Cari:
Gamitan Aidil Adha di Mongolia Dalam
2012-12-24 16:58:04 CRI Cetak

(Bandar Che Feng, Mongolia Dalam)

 Tahun ini merupakan tahun kedua saya menyambut perayaan Hari Raya Aidil Adha di bumi negara China. Perayaan yang kedua terpenting bagi umat Islam ini digalakkan mengerjakan ibadah qurban binatang ternakan seperti lembu, unta, kambing dan sebagainya. Ianya suatu tuntutan agama yang amat mulia dan dijanjikan dengan ganjaran yang besar oleh Allah. Justeru, umat Islam amat digalakkan melakukan ibadah ini walau di mana jua mereka berada.

Pada tahun ini, para pelajar Malaysia Jurusan Bahasa Mandarin di Beijing Foreign Studies University (BFSU), menyuarakan hasrat untuk menyambut Aidil Adha di Mongolia Dalam sebagaimana yang telah dilakukan oleh sekumpulan 6 orang pelajar Malaysia pada tahun lepas. Cadangan ini mendapat perhatian dan sambutan pelajar. Ramai yang teruja untuk ke sana bagi merayakan Aidil Adha dan melaksanakan ibadah qurban bersama komuniti Islam di Bandar Che Feng, di Provinsi Mongolia Dalam. Bandar ini terletak di Utara Beijing dan bersempadan dengan negara Mongolia. Bilangan pelajar yang ingin turut serta adalah seramai 36 orang (lelaki dan perempuan). Manakala bilangan ternakan untuk melaksanakan ibadah qurban yang akan disumbangkan kepada komuniti Islam di sana pula berjumlah 42 ekor kambing kesemuanya.

(Penyembelihan ternakan kurban pagi Aidil Adha di Masjid Besar Utara, Bandar Che Frng )

Pada hari yang telah ditetapkan, iaitu rabu petang (24 Oktober), kamipun bertolak dari BFSU menaiki bas universiti menuju ke stesyen keretapi dalam jangkamasa 15 minit dari kampus. Keretapi bertolak jam 8.50 malam dan dijangka sampai jam 7 pagi esok (25 Oktober). Ini merupakan pengalaman pertama penulis menaiki keretapi penumpang yang berkatil tiga tingkat. Nasib penulis agak baik apabila mendapat katil di tingkat yang paling bawah sekali. Suasana perjalanan aman damai dengan penumpang berada di katil macam `burung pulang ke sarang' masing-masing. Penulis cuba juga berbaring, namun sukar untuk melelapkan mata kerana bunyi keretapi yang bising dan tidak biasa tidur dalam suasana yang sedemikian. Entah pukul berapa agaknya penulis dapat melelapkan mata dan tidur seperti `tidur-tidur ayam'. Apabila bangun untuk solat subuh, satu lagi pengalaman yang baru buat penulis iaitu bersolat dalam keretapi yang tidak menentu arahnya. Sudahlah sejuk sampai ke tulang, bersolat pula macam orang mabuk terhuyung hayang dibuatnya.

Keretapi memasuki sempadan Bandar Che Feng lebih kurang jam 6.30 pagi. Pada ketika ini suasana pagi sudah terang benderang. Kami dapat menyaksikan pemandangan indah sepanjang perjalanan menghampiri Bandar Che Feng ini. Fenomena paginya yang sungguh menakjubkan dengan saujana `lautan' kawasan pertanian' yang tumbuh kekuningan di kelilingi gunung ganang, sungguh ayu dan menawan kalbu. Walaupun gunung ganangnya kelihatan gondol, namun secara fizikalnya melingkungi kawasan pertanian yang luas diselang seli dengan rumah petani, menjadikan pemandangan amat berwarna warni dan begitu cantik sekali. Inilah keindahan anugerah Tuhan pemandangan pagi di pinggir Bandar Che Feng, di Inner Mongolia di musim sejuk. Sungguh mententeramkan jiwa dan sanubari bagi kita yang menyaksikannya.

Kami tiba di stesyen keretapi Bandar Che Feng lebih kurang pukul 7 pagi. Apabila keluar daripada keretapi terasa kedinginan pagi yang mencucuk hingga ke tulang. Suhunya lebih dingin daripada di Beijing. Rasanya suhu mencecah di bawah 10 darjah celcius. Di kaki-kakilima dan tepi-tepi jalan masih terdapat gumpalan salji yang telah dikumpulkan oleh para pekerja. Ini membuktikan bahawa cuaca di kawasan ini memang lebih sejuk berbanding di Beijing dan salji telah mulai turun beberapa hari lepas. Walaupun musim dingin secara rasminya bermula 1 November, namun ramai beranggapan tahun ini cuaca sejuk lebih cepat walaupun belum musim dingin yang sebenar. Apapun, kami redha dengan suasana ini kerana sememangnya telah meletakkan hajat untuk meraikan Aidil Adha dan melakukan ibadah kurban di sini.

(Bersama dengan ketua-ketua Komuniti Islam, Imam Masjid dan ahli perdagangan Bandar Che Feng)

Apabila keluar daripada kawasan stesyen keretapi, alangkah terperanjatnya apabila mendapati ramai yang sedang menunggu untuk menyambut kedatangan kami. En. Yang, iaitu Ketua Komuniti Muslim di bandar ini dan Hj. Abdul Hakim @ Liu Jingyi (Imam Besar Masjid Niujie – berasal dari kawasan ini) serta hampir 10 orang lagi ahli jawatankuasa komuniti Islam bandar ini bersedia menyambut kami dengan begitu mesra dan penuh semangat persaudaraan. Mereka telah menyediakan bas untuk membawa kami ke hotel. Walaupun kali pertama menjejakkan kaki di bumi Inner Mongolia ini, terasa seperti di negara sendiri tanpa sebarang rasa kekok dan terasing. Layanan mesra mereka membuatkan kami hampir terlupa bahawa kini berada di bumi asing yang begitu jauh dari tanah air. Inilah yang dikatakan persaudaraan Islam tanpa batasan sempadan dan budaya. Meskipun berbeza bahasa namun kita adalah saudara seagama dan seakidah.

(Masjid Besar Selatan (Masjid Kuno Bandar Che Feng) yang berusia 400 tahun)

Kami di bawa ke Hotel GulangYuhtoel untuk penginapan selama berada di bandar ini. Selepas membuat pendaftaran masuk di hotel, kami terus dibawa ke Masjid Besar Selatan yang terletak hanya beberapa meter sahaja dari hotel. Kami disambut gembira oleh Imam Besar masjid ini iaitu En. Mahai Ibrahim dan sebilangan ahli jawatankuasanya. Selepas dijamu sarapan pagi, kami turut serta solat jenazah seorang kariah wanita yang meninggal dunia. Seterusnya, kami (lelaki sahaja) dibawa dengan bas mengiringi jenazah tersebut untuk dikebumikan. Ini merupakan satu pengalaman yang bernilai untuk menyaksikan cara orang Islam di sini menguruskan soal pengkebumian jenazah. Oleh itu, kami sepakat untuk melihat upacara pengkebumian dijalankan di kawasan perkuburan Islam ini. Kawasan perkuburan orang Islam di bandar ini terletak lebih kurang 4 km dari Bandar Che Feng yang meliputi kawasan berbukit seluas lebih kurang 6 hektar persegi. Perkuburan Muslim di sini seumpama perkuburan bangsa Cina yang terletak di tanah tinggi dan berbukit. Selain itu, bentuk kubur yang ditimbun tanah `membukit' seperti perkuburan orang Cina. Batu nisan yang besar dan tinggi juga menampakkan pengaruh bangsa Cina. Liang lahat tidak seperti di negara kita, sebaliknya digali lubang besar dan dibuat seperti terowong yang bersaiz 4' x 8'. Jenazah diturunkan menerusi tangga ke terowong berkenaan. Selepas diletakkan jenazah dalam terowong, pintu terowong itu ditutup dengan batu merah dan selepas itu proses penimbusan tanahpun bermula. Sepanjang proses pengkebumian dijalankan, imam dan beberapa orang pegawai syarak membacakan ayat-ayat Quran dan berdoa. Selesai aktiviti penimbunan tanah kubur maka berakhirlah upacara pengkebumian. Imam, pegawai syarak dan orang ramai terus beredar meninggalkan tanah perkuburan. Tiada pembacaan talqin dijalankan untuk pengkebumian jenazah orang Islam di sini.

1 2 3
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China