Cari:
Qu Yuan, Sasterawan dan Patriot yang Segemilang Matahari (10)
2010-03-24 10:36:58 CRI Cetak
Dalam bab kedua "Li Sao", karya contoh bagi seluruh karya ciptaan Qu Yuan, penulisnya berdasarkan nasihat yang diberikan oleh seorang wanita jelita, beliau telah menggunakan perkataan yang indah-indah dan pengalamannya yang luas untuk menyuarakan suara hatinya yang penuh dengan kekecewaan, malah rasa putus asa. Ini disebabkan beliau tidak difahami oleh rajanya dan sukar mendapat sokongan dalam masyarakat ketika itu.

Dalam bab ketiga "Li Sao", Qu Yuan menggambarkan kemelut jiwa yang dihadapinya dalam menentukan hidup atau matinya. Kata-katanya yang agak kacau dalam bahagian penamat puisi panjang itu, mencerminkan azam penulisnya untuk mengorbankan nyawanya sendiri bersama keruntuhan negerinya, iaitu dengan membunuh diri lantaran putus asa. Tujuannnya adalah untuk menyatakan pendiriannya yang teguh yang tidak mahu bersekongkol dengan golongan bangsawan yang dikatakannya berniat jahat ketika itu. Beliau akan akan mempertahankan etikanya yang tinggi dan cita-citanya yang mulia itu dengan nyawanya sendiri.

Qu Yuan dalam "Li Sao" yang berbau romantik itu, menggunakan banyak khayalannya yang berkait dengan Vanilla, jelitawan, naga dan phoenix untuk menyatakan kecintaanya yang amat dalam terhadap tanah air, cita-citanya yang besar untuk mengejar masa depan yang cerah, kebenciannya terhadap golongan yang jahat dan azamnya yang teguh untuk membunuh diri bersama keruntuhan negeri Chu.

Pada tahun 303 sebelum Masehi, beberapa buah negeri, seperti negeri Qi, Han dan Wei telah menubuhkan tentera bersekutu untuk menyerang negeri Chu kerana mereka benci akan negeri yang sering berubah-ubah pendirian politiknya dan melanggar perjanjian "Ikat Enam Lawan Satu" itu.

Pada tahun 301 sebelum Masehi, negeri Qin pula mencari alasan untuk menyerang negeri Chu sehingga ramai anggota tentera negeri itu yang terkorban.

Pada tahun 209 sebelum Masehi, negeri Qin melancarkan lagi serangan terhadap negeri Chu dan berjaya menakluk lapan buah bandar di negeri itu. Selepas itu, raja negeri Qin meminta raja Huai di negeri Chu datang ke Wuguan untuk bertemu dengannya.

Apabila mendengar khabar itu, Qu Yuan menganggap ini sebagai suatu muslihat dan meramalkan Raja Huai akan menghadapi risiko yang besar jika berangkat ke Wuguan. Maka, Qu Yuan memutuskan untuk pulang ke ibu kota Yingdu untuk memberi nasihat kepada Raja Huai, tanpa mempedulikan kemungkinan beliau dijatuhi hukuman mati kerana sebelum itu beliau telah dikenakan hukuman tidak boleh pulang ke ibu kota tanpa perintah baginda.

Bagaimanapun, Raja Huai yang begitu takut akan negeri Qin itu, telah termakan hasutan golongan bangsawan yang diketuai oleh Permaisuri Zhengxiu, pegawai kanan Zilan dan Jinshang, lalu memutuskan menerima undangan raja negeri Qin dan berangkat ke Wuguan untuk bertemu dengan baginda.

Seperti yang diramalkan oleh Qu Yuan, Raja Zhao dari negeri Qin tidak ada di Wuguan, dan tujuannya memanglah untuk memperdaya Raja Huai supaya datang ke tempat itu. Setibanya di Wuguan, Raja Huai segera ditahan dan dimasukkan dalam satu penjara yang berbentuk rumah, dan tinggallah baginda di situ sehingga mangkat di negeri musuhnya.

Kemangkatan Raja Huai amat mengejutkan rakyat negeri Chu dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat di seluruh negeri. Mereka amat dukacita dengan peristiwa itu.

----DAZHONG

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China