Cari:
Lawatan Pak Lah dalam Konteks Kepentingan Global Dunia Melayu Masa Kini
2012-12-24 18:49:33 CRI Cetak

 Pada 14 Mei 2012, Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (Pak Lah) telah datang melawat ke Beijing Foreign Studies University (BFSU) untuk menyampaikan Ucap Utama bertajuk `Hubungan Malaysia-China'. Lawatan ini merupakan kunjungan beliau yang kedua ke BFSU sejak pertama kalinya Tun datang ke sini pada tahun 2004.

(Pak Lah sedang memberikan Ucaputama)

Ucaptama beliau telah dihadiri oleh staf akademik dan ramai pelajar serta graduan Jurusan Bahasa Melayu BFSU serta para pelajar Malaysia Jurusan Bahasa Mandarin di BFSU, BLSU dan sekitar Beijing. Tetamu luar dari Kedutaan Besar Malaysia di China, pihak media dan berbagai pihak lagi telah turut hadir dalam majlis yang sungguh meriah ini. Sambutan permaidani merah dihamparkan dengan diiringi paluan kompang oleh para pelajar Jurusan Bahasa Melayu bagi menyambut ketibaan Pak Lah dan isteri serta rombongannya.

 

(Di atas pentas bersama Timbalan Naib Canselor BFSU dan Datuk Iskandar Sarudin, Duta Besar Malaysia ke China)

Dalam Ucaptama Pak Lah, beliau menyoroti sejarah perhubungan dua hala antara Malaysia dan China, yangmana beliau berkata bahawa kunci kepada pembangunan bersama bagi kedua-dua negara adalah penting khususnya di rantau Asia. Selain itu, beliau juga berpandangan bahawa kemakmuran China akan turut membantu menimbulkan persaingan yang sihat di Rantau Asia-Pasifik. Seterusnya, akan dapat meningkatkan kemajuan ASEAN serta memperkukuhkan kestabilan dan kemakmuran rantau ini. Dalam erti kata lain, beliau menekankan bahawa pembangunan China secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada negara-negara ASEAN. Oleh yang demikian, hubungan Malaysia dan China ini sangat wajar dipelihara dan dipertingkatkan lagi dalam berbagai aspek termasuklah aspek pengajian tinggi dan bahasa. Dalam ucapan beliau selama hampir satu jam tersebut, Pak Lah turut berasa bangga dan memuji para pelajar Jurusan Bahasa Melayu yang begitu fasih berbahasa Melayu di negara asing. Beliau juga berkata bahawa China telah berkembang menjadi sebuah negara yang berpengaruh di dunia, dan bahasa China menjadi bahasa antarabangsa. Dengan itu, beliau berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan belajar bahasa China, dan ini bukan sahaja bermanfaat kepada kesejahteraan negara Malaysia yang mempunyai pelbagai budaya, tetapi juga kepada pembangunan hubungan dua hala di peringkat global.

(Para pelajar dan staf Akademik Jurusan Bahasa Melayu BFSU bergambar - kenangan bersama Pak Lah)

Ucaptama Pak Lah tersebut sememangnya selaras dengan perkembangan dunia masa kini. Arus dan ledakan globalisasi telah mencetuskan perubahan signifikan dalam lanskap ekonomi dunia dan hala tuju baharu pengajian tinggi. Negara China kini merupakan peneraju ekonomi yang sedang berkembang pesat dan berpotensi menguasai pentas dunia sedikit masa lagi. Oleh itu, China adalah rakan kongsi yang penting bagi dunia Melayu ke arah pengantarabangsaan dan keterlibatan yang signifikan dalam arus global. Hubungan China dengan dunia Melayu mampu untuk melonjakkan peradaban bangsa di masa akan datang. Ledakan ekonomi China dalam arus globalisasi turut memberi impak ke atas kewibawaan bidang-bidang pengajian tempatan seperti Pengajian Melayu. Malahan, yang lebih penting lagi kita akan dapat meletakkan Pengajian Melayu selari dengan kepesatan ekonomi China masa kini agar limpahan kekuatan ekonomi China akan memberikan kesan positif ke atas dunia Melayu keseluruhannya. Justeru, hasrat Pak Lah tadi dapat diterjemahkan sebagai platform untuk menyebarluaskan jaringan akademik IPT tempatan khususnya Pengajian Melayu dengan akademia serantau, selaras dengan kedudukan dan potensi ekonomi China di peringkat antarabangsa. Keupayaan Negara Tembok Besar ini menguasai ekonomi dunia semakin terserlah bilamana ia berjaya menganjurkan Sukan Olimpik 2008. Sejak itu, senario ekonomi dan politik China makin mengkagumkan serta begitu signifikan sekali. Justeru, tidak hairanlah negara-negara peneraju ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat, Jerman, Jepun, Peranchis dan sebagainya, mula memberikan tumpuan dan perhatian kepada China. Pelaburan sektor industri semakin rancak dengan kos buruh yang berpatutan di China. Pasaran domestik China yang mempunyai penduduk hampir 1.3 billiun sudah cukup menjanjikan keupayaan pulangan yang besar dalam pelaburan di negara tersebut. Ini ditambah pula dengan peningkatan teknologi, inovasi dan kemahiran sumber manusianya yang begitu ramai, iaitu menghasilkan graduan antara empat ke lima juta setahun. Semua ini memberikan gambaran bahawa China bakal menjadi negara maju yang setanding dengan negara-negara maju yang sedia ada di dunia pada hari ini.

(Kompang dan persembahan tarian pelajar Jurusan Bahasa Melayu)

Sehubungan dengan potensi China sebagai peneraju ekonomi global, sudah tentulah kerjasama pintar yang strategik amat berfaedah dalam konteks jaringan sosial ekonomi di masa depan. Dalam konteks ini, Dunia Melayu memang memerlukan rakan kongsi yang dapat membawa dan menterjemahkan peradaban Melayu di persada antarabangsa. Justeru, Dunia Melayu perlu mengambil kesempatan dan peluang yang terbuka luas ini dengan meningkatkan lagi kerjasama serta persahabatan dengan negara China. Secara tidak langsung, apabila kelestarian China menjadi kenyataan nanti, maka Dunia Melayu akan turut menikmati hasilnya daripada limpahan kemakmuran negara tersebut. Inilah yang ingin digali dan dipenuhi agar hubungan China dengan Dunia Melayu ini akan menjadi satu benteng dan jambatan bagi memartabatkan bangsa Melayu di seluruh dunia. Kedudukan strategik China dan Dunia Melayu mampu membentuk jaringan global yang akan dapat memacu kemajuan bersama. Dalam bidang pendidikan tinggi, pengukuhan jaringan global dapat dicapai melalui kolaborasi penyelidikan, penawaran pengajian yang relevan. Dengan sebab itulah empat kursi Pengajian Melayu telah ditubuhkan di universiti luar negara iaitu Ohio University (Amerika Syarikat), Leiden University (Belanda), Victoria University (New Zealand) dan Beijing Foreign Studies University (China). Penubuhan kursi pengajian seumpama ini dilihat dapat mempertingkatkan jaringan global pengajian tinggi dan kegiatan kolaboratif akademik di peringkat antarabangsa khususnya dalam bidang pengajaran, penyelidikan dan perundingan khususnya dalam bidang Pengajian Melayu.

Sesi bergambar dengan para pelajar mengakhiri lawatan Pak Lah ke BFSU dengan meninggalkan berbagai kenangan manis yang terpahat disanubari masing-masing.

Kerjasama strategik China dengan Dunia Melayu dilihat mampu meritis jalan untuk mempromosikan Pengajian Melayu di persada antarabangsa yang secara tidak langsung mampu melestarikan peradaban Melayu dalam era globalisasi yang begitu kompetitif hari ini. Untuk menyahut cabaran global, Pengajian Melayu perlu berupaya menjadi wadah untuk menampilkan peradaban Melayu sebagai daya ketamadunan saling dampak dan sinambung dari zaman ke zaman. Demi memastikan Pengajian Melayu kekal dinamik dan relevan daerah kajiannya perlu diperluaskan agar tidak sekadar berkisar kepada kupasan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu. Sudah sampai masa dan ketikanya Pengajian Melayu disuntik nilai-nilai inovatif, saintifik dan kreativiti agar dilihat sebagai sebuah peradaban yang progresif dan berdaya saing. Namun begitu, era globalisasi hari ini menuntut Peradaban Melayu disamping berdaya interaksi, perlu memiliki keupayaan menyaring dan resapan yang baik agar usaha-usaha membangunkan dan memajukan Peradaban Melayu tidak meminggirkan nilai, roh dan etos Melayu yang bertunjangkan kesempurnaan Islam. Justeru, lawatan dan Ucaptama Pak Lah ini diharap akan dapat membantu memperkemaskan Pengajian Melayu sebagai bidang pengajian yang dinamik, berdaya saing dan berkualiti tinggi biar pun dicabar dengan agenda globalisasi yang sengit hari ini.

(Kompang dan persembahan tarian pelajar Jurusan Bahasa Melayu)

Selepas ucapannya, ramai penonton mengemukakan soalan mengenai isu-isu keadaan rantau Asia- Pasifik, serta bertanyakan pendapat Pak Lah tentang perubahan China dalam tempoh 8 tahun dan sebagainya.

Majlis ucaputama ini telah diserikan dengan persembahan tarian, bacaan puisi, dikir barat dan nyanyian beramai-ramai oleh para pelajar Jurusan Bahasa Melayu serta pelajar Malaysia. Acara pertama ialah tarian Kurik Kundi. Disebabkan sudah berlatih banyak kali, para pelajar Jurusan Bahasa Melayu melangkah ke pentas dengan penuh semangat dan menari dengan penuh penghayatan. Dalam tarian ini, lima pasang penari memang terpesona dalam gerakan tarian dan rentak muzik sehingga tersenyum tanpa disedari. Selain itu, dengan interaksi mata antara setiap pasangan, para penonton tertarik hati dan memberikan tepukan kepada mereka. Seterusnya, Dikir Barat yang dipentaskan oleh para pelajar Melayu meningkatkan suasana persembahan. Para penonton yang tidak mempunyai banyak pengetahuan tentang kaum Melayu agak kagum dengan persembahan tradisional ini. Selepas itu, saudara Azman (Pelajar Jurusan Bahasa Melayu) mempersembahkan serangkap puisi dengan penuh emosi. Walaupun puisi ini amat pendek, tetapi yakin Pak Lah akan terharu apabila mendengar seorang pelajar asing mendeklamasikan puisi yang dicipta oleh Pak Lah sendiri. Selepas itu, masa untuk semua pelajar jurusan bahasa Melayu mempersembahkan nyanyian korus Satu Malaysia. Barisan mereka dibahagikan kepada empat bahagian. Setiap bahagian memegang bendera China atau bendera Malaysia, melambangkan perhubungan antara negara China dan Malaysia yang sangat erat. Setelah melangkah ke pentas, mereka semua senyum riang, dan kali ini mereka menyanyi dengan lebih baik berbanding semasa dalam latihan. Apabila mereka mengibarkan bendera, para penonton juga mengibarkan bendera masing-masing dan ini menjadikan seluruh dewan dipenuhi dengan rasa riang gembira. Pak Lah juga menyanyi bersama membuatkan suasana semakin gamat dan meriah. Inilah kemuncak kepada persembahan pada hari tersebut.

(Bergambar beramai-ramai dengan Pak Lah)

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China