Memandangkan Raja Huai itu kurang bijak, dan hanya percaya kepada orang yang pandai mengampu baginda, sehingga tanpa disedar perbuatan itu telah menjauhkannya dari pegawai-pegawai yang setia, Qu Yuan tidaklah begitu benci akan Raja Huai, malah sentiasa ingat akan budi baginda yang pernah memberikan penghargaan tinggi kepada bakatnya, dan melantiknya sebagai pegawai tinggi dalam kerajaan baginda.
Selain itu, walaupun Raja Huai mudah percaya kepada musuh hingga termakan tipu muslihat dan ditahan di negeri Qin, Qu Yuan tetap menghormati Raja Huai kerana pada suatu ketika. baginda berani menolak permintaan negeri Qin yang mahukan tanah dari negeri Chu dengan mengancam akan membunuh baginda. Sikap baginda itu menunjukkan keperwiraan yang hebat kerana sanggup menghadapi ancaman ke atas nyawa baginda demi menjaga kepentingan tanah air dan rakyat.
Sebenarnya, Qu Yuan amat rindu pada Raja Huai, lebih-lebih lagi ketika melihat raja yang baru naik ke tahkta menggantikan Raja Huai, iaitu Raja Qingxiang, lebih bodoh dan malas daripada ayahandanya. Raja Qingxiang hanya tahu menikmati kemewahan tanpa memikirkan bagaimana memajukan negerinya.
Pada musim bunga setahun selepas kemangkatan Raja Huai, Qu Yuan menghasilkan sebuah puisi yang berjudul "Memanggil Roh" untuk membantu Raja Huai memanggil rohnya. Memanggil roh sebenarnya sejenis amalan berdasarkan kepercayaan primitif yang bersifat karut dan berbau anamisme pada zaman purba. Ia agak popular di negeri Chu.
Qu Yuan menggunakan kaedah tersebut untuk memanggil roh Raja Huai supaya pulang ke kampung halamannya. Tujuannya adalah untuk menyatakan perasaan dukacita dan kerinduannya kepada mendiang Raja Huai serta rasa cintaya terhadap tanah airnya, negeri Chu.
Pada tahun 293 sebelum Masehi, Raja Qingxiang darii negeri Chu yang tidak berniat membalas dendam untuk ayahandanya, iaitu Raja Huai yang ditahan dan meninggal terus di negeri Qin itu, berhasrat memperisterikan puteri negeri Qin yang dianggap sebagai negeri musuh bagi negeri Chu sejak sekian lama.
Ketika mengetahui tentang keputusan baginda itu, Qu Yuan segera mengemukakan bantahan kepada baginda dan menasihati baginda supaya menjauhkan diri daripada apa-apa jua yang mempunyai kaitan dengan negeri Qin, khususnya jangan menjalin hubungan perkahwinan dengan keluarga diraja negeri musuh itu. Keputusan baginda untuk berkahwin dengan puteri negeri Qin pasti akan memalukan mendiang Raja Huai.
Sementara itu, Qu Yuan terus mencela pentadbiran yang agak buruk dalam kerajaan Chua dan mengkritik Zhouzi, pegawai kanan yang paling berkuasa dan amat dipercayai oleh baginda ketika itu. Akibatnya, golongan bangsawan yang diketuai oleh pegawai yang paling berkuasa itu, bersama-sama Zilan, adik baginda yang amat dimanjakan oleh baginda, dan Jinshang, pegawai kanan yang jahat, tetapi amat dipercayai oleh baginda, mula mereka-reka cerita dan fitnah terhadap Qu Yuan dan mengpengaruhi baginda supaya memecat Qu Yuan daripada semua jawatan yang dipegangnya. Qu Yuan, kemudian dibuangkan ke bahagian selatan, dan tidak dibenarkan pulang ke ibu kota Yingdu untuk selama-lamanya.
----DAZHONG