Xu Xiake dilahirkan pada tahun 1578 dalam sebuah keluarga yang kaya. Bapanya tidak puas hati dengan suasana kehidupan kalangan pegawai pada masa itu dan sering kali membawa Xu Xiake untuk melancong ke pelbagai tempat. Hal tersebut menjadikan Xu Xiake amat berminat dengan pelancongan dan menggalakkannya membaca pelbagai buku tentang geografi, pelancongan, sejarah serta catatan tempatan. Apabila beliau gagal dalam peperiksaan pemilihan pegawai kerajaan, Xu Xiake yang berumur 22 tahun itu memutuskan untuk pergi melancong seorang sendiri, walaupun hatinya bimbang untuk meninggalkan isteri dan anaknya yang baru berumur 3 itu di rumah. Bagaimanapun, ibunya menyokong keputusan Xu Xiake itu. Sejak itu, hampir setiap tahun, beliau akan melawat ke tempat yang berlainan. Ibunya berpesan agar Xu Xiake membuat catatan yang terperinci tentang pengalamannya dalam perjalanan dan pelancongannya. Jadi, setiap kali kembali ke rumah, Xu Xiake akan menceritakan pengalamannya yang menarik kepada ibunya. Ceritanya kerap kali membuatkan ibunya ketawa dan gembira.
Dalam tempoh 34 tahun, beliau telah melawat ke 19 provinsi di China. Ketika berumur 51 tahun, beliau memulakan lawatan terakhir yang juga yang terpanjang ke Yunnan. Dengan menyusun catatannya dalam pelancongan, Xu Xiake berjaya menghasilkan buku "Catatan Pelancongan Xu Xiake". Buku ini menyediakan data yang sangat berharga bagi penyelidikan sains etnik, cuaca, alam sekitar, pertanian dan geografi pada masa ini. Catatannya tentang landskap karst di China merupakan data landskap tersebut yang terawal di dunia.