Cari:
Melayan Satu Sama Lain dengan Hormat Seperti Tetamu (Xiang Jing Ru Bin)
2010-10-27 12:45:29 CRI Cetak

Melayan Satu Sama Lain dengan Hormat Seperti Tetamu

Asal Usul:

Pada zaman Chunqiu atau Musim Bunga dan Gugur (tahun 770-476 Sebelum Masihi), ada seorang pegawai kanan di negeri Jin yang bernama Jiu Ji. Dia sering "turun padang" untuk melihat sendiri masalah rakyat.

Pada suatu hari, Jiu Ji ternampak seorang petani yang sedang mengerjakan sawah padinya. Pada waktu makan tengah hari, isteri petani itu pun menghidangkan makanan yang masih panas kepadanya dengan cara yang sangat hormat. Melihat pasangan tersebut melayan satu sama lain dengan begitu hormat seperti melayan tetamu, dia berasa sangat terharu. Setelah mendapat tahu bahawa petani itu ialah anak kepada seorang bekas pegawai kerajaan yang dibunuh kerana didapati bersalah, Jiu Ji pun membawanya pulang ke istana untuk menghadap raja negeri Jin. Dia memohon kepada baginda supaya memberikan jawatan yang penting kepada petani itu. Katanya kepada raja negeri Jin itu,

"Sifat hormat-menghormati ialah budi baik yang patut kita junjung tinggi. Hanya orang yang berakhlak mulia sahaja yang akan memiliki sifat ini. Sifat baik ini hendaklah dipupuk di kalangan rakyat kita."

Raja tersebut bertanya dengan hairan,

"Ayahnya ialah seorang yang bersalah. Wajarkah jika kita melantiknya sebagai pegawai kerajaan?"

Jiu Ji menjawab dengan serius,

"Cubalah tuanku teliti sejarah kita yang lalu. Guang Zhong pernah menjadi musuh kepada raja negeri Qi, tetapi dia akhirnya dilantik oleh raja itu sebagai Perdana Menterinya. Dia berjaya membantu baginda mencapai cita-cita untuk memperluaskan kuasa hegemoninya. Pada zaman purba kala pula, raja Shun telah membuang negeri seorang pewagai bernama Gun, tetapi melantik anaknya sebagai pegawai kanan kerajaan. Tuanku hanya perlu memanfaatkan kelebihannya sahaja."

Akhirnya, raja negeri Jin telah menerima nasihat Jiu Ji, dan memberikan satu jawatan yang penting kepada petani itu.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Xiang Jing Ru Bin" ini membawa erti, pasangan suami dan isteri melayan satu sama lain dengan penuh hormat seperti melayan tetamu. Sampai hari ini, ia masih dianggap oleh orang China sebagai suasana yang paling sempurna dalam hubungan suami isteri.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China