialah raja terakhir pada zaman Dinasti Shang (abad ke-16 hingga ke-11 sebelum Masehi). Baginda telah beberapa kali berperang dengan puak-puak di bahagian timur China, dan memberikan sumbangan dalam membina tamandun dari bahagian tengah China ke kawasan aliran sungai Huai dan Yangtze.
Akan tetapi, Raja Zhou ini sangat kejam dan tidak bermoral. Baginda sangat memanjakan seorang permaisurinya yang bernama Da Ji. Untuk menggembirakan Da Ji ini, Raja Zhou membela pelbagai jenis binatang yang jarang ditemui di bahagian utara ibu kotanya, Chaoge, dan membina istana di bahagian selatan pula untuk menyimpan harta. Baginda juga membina kolam yang diisi dengan arak, dan hutan untuk menggantung daging binatang. Raja Zhou dan permaisurinya dapat berenang dalam kolam arak dan bermain dalam hutan daging tersebut. Selain itu, baginda juga mencipta sejenis hukuman yang disebut "Pao Luo". Baginda akan menyapu minyak pada sebarang palang tembaga dan menyalakan api di bawah palang tersebut. Kemudian, baginda akan memaksa orang yang disyaki melawan baginda untuk berjalan di atas palang tersebut. Jika orang itu tidak boleh tahan kepanasan palang tembaga itu dan tergelincir, ia akan terjatuh ke dalam api dan akan mati terbakar.
Tindakan Raja Zhou yang kejam itu bukan sahaja menimbulkan kemarahan kebanyakan pegawai kanan baginda, malah ahli keluarga diraja sendiri. Mereka membantah sikap kejam Raja Zhou itu dan menuntut supaya baginda menghentikan tindakan itu. Bagaimanapun, Raja Zhou tidak mempedulikan bantahan mereka, bahkan membunuh mereka yang menentangnya itu.