Cari:
Islam dan Masjid di Zaman Dinasti Ming
2012-12-24 18:11:55 CRI Cetak

 Mengikut catatan sejarah, Agama Islam dikatakan telah mula muncul di negara China pada zaman Dinasti Tang (618-907), iaitu lebih kurang tahun 651 Masehi. Pada ketika itu, utusan daripada negara Dashi (Iran sekarang) telah datang menghadap Maharaja Tang untuk menjalin hubungan persahabatan. Dalam jangkamasa 651-798, utusan Dashi telah datang melawat China sebanyak 39 kali. Pada tahun 757 Masehi, untuk mengatasi pemberontakan dalam negara, kerajaan Dinanti Tang telah meminta bantuan ketenteraan daripada kerajaan Dashi untuk memerangi puak pemberontak. Seramai tiga ribu orang askar Islam telah menyertai misi bantuan ketenteraan ini. Selepas itu, ramai daripada askar Islam berkenaan tinggal di Changan, Ibu Kota Dinanti Tang pada ketika itu. Kebanyakan tentera Islam ini telah berumahtangga dengan wanita tempatan dan menetap di kawasan berkenaan. Sehingga tahun 787 Masehi, jumlah penduduk Islam telah mencecah 4,000 orang terutama dengan kedatangan pedagang Islam yang turut menetap dan menjadi warganegara China. Seterusnya, Islam terus berkembang pesat di berbagai dinasti termasuklah Dinasti Song (960-1279), Dinasti Yuan (1271-1368), Dinanti Ming (1368-1644) dan Dinasti Qing (1644-1911).

(Masjid Dongsi, Beijing)

Era yang paling penting dalam sejarah Islam di China adalah pada zaman Dinasti Yuan (1271-1368). Ini kerana pada ketika itu orang-orang Islam dilayan dengan begitu baik dan menjadikan bilangan mereka semakin ramai. Perkara ini berlaku mungkin disebabkan oleh Dinasti Yuan ini merupakan `orang luar' keturunan Mongol yang memerintah China. Oleh yang demikian, mereka turut memberikan keistimewaan dan layanan baik kepada `orang luar yang lain' dalam negara China. Justeru, kedudukan orang-orang Islam pada era Dinasti Yuan ini adalah penting dalam sejarah perkembangan Islam di China terutama sekali disebabkan perkara-perkara berikut:- Pertama, jumlah orang Islam pada ketika ini telah berlipat ganda bilamana ramai orang Islam masuk ke China mengikuti tentera Monggolia. Ini menjadikan taburan orang Islam semakin bertambah dan beranak pinak di merata tempat seluruh China. Kedua, status sosial orang Islam sangat tinggi. Ini kerana pada zaman Dinasti Yuan ini terdapat empat tingkatan sosial di Negara China yangmana golongan atau orang keturunan Yuan sebagai paling tinggi sekali dalam tingkatan social di China. Ini diikuti oleh orang Islam pada tingkatan kedua, dan orang Han (Cina) sebagai tingkatan tiga; dan kaum minoriti lain dalam tingkatan empat. Perkara seperti ini jelas menunjukkan bahawa kedudukan orang Islam adalah tinggi pada waktu itu, lebih tinggi daripada kaum Han sendiri. Orang Islam mempunyai hak istimewa seperti tidak dikenakan cukai dan kerja wajib. Ini juga mendorong pengembangan Islam di China. Ketiga, ada sekolah yang khususnya untuk mendidik pekerja agama Islam. Keempat, mereka memberikan sumbangan besar dalam bidang ilmu pengetahuan termasuklah ilmu sains, ilmu falak, ilmu bumi, ilmu kedoktoran, ilmu pembangunan, ilmu ketenteraan dan sebagainya.

(Masjid Madian, Beijing )

Namun demikian, pada era pemerintahan selepas Dinasti Yuan, iaitu era Dinasti Ming (1368-1644), kedudukan orang-orang Islam agak terjejas dan tidak memberikan suasana yang baik kepada perkembangan komuniti Islam di negara China. Pengembangan Islam terjejas teruk kerana dasar Dinasti Ming pada ketika itu hanya memberikan keutamaan dan keistimewaan kepada kaum Han. Manakala kaum minoriti termasuklah orang-orang Islam tidak diberikan keutamaan, malahan berlaku diskriminasi dalam berbagai aspek. Antara perkara yang menjadi sekatan terhadap orang Islam ketika itu ialah larangan perkahwinan campur antara orang Islam dan bukan Islam yang memeluk Islam. Ini bertujuan bagi membatasi tambahan jumlah orang-orang Islam yang sedia ada. Selain itu, Maharaja Ming mementingkan pertanian dan kurang menumpukan perhatian terhadap perniagaan. Dasar ini kurang disenangi oleh orang-orang Islam yang kebanyakannya bekerja sebagai saudagar atau peniaga. Malahan, untuk memajukan bidang pertanian, pemerintah Ming tidak membenarkan penyembelihan lembu dan kerbau secara sembarangan. Ini juga menjadi masalah kepada orang-orang Islam. Seterusnya, pada zaman Dinasti Ming juga dilarang melakukan kegiatan perdagangan di laut. Larangan ini telah memutuskan hubungan orang-orang Islam di Negara China dengan negara-negara Islam yang lain. Walau bagaimanapun, pelayaran Zhenghe (Cheng Ho) ke rantau Asia Tenggara sebanyak 7 kali telah mengembalikan semula hubungan orang-orang Islam di China dengan umat Islam di negara-negara luar terutamanya sekitar Asia Tenggara. Pada ketika ini orang-orang Islam di China yang dikenali sebagai Kaum Huihui semakin kukuh hubungannya dengan orang-orang Islam di seluruh dunia.

(Masjid Niujie, Beijing)

Walaupun kenyataan sejarah mengatakan bahawa pada zaman Dinasti Ming ini orang-orang Islam tidak begitu diberikan perhatian, namun pada tanggapan penulis perkembangan Islam pada zaman Dinasti Ming terutamanya berkaitan dengan rumah ibadat, iaitu masjid amat baik sekali. Ini dibuktikan dengan terdapat banyak masjid yang didirikan pada zaman Dinasti Ming. Malahan masjid-masjid yang sedia ada dibangun serta dibaik pulih untuk orang-orang Islam beribadat. Ini termasuklah masjid-masjid penting di sekitar Beijing, Tian Jin, Xian, Kunming, Mongolia Dalam dan sebagainya. Di Beijing misalnya, Masjid Niujie yang telah dibina sebelum zaman Ming telah dibaik pulih mengikut senibina Dinasti Ming. Begitu juga Masjid Madian dan Masjid Dongsi di Utara Beijing. Di Tian Jin pula dibina Masjid Besar Selatan (Nan Da-Si) dan Masjid Besar Tian Jin (Qing Zhen Da-Si). Manakala di Mongolia Dalam terdapatnya Masjid Besar Selatan (Masjid Kuno) yang terkenal dibina pada zaman Dinasti Ming. Masjid Huaisheng di Guangzhou pula yang mula dibina sejak zaman Dinasti Tang telah turut dibaik pulih pada zaman Dinasti Ming. Reka bentuk masjid-masjid pada ketika ini menyamai antara satu sama lain berdasarkan senibina Ming. Ini termasuklah dari aspek bangunannya, bumbung dan ukiran dalaman serta luaran masjid-masjid berkenaan.

(Masjid Besar Selatan, Tian Jin)

1 2
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China