Cari:
Qu Yuan,Sasterawan dan Patriot yang Segemilang Matahari (12)
2010-04-07 11:28:59 CRI Cetak
Sebelum Qu Yuan bertolak meninggalkan Yingdu, hampir semua temannya yang berkhidmat dalam kerajaan ketika itu datang ke rumahnya untuk mengucapkan selamat jalan. Ada juga temannya yang memberikan nasihat supaya Qu Yuan belajar bagaimana menyelamatkan diri dengan mengampu baginda. Menurut temannya itu, hanya dengan berbuat demikian, barulah ia boleh kekal dalam jawatan yang dipegangnya. Menurutnya lagi, tiada gunanya selalu menuduh golongan bangsawan itu jahat, apa lagi mengucapkan sesuatu yang menjadikan baginda murka.

Bagaimanapun, Qu Yuan menjawab dengan tegas bahawa seseorang itu perlu mempunyai cita-cita yang besar dan berbudi tinggi, mempertahankan kebenaran dan bekerja dengan bersih, dan tidak mengubah pendiriannya sesuka hati mengikut keadaan yang berubah-ubah.

Ada juga beberapa orang teman yang memujuk Qu Yuan supaya meninggalkan negeri Chu dan mencari kerja di negeri lain. Bagi mereka, beliau pasti akan ditawarkan jawatan yang tinggi kerana bakatnya yang besar dalam bidang sastera dan politik jika beliau memutuskan untuk berkhidmat di negeri lain.

Tetapi, Qu Yuan menjawab bahawa beliau sama sekali tidak mahu meninggalkan negeri Chu, tanah tumpah darahnya, baik menghadapi kesusahan mahupun menghadapi masa depan yang cerah; baik hidup dalam buangan mahupun mendapat layanan yang mewah.

Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada teman-teman dan saudara maranya dan meninggalkan ibu kota Yingdu, Qu Yuan memulakan hidupnya dalam buangan. Mula-mula, beliau melangkah ke provinsi Hunan, lalu menjelajah ke pelbagai kota, pekan dan kampung di bahagian selatan Sungai Yangtze.

Ketika hidup dengan rakyat jelata di setiap tempat yang dikunjunginya itu, Qu Yuan memilih untuk bercucuk-tanam dan makan bersama-sama dengan mereka, di samping sentiasa berusaha membantu mereka mengatasi kesukaran yang dihadapi. Dengan kesempatan ini, Qu Yuan bukan sahaja dapat mengetahui kehidupan rakyat tempatan yang amat susah, tetapi juga dapat mengumpulkan banyak bahan sastera kalangan rakyat yang bercirikan negeri Chu. Beliau menghasilkan banyak puisi berdasarkan apa yang dirasainya dan apa yang disaksikannya. Akhirnya, Qu Yuan berjaya menghasilkan beberapa buah karya yang terkenal seperti "Xi Song", "She Jiang", "Jiu Ge" dan "Tian Wen", sekali gus menyempurnakan perkembangan Chu Ci, sejenis sastera yang berorientasikan puisi tempatan di negeri Chu.

Dalam "Xi Song", Qu Yuan menggunakan kata-kata yang pedas dan penuh dengan emosi untuk menghuraikan  sebab beliau didifitnah dan dipecat dari jawatannya dan menyatakan azamnya untuk membawa hal tersebut ke muka keadilan. Beliau juga mencela perbuatan golongan bangsawan yang dianggapnya jahat dan kejam dan mengkritik Raja Huai yang kurang bijak hingga gagal membezakan antara pegawai yang setia dengan yang khianat.

Dalam "She Jiang", Qu Yuan menceritakan pengalaman dan perasaannya sepanjang perjalanannya ke tempat buangan, menyatakan cita-citanya yang mulia dan azamnya yang teguh walaupun hidup di kawasan pergunungan yang terpencil. Seterusnya, Qu Yuan mengenangkan kembali betapa ramainya tokoh yang bijak dalam sejarah yang silam ditimpa tragedi yang hampir serupa dengan tragedi yang menimpanya. Kemudian, beliau membuat rumusan bahawa memang sudah lazim bagi pegawai yang setia ditimpa malang dalam masyarakat yang dikuasai oleh pemerintah yang tidak bijak. Akhirnya mendedahkan politik yang kotor dalam kerajaan negeri Chu ketika itu.

----DAZHONG

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China