Karangan yang dihasilkan oleh Tao Yuanming yang tersebar pada masa ini berjumlah 12 buah, antaranya 3 "Fu", 5 karangan puisi dan 4 buah prosa. "Xian Qing Fu" karya Yuanming adalah mencontohi "Ding Qing Fu" yang dihasilkan oleh Zhang Heng dan "Jing Qing Fu" yang dihasilkan Cai Yi. Kandungannya hanya menceritakan khayalan tentang kasih cinta sahaja dan dianggap tidak membawa apa-apa makna, manakala "Gan Shi Bu Yu Fu" yang diciptanya adalah mencontohi "Shi Bu Yu Fu" yang dihasilkan oleh Dong Zhongshu dan "Bei Shi Bu Yu Fu" yang dihasilkan oleh Sima Qian pula menyuarakan rasa kesal dan marahnya terhadap sistem kasta yang menghalang orang yang bijak dan berbakat daripada merealisasikan cita-cita mereka.
Karangan puisi yang dihasilkan oleh Yuanming merangkumi "Shan Shang Hua Zhan", Sembilan Bab "Du Shi Shu", "Ji Cheng Shi Mei Wen", "Ji Cong Di Jing Yuan Wen" dan "Zi Ji Wen".
Selain itu, prosa ciptaan Yuanming termasuk "Jin Gu Zheng Xi Da Jiang Jun Chang Shi Meng Fu Jun Zhuan" yang juga dikenali sebagai "Meng Jia Bie Zhuan", iaitu catatan riwayat hidup Meng Jia, datuk Yuanming sebelah ibunya, "Wu Liu Xian Sheng Zhuan", "Tao Hua Yuan Ji" dan "Yu Zi Kan Deng Shu".
Jika dilihat dari segi jumlah dan tahap kecemerlangannya, karangan yang dihasilkan oleh Yuanming tidak sebanyak dan secemerlang puisinya.
Karya Yuanming memperlihatkan sentimen yang ikhlas, sifat berterus terang dan penggunaan kata yang mudah difahami. Namun, kadang-kadang beliau menyatakan pemikiran yang dianjurkan oleh Zhuangzi, iaitu menjauhkan diri daripada masyarakat semasa dan berpuas hati dengan apa yang sudah dimiliki, serta menerima dengan rela takdir yang sudah ditentukan.
Pada tahun 427 Masehi, Tao Yuanming meninggal dunia pada usia 76 tahun. Jasad beliau dikebumikan di kawasan perkuburan Keluarga Tao yang terletak di kaki gunung Nanshan, iaitu kaki gunung Mianyang di kawasan sempadan antara Kaunti Jiujiang dengan Kaunti Xingzi, Provinsi Jiangxi sekarang. Makamnya terpelihara dengan baik hingga sekarang. Tugu makam itu terdiri daripada satu batu yang besar dan dua batu yang kecil. Di bahagian tengah batu besar itu terukir "Jin Zheng Shi Tao Gong Jing Jie Xian Sheng Zhi Mu" yang bermaksud "Makam Tuan Jingjie, Pejuang dari Keluarga Tao pada zaman Dinasti Jin". Catatan tentang pembinaan makam itu terukir pada batu kecil yang di sebelah kiri, sedangkan pada batu kecil yang di sebelah kanan terukir "Gui Qu Lai Xi Ci", iaitu karya utama yang dihasilkan oleh Yuanming. Itu dibuat oleh anak cucu Tao Yuanming pada tahun pertama pemerintahan Raja Qianlong dalam zaman Dinasti Qing.
Setelah Tao Yuanming meninggal dunia, kawan karibnya, Yan Yanzhi telah menghasilkan sebuah karangan yang bertajuk "Tao Zheng Shi Mo" dan memberikan gelaran "Jing Jie" kepada mendiang kawannya itu. Dalam karangan tersebut, Yan Yanzhi memuji mendiang Tao Yuanming yang terkenal kerana mengekalkan maruah yang tinggi dan perjuangannya untuk merealisasikan cita-cita yang mulia. Namun, Yan Yanzhi tidak begitu pasti dengan kejayaan Yuanming dalam bidang kesusasteraan .
Kedudukan dan kejayaan Tao Yuanming dalam bidang kesusasteraan sememangnya tidak begitu dihargai dan keadaan sedemikian itu kekal selama berpuluh-puluh tahun selepas pemergiannya.