Cari:
Estetika Bunga Orkid dalam Budaya Melayu
2012-12-24 17:55:40 CRI Cetak

 Bunga Raya merupakan bunga kebanggaan utama bagi orang Melayu dan juga sebagai bunga kebangsaan Malaysia. Namun, bunga orkid tidak kurang pentingnya dalam budaya dan masyarakat Melayu. Bunga orkid adalah bunga kesenian dan bunga yang mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri. Dengan itu tidak heranlah sekiranya bunga orkid juga adalah bunga yang sering dikaitkan dengan nilai-nilai budaya orang Melayu.

Bunga orkid atau disebut juga sebagai `bunga anggerek' adalah sejenis tanaman bunga yang sering ditemui di Malaysia. Ini kerana ianya bersesuaian dengan iklim tropika di Malaysia yang menyuburkan lagi tanaman bunga berkenaan. Bunga ini merupakan sejenis tumbuhan berbunga yang sering ditanam sebagai pokok hiasan. Di samping itu, imej orkid juga sering dikaitkan dalam bidang kesenian, pembinaan, kesusasteran dan sebagainya. Justeru, budaya orkid mungkin sama gaya dan menariknya dengan bunga raya (bunga kebangsaan), bahkan mungkin lebih disukai kalau dibawa ke tahap yang lebih global.

Walaupun bunga orkid dikatakan mula muncul pada zaman Cretaceous, namun penanaman secara besar-besaran mula berkembang di China pada zaman Dinasti Tang dan di Eropah pula pada abad ke-19. Manakala di Malaysia atau orang Melayu pada waktu itu, tidak sama perkembangannya terhadap bunga ini sebagaimana keadaan di China dan Eropah. Di Malaysia, perusahaan yang berkait rapat dengan penanaman bunga orkid ini berkembang pesat pada abad ke-20. Setakat kini, Malaysia sudah menjadi salah sebuah negara yang paling banyak mengeksport orkid. Ini dirangsang dengan penubuhan institut orkid yang terletak di Negeri Sarawak bagi memperluaskan lagi perusahaan bunga orkid di Malaysia.

Di Malaysia, buat masa ini terdapat tiga bidang yang mempunyai pengaruh budaya orkid yang mendalam, iaitu bidang pembinaan, lukisan dan pakaian, serta hiasan. Contohnya, di luar bangunan utama Masjid Negara terdapat beberapa hiasan batu yang berbentuk flora. Kelopaknya ialah kelopak orkid. Di samping itu, Bangunan Sultan Abdul Samad di seberang Dataran Merdeka juga dihiaskan oleh ukiran orkid dan bunga raya di cucur atap. Satu lagi contoh yang terkenal ialah Istana Tengku Long, Kelantan. Pada dinding berpanel dalam istana itu terdapat ukiran kayu berbentuk orkid. Biasanya, ukiran kayu berbentuk flora dan pokok ialah elemen utama dalam hiasan istana tradisional Melayu (Datuk Syed Ahmad Jamal, 2009, hlm45). Ini menunjukkan bahawa orkid merupakan sebuah pilihan yang popular. Tambahan pula, imej orkid senang diperoleh di atas bangunan, di taman, pusat membeli-belah, dewan pameran dan tempat-tempat awam yang lain. Ini jelas menunjukkan bahawa orang Melayu sememangnya mempunyai kecintaan terhadap bunga orkid. Dengan sebab itulah kita dapati seni reka bunga orkid ini turut memperluaskan dan memperkayakan gaya reka bangunan di Malaysia.

1 2
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China