Cari:
Laozi, Ahli Falsafah Paling Cemerlang di China pada Zaman Purba (11)
2010-07-14 11:36:01 CRI Cetak

Bian Shao, dalam sebuah buku yang dihasilkannya yang berjudul "Catatan tentang Laozi", memindahkan tumpuan penyelidikan daripada unsur keilmuan kepada unsur mitos. Beliau menceritakan bahawa Laozi seolah-olah memisahkan dirinya daripada kalangan manusia, kemudian bercantum dengan cahaya matahari, bulan dan bintang, lalu berubah menjadi dewa dan berhijrah ke kayangan.

Pada zaman pemerintahan Raja Heng, Raja Heng yang sudah lanjut usianya ketika itu, bukan sahaja bercita-cita mahu tinggal di kayangan seperti dewa-dewi, malah baginda mahu hidup untuk selama-lamanya. Ini berdasarkan petikan dari bab ke-62 "Buku Sejarah Fasa Akhir Zaman Dinasti Han" (Hou Han Shu).

Ketika pemerintahan Raja Heng juga, Xiang Kai telah menyerahkan "Buku Tai Ping Qing Ling" (Kitab Taiping) yang berkait dengan ajaran Tao kepada baginda.

Perkataan "Ajaran Tao" dan "Tai Shang Lao Jun" muncul pertama kalinya dalam buku yang berjudul "Laozi Xiang Er Zhu" yang dihasilkan oleh Zhang Ling, atau cucunya yang bernama Zhang Lu.

Penubuhan Ajaran Tao tidak lain tidak bukan adalah hasil usaha yang diwujudkan oleh Zhang Ling, Zhang Heng dan Zhang Lu yang merupakan tiga keturunan, iaitu ayah, anak dan cucu.

Pada zaman pemerintahan Raja Shun dalam era Dinasti Han Timur, iaitu tahun 142 Masehi, Zhang Ling sebagai seorang pendatang di Provinsi Sichuan di bahagian barat daya China telah menubuhkan Persatuan Wudoumi. "Wudoumi" bermaksud beras sebanyak lima "dou", iaitu kira-kira 50 liter yang perlu diberikan kepada pihak penganjur untuk menganggotai persatuan tersebut.

Pada fasa akhir zaman Dinasti Han Timur, Zhang Jiao menubuhkan pula Persatuan "Tai Ping Dao".

Kedua-dua persatuan tersebut menetapkan manifestonya berdasarkan "Lima Ribu Perkataan Laozi" dan "Kitab Taiping", dan berkembang menjadi dua puak utama yang menyebarkan ajaran Tao pada zaman Han Timur.

Setelah sekian lama, Zhang Ling sebagai pengasas Persatuan Wudoumi telah menyerahkan teraju kepimpinan persatuan tersebut kepada anaknya, Zhang Heng, dan selepas itu, Zhang Heng pula menyerahkan lagi teraju kepimpinan tersebut kepada anaknya, Zhang Lu.

Penganut Tao yang dipimpin oleh Zhang Lu dan Zhang Jiao ini dikatakan telah menjadi penggerak kepada pemberontakan kaum tani. Contohnya, Zhang Lu telah mengetuai tentera pemberontaknya untuk menakluk bandar Hanzhong, Provinsi Shaanxi di bahagian barat China. Beliau menggelar dirinya "Jun Shi", yang bermaksud "ketua turus tentera", dan mengambil jawatan "Ji Jiu" yang bermaksud "penyembah yang menggunakan arak". Beliau menjadi pemerintah di bandar Hanzhong selama 30 tahun dan masyarakat di sana dikatakan dapat menikmati ketenteraman dan kemakmuran yang memuaskan.

Selepas itu, Persatuan "Tai Ping Dao" ditukar namanya kepada "Tian Shi Dao" yang terdiri daripada Puak Utara dan Puak Selatan dengan sungai Yangtze sebagai pemisahnya.

Setelah memasuki zaman Dinasti Tang dan Dinasti Song, penganut Tao yang sudah menjadi sekian banyak, seperti Puak Utara, Puak Selatan, Shangqing, Lingbao dan Jingming telah mula bergabung. Penggabungan tersebut mewujudkan Puak Zhengyi di bahagian selatan China, manakala di utara pula wujud Puak Quanzhen. Ini berlaku setelah China memasuki zaman Dinasti Yuan. Penganut ajaran Tao dari Puak Zhengyi kebanyakannya tidak dikehendaki tinggal di biara dan dibenarkan berkahwin dan berkeluarga. Mereka digelar "Huo Ju Dao Shi" atau "Su Jia Dao Shi". Tetapi, penganut ajaran Tao dari Puak Quanzhen dikehendaki tinggal di biara dan tidak dibenarkan berkeluarga.

Ajaran Tao, setelah berubah menjadi sumber agama Tao, tidak lagi mengutamakan penyelidikan keilmuan. Manakala kitab "Laozi", setelah digunakan sebagai kitab agama Tao, tidaklah hanya merupakan buku tentang kajian ilmu sahaja lagi. Pada masa yang sama, Laozi juga digelar "Tai Shang Lao Jun", iaitu diwarnai sebagai dewa yang boleh hidup selama-lamanya, dan tidak lagi dianggap sebagai manusia yang biasa.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China