Cari:
Laozi, Ahli Falsafah Paling Cemerlang di China pada Zaman Purba (1)
2010-05-05 10:24:31 CRI Cetak
Laozi dilahirkan pada tahun pertama pemerintahan Raja Ling pada zaman Dinasti Zhou, iaitu tahun 571 sebelum Masehi, 20 tahun lebih awal daripada kelahiran Kongzi yang juga dikenali sebagai Konfusius. Waktu meninggalnya pula lebih lewat daripada Konfusius.

Menurut bahan dari sebuah buku yang berjudul "Riwayat Hidup Laozi dan Hanfei—Shi Ji (Catatan Sejarah)", nama keluarga Laozi ialah Li, dan beliau diberi nama Er dan nama tambahan Boyang. Kampung halamannya telah dikesan, iaitu Qurenli, Pekan Li, Kaunti Ku, Negeri Chu.

Chu merupakan negeri yang penting di kawasan aliran sungai Yangtze. Kebudayaan negeri yang terletak di kawasan bahagian tengah aliran sungai Yangtze ini pula merupakan komponen utama kebudayaan di kawasan sepanjang aliran sungai itu, selain kebudayaan Bashu di kawasan hulu dan kebudayaan Wuyue di kawasan hilir aliran sungai tersebut.

Laozi tidak dapat dinafikan ialah ahli falsafah dan pemikir yang diiktiraf paling cemerlang di kawasan aliran sungai Yangtze pada zaman purba.

Terdapat banyak tinggalan sejarah berkait dengannya di Kaunti Ku, iaitu kaunti Luyi di Provinsi Henan pada masa ini, misalnya Dataran Laojun, Istana Taiqing, Istana Dongxiao, Gunung Yinyang dan Tapak Konfusius Bertanya tentang kesantunan dan budi bahasa. Selain itu, Pagoda Peringatan Laozi yang tingginya 84.3 meter, dengan 19 tingkat yang baru sahaja dibina di kaunti tersebut pula merupakan bangunan seumpama itu yang paling tinggi terdapat di seluruh negara China.

Susur galur seseorang tokoh tersohor biasanya diwarnai dengan misteri. Laozi juga tidak terkecuali. Legenda-legenda yang berkaitan dengannya sudah disadur dengan banyak unsur mitos disebabkan beliau begitu disanjung oleh rakyat.

Menurut catatan beberapa buah buku sejarah seperti "Xin Tang Shu" (Buku Dinasti Tang Baru), nama keluarga nenek moyang Laozi ialah "Li" disebabkan mereka menyandang jawatan 'Da Li Guan" turun-temurun. "Da Li Guan" bermaksud ketua eksekutif yang bertanggungjawab memimpin badan kehakiman. Li Hui, ialah seorang daripada leluhur Laozi yang telah dijatuhi hukuman setelah beliau mengemukakan pendapat yang menyebabkan murka Raja Shang pada zaman Dinasti Zhou. Akibatnya, isteri dan anak Li Hui terpaksa melarikan diri, dan menderita sepanjang perjalanan kerana kekurangan makanan dan hanya bergantung pada buah plum sahaja. Kata "plum" dalam bahasa Mandarin terdiri daripada "木" dan "子" yang kebetulan membentuk perkataan "李", iaitu "Li".

Ayah Laozi dikenali sebagai Li Qian, keturunan Li Hui generasi ke-10. Beliau dikatakan mempunyai tanah seluas beberapa hektar, tetapi tidak pandai mengendalikan urusan kewangan.

Li Qian yang baik hati itu telah berkahwin dengan seorang gadis dari keluarga yang bernama Li juga. Puan Li cantik, murah hati dan selalu membantu mereka yang hidup dalam kemiskinan. Beliau pernah berkata kepada suaminya bahawa nama baik akan dikeuang jika membantu mereka yang memerlukan bantuan. Setelah berbincang, pasangan suami isteri tersebut memutuskan untuk membahagikan harta dan tanah mereka kepada orang miskin.

Tiak berapa lama selepas itu, Li Qian dikatakan hilang setelah minum hingga mabuk ketika menangani urusan di luar. Isterinya, Puan Li yang sudah sarat hamil mengalami kesukaran ketika hendak bersalin. Beliau amat bimbang dan dikatakan pernah mengeluh sambil memegang perutnya: "Hari ini aku tunggu, esok pun akau tunggu juga. Sudah begitu lama, awak masih belum keluar dari 'rumah'mu dalam perutku ini."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China