Cari:
Xunzi, Ahli Fikir yang Cemerlang di China pada Zaman Purba (5)
2010-08-25 09:16:56 CRI Cetak
Berkait dengan kegiatan penyelidikan tentang ajaran Xunzi pada zaman kontemporari, Wang Xianqian pada zaman Dinasti Qing, Tan Citong pada akhir zaman Dinasti Qing dan Liang Qixiong pada zaman Republik China (1912-1949) adalah antara mereka yang memberikan sumbangan yang besar.

Pemikiran Xunzi berfokus kepada pengalaman yang ditimba daripada hubungan manusia sehari-hari dan tingkah laku yang dibendung oleh tatasusila. Beliau menentang pemikiran yang berorientasikan perkara ghaib, sebaliknya mengutamakan apa jua perjuangan manusia dalam mengatasi bencana alam.

Jika dibandingkan dengan inti sari dalam pemikiran Konfusius yang menganjurkan "menjadi orang baik" dan inti sari dalam pemikiran Mengzi yang menganjurkan "menjadi orang yang berbudi", rumusan pemikiran Xunzi pula membawa ajaran "menjadi orang yang bersopan santun." Beliau mengesyorkan supaya masyarakat benar-benar bertatasusila mengikut peraturan atau tradisi yang sedia ada.

Xunzi menghormati Konfusius dan menganggap ahli falsafah itu sebagai guru besar yang suci, tetapi beliau menentang ajaran dan falsafah yang dianjurkan oleh "Kumpulan Si-Meng" yang diketuai oleh Mengzi dan Zisi. Ini disebabkan Xunzi hanya mengakui dirinya dan Zi Gong sahaja pewaris pemikiran Konfuisus yang sebenar.

Mengikut pendapat Xunzi, manusia mempunyai pelbagai kehendak sejak ia dilahirkan. Dia akan cuba memenuhi kehendak itu, dan akan bergaduh antara satu sama lain jika kehendaknya tidak dapat dipenuhi. Maka, kata beliau, "manusia asalnya jahat, jadi, perlu dididik dengan menggunakan perintah maharaja dan peraturan tatatertib, malah undang-undang. Dengan demikian, barulah mereka dapat menjadi manusia yang beretika tinggi.

Xun Kuang, iaitu Xunzi merupakan ahli fikir dari golongan tuan tanah yang baru. Beliau yang dikatakan berpengetahuan luas ini, bukan sahaja berjaya mewarisi ajaran Konfusius, malah dapat membina aliran ajarannya sendiri dan mengembangkan materialisme yang perkembangannya masih berada pada tahap zaman purba dengan membuat rumusan dan mengubahsuai ajaran tersebut, di samping menimba pengalaman daripada kelebihan ajaran itu.

Hampir semua kandungan 32 bab dalam buku "Xunzi" itu dihasilkan oleh Xunzi sendiri. Karya tersebut merangkumi pelbagai aspek kehidupan seperti falsafah, logik, politik dan etika.

Berkait dengan pandangannya tentang alam, Xunzi menentang ajaran yang percaya kepada takdir atau keputusan yang "dibuat" oleh dewa-dewi, mengesahkan bahawa hukum alam tidak mungkin berubah mengikut keinginan manusia dan berpandangan bahawa manusia sepatutnya boleh mengatasi kesukaran akibat perubahan alam sekitar.

Berkait dengan aspek watak manusia, Xunzi mengemukakan "teori tentang manusia asalnya adalah jahat", dan menolak pandangan tentang etika tinggi yang tinggi boleh dimiliki secara semulajadi. Beliau menegaskan betapa pentingnya pengaruh yang dibawa oleh persekitaran dan pendidikan terhadap seseorang itu sepanjang proses dia membesar.

Tentang aspek pemikiran dalam bidang politik pula, Xunzi mempertahankan prinsip yang dianjurkan dalam ajaran Konfusius, iaitu sentiasa bersopan santun dan berbudi bahasa dalam melaksanakan pemerintahan. Pada masa yang sama, Xunzi juga memberikan keutamaan kepada keperluan manusia terhadap kebendaan, dan menganjurkan pentadbiran politik, baik yang berorientasikan kesantunan mahupun yang berorientasikan undang-undang, digabungkan dengan pembangunan ekonomi.

Tentang aspek pembelajaran, Xunzi mengatakan bahawa pemikiran manusia mampu menggarap fakta yang sebenar. Tetapi, beliau menunjukkan kecenderungan yang meremehkan fungsi pancaindra.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China