Cari:
Xunzi, Ahli Fikir yang Cemerlang di China pada Zaman Purba (3)
2010-08-11 10:16:22 CRI Cetak
Xunzi mengemukakan cadangan kepada Raja Zhao di negeri Qin supaya menghentikan penggunaan kekerasan dalam melaksanakan dasar luar, dan mengesyorkan pentadbiran yang berorientasikan etika yang tinggi.

Walaupun baginda menyatakan persetujuan terhadap cadangan Xunzi itu, namun baginda tidak benar-benar melaksanakannya kerana pada masa itu, baginda sibuk melancarkan serangan untuk menawan negeri-negeri lain. Dengan demikian, Xunzi pun meninggalkan negeri Qin dan terus menjelajah ke negeri-negeri yang lain.

Dari tahun 259 hingga 257 sebelum Masehi, Xunzi bersama dengan Menteri Kanan, Lin Wu telah mengadap Raja Xiaocheng di negeri Zhao untuk membincangkan isu pentadbiran tentera. Beliau mengemukakan pendapatnya bahawa pemerintah yang bijak membangunkan pasukan tentera, sebenarnya perlu membina hubungan dengan orang awam dan menjaga kepentingan mereka dahulu. Jadi, pasukan tentera di negeri itu dibangunkan dengan semangat bangga akan raja, bersedia menjaga maruah baginda. Pendapat yang dikemukakan oleh Xunzi itu berjaya menyakinkan Lin Wu yang berpendirian bahawa kekuatan pasukan tentera sesuatu negeri itu perlu "digembar-gemburkan" supaya dapat menakutkan negeri-negeri lain yang bercita-cita untuk menyerang atau menceroboh negerinya.

Setelah mendengar huraian cadangan Xunzi tentang pembangunan tentera itu, kedua-dua mereka, Raja Xiaocheng dan Menteri Kanan Lin Wu amat bersetuju dan memuji kehebatan pemikiran ahli fikir itu.

Bagaimanapun, negeri Zhao agak tidak cukup kemampuan untuk membangunkan tenteranya ketika itu. Lantaran itu, mereka tidak dapat melaksanakan cadangan Xunzi itu, meskipun cadangan itu diterima dan amat dihargai.

Dengan demikian, Xunzi pun berangkat meninggalkan negeri Zhao, iaitu tanah tumpah darahnya, lalu kembali ke negeri Qi.

Cerita tersebut dicatat dalam sebuah buku yang berjudul "Xunzi—bincangan tentang pembangunan tentera".

Pada masa itu, pentadbiran kerajaan negeri Qi dikuasai oleh Permaisuri Xiang, walaupun takhtanya diduduki oleh Raja Jian. Melihat keadaan itu, Xunzi terus mengemukakan pendapatnya kepada Perdana Menteri negeri Qi. Beliau menyatakan bahawa Perdana Menteri sepatutnya mencari dan membawa masuk tokoh-tokoh yang bijak dan jujur supaya mereka dapat diatur untuk membantu baginda menjalankan pentadbiran kerajaan, di samping membantu baginda membezakan antara yang benar dengan yang salah. Selain itu, Xunzi juga mengkritik pentadbiran yang buruk yang berpunca daripada kuasa negeri yang dipegang oleh seorang wanita, pentadbiran kerajaannya dikuasai oleh pegawai yang khianat lagi licik dan tatasusila masyarakatnya yang terjejas akibat gejala rasuah yang berleluasa.

Akibat mengemukakan kritikan yang pedas itu., menurut Siri "Riwayat Mengzi dan Xunzi—Shi Ji (Catatan Sejarah)", Xunzi segera diserang balas oleh pelbagai macam fitnah. Maka, sukarlah bagi beliau untuk terus tinggal di negeri Qi lagi, lalu terpaksa menjelajah ke negeri Chu pula. Kebetulan pada masa itu, negeri Chu yang baru saja menawan negeri Lu dan mendapat wilayah Lanling daripada negeri yang ditaklukinya itu. Perdana Menteri negeri Chu, Menteri Kanan Chun Shen yang amat menghormati Xunzi yang berbakat besar dalam bidang politik dan tentera itu, terus melantik beliau sebagai Penghulu Lanling.

Bagaimanapun, Xunzi berasa tidak selesa ketika bertugas sebagai penghulu di Kaunti Lanling, berpunca daripada fitnah dan cerita yang bukan-bukan yang dilemparkan oleh pelbagai pihak terhadapnya dan kesemua ini telah sampai kepada Menteri Kanan Chun Shen. Akibatnya, Xunzi yang terperangkap dalam pelbagai fitnah itu terpaksa meninggalkan negeri Chu, lalu kembali semula ke kampung halamannya di negeri Zhao.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China