Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Setiausaha Sekretatiat Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Pengerusi Jabatan Penerangan Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Liu Qibao telah menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Dialog Tokoh Politik dan Rakyat China-Asia Tenggara pada pagi 3 Jun 2013.
Teks ucapan beliau seperti berikut:
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian:
Selamat pagi semua! Saya amat bersukacita dapat berkumpul dengan tetamu dari pelbagai negara Asia Tenggara di bandar Nanning, untuk menyaksikan perasmian Dialog Tokoh Politik dan Rakyat China-Asia Tenggara. Terlebih dahulu, izinkanlah saya mewakili Parti Komunis China dan kerajaan China, mengucapkan tahniah kepada perasmian dialog kali ini, di samping mengucapkan selamat datang kepada rakan-rakan dari pelbagai negara, dan juga memberikan penghormatan yang setinggi-tingginya kepada tokoh-tokoh dari pelbagai kalangan yang memberikan sumbangan kepada perkembangan hubungan China dengan negara-negara Asia Tenggara selama ini.
Saya telah bertugas di Guangxi untuk masa yang panjang. Di sinilah, saya telah menyaksikan penganjuran Ekspo China-ASEAN, pelaksanaan strategi kerjasama ekonomi Pan Teluk Beibu, serta siapnya Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN. Di samping itu, saya telah kerap kali mengadakan lawatan ke negara-negara Asia Tenggara, dan juga menerima kunjungan ramai tetamu dari Asia Tenggara. Maka, hari ini saya merasai suasana yang penuh kemesraan apabila bertemu dengan sahabat-sahabat lama dan rakan-rakan baharu di sini.
Dialog kali ini bertema "mewujudkan kedamaian untuk pembangunan, bekerjasama demi situasi menang-menang: keazaman dan impian bersama rakyat China dan Asia Tenggara". China dan negara-negara Asia Tengara berdekatan dari segi lokasi geografi, dan mempunyai persamaan dalam kebudayaan. Hidup bersama secara damai, menjalinkan hubungan persahabatan yang sama rata dan saling membantu, tetap merupakan arus perdana dalam perkembangan hubungan kedua-dua pihak. Pada tahun 2003, China menganggotai "Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama Asia Tengara", sekali gus menjalinkan hubungan rakan strategik antara satu-sama lain. Selepas itu, perkembangan hubungan dua hala menjadikan isi kandungannya lebih kaya dan lebih pragmatik, khususnya dalam bidang dialog politik, kerjasama ekonomi dan perdagangan, serta interaksi sosiobudaya dalam kalangan rakyat. Perkembangan hubungan ini merupakan pilihan bersama kedua-dua pihak yang bersifat strategik.
Tuan-tuan dan Puan-Puan,
Dunia sekarang sedang menyaksikan perubahan yang mendalam lagi rumit. Kedamaian, pembangunan, kerjasama dan situasi menang-menang tetap merupakan arus perdana pada zaman ini. Rakyat dunia mahukan kedamaian, pembangunan dan kerjasama. Rakyat China bersedia berusaha bersama-sama dengan rakyat pelbagai negara Asia Tenggara dalam mewujudkan kedamaian berkekalan dan kemakmuran bersama. Inilah impian bersama kita.
Memelihara kedamaian merupakan prasyarat demi mencapai impian bersama tersebut. Prinsip mesra dengan jiran tetap dijunjung dalam tradisi China sejak zaman purba. Kita amat menghargai kedamaian kerana kita pernah mengalami kesengsaraan akibat peperangan sebelum ini. Pada tahun 1950-an, China dan negara-negara Asia Tenggara telah bersama-sama mengemukakan saranan Lima Prinsip Hidup Bersama secara Damai, sekali gus meletakkan asas yang kukuh kepada hubungan dua hala, dan juga memberikan sumbangan yang penting dalam memelihara kedamaian dunia. Kita berpendirian untuk menyelesaikan perselisikan melalui dialog, sebaliknya bukan konfrantasi, bersama-sama memelihara kedamaian serantau, di samping menentang kegiatan mencetuskan perselisihan, menjejaskan kedamaian dan kestabilan serantau demi kepentingan sendiri.
Mendorong pembangunan merupakan saluran penting untuk merealisasikan impian bersama. Kini, China dan negara-negara Asia Tenggara mempunyai tugas untuk mendorong pembangunan. Kita telah mencapai hasil yang amat menggalakkan dalam usaha tersebut. Pada masa ini, China telah menjadi rakan dagang terbesar bagi ASEAN, manakala ASEAN pula rakan dagang ketiga terbesar bagi China. Jumlah perdagangan antara kedua-dua pihak mencecah empat ratus billion dolar Amerika pada tahun 2012. Kita sepatutnya mengoptimumkan keunggulan masing-masing, saling melengkapi dan berkongsi sumber berkenaan, membangun bersama supaya meningkatkan daya saing bersepadu rantau ini. Ini bukan hanya berfaedah bagi mewujudkan matlamat pelbagai negara, malah dapat meneroka ruang yang lebih besar untuk pembangunan bersama.
Memperkasakan kerjasama merupakan kaedah yang efisien bagi mewujudkan impian bersama. Pada zaman sekarang ini, tiada negara yang dapat menangai sendiri cabaran-cabaran yang bersifat global. China dan negara-negara Asia Tenggara telah mempertingkatkan kerjasama yang menyeluruh, yang meliputi bidang kewangan, sains dan teknologi, pertanian, sumber tenaga dan usaha membasmi kemiskinan. Kami berkeyakinan dan komited mencari bidang dan kaedah kerjasama yang baharu untuk meningkatkan kerjasama yang saling menguntungkan ke tahap yang baharu.
Mewujudkan muafakat bestari merupakan pilihan yang wajar bagi mewujudkan impian bersama. Rakyat China memegang falsafah bahawa "orang menyempurnakan dirinya sendiri ketika miskin, dan seharusnya memberikan kebaikan kepada orang lain apabila menjadi kaya." Individu yang hanya mementingkan dirinya sendiri tidak akan mengecapi kebahagiaan yang benar dan kekal. Dalam Kongres Kebangsaan Ke-18 Parti Komunis China pada akhir tahun lepas, prinsip "saling menguntungkan" ditegaskan dalam usaha mengembangkan kerjasama antarabangsa. Prinsip ini memperlihatkan hasrat bersama pelbagai negara dan juga komitmen China kepada masyarakat antarabangsa. Kita patut memperluas kepentingan bersama, mengambil kira kepentingan negara lain di samping membina kepentingan sendiri supaya mewujudkan pembangunan bersama.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Setelah Kongres Kebangsaan ke-18 Parti Komunis China berakhir, kumpulan pemimpin baharu China telah mengemukakan wawasan "Impian China". Ia bermaksud membangunkan negara yang kaya, makmur, dan rakyat hidup dengan bahagia dalam suasana sentosa. Impian ini mengutamakan kedamaian dan keharmonian. Oleh yang demikian, "impian China" selaras dengan impian bersama China dengan Asia- Tenggara untuk mewujudkan kedamaian berkekalan dan kemakmuran bersama. Ia bukan sahaja akan memberikan manfaat kepada rakyat China, bahan kepada rakyat Asia Tenggara, dan pasti akan mencipta peluang baharu bagi pembangunan damai serantau bahkan sejagat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
China dan negara-negara Asia Tengara bersempadan, kita seharusnya berusaha bersama-sama untuk mewujudkan suasana yang aman dan stabil berdasarkan prinsip sama rata, saling mempercayai dan kerjasama yang saling menguntungkan. Perkembangan hubungan yang berorientasikan prinsip berjiran dan rakan yang baik selaras dengan kepentingan bersama kedua-dua pihak. Dalam konteks ini, saya ingin mengemukakan beberapa cadangan sebagai berikut:
Pertama, mengekalkan perpaduan dan rasa saling mempercayai di samping meningkatkan dialog dan koordinasi. China akan tetap mempertahankan jalan pembangunan secara damai tanpa mengira apa perubahan dalam masyarakat antarabangsa, dan terus memegang dasar luar yang bersahabat dengan negara-negara jiran. China bersedia bekerjasama dengan negara-negara Asia Tengara dalam menyelesaikan perselisihan dengan sempurna berdasarkan prinsip saling bertolak ansur dan perbincangan yang bersahabat. Kita yakin bahawa asalkan kedua-dua pihak bersedia meningkatkan koordinasi dan persefahaman antara satu sama lain, kaedah baharu pasti dapat dicari untuk menjamin kedamaian dan kestabilan serantau.
Kedua, mengekalkan kerjasama saling menguntungkan dan berkongsi manfaat daripada pembangunan. Kerjasama pragmatik perlu dipertahankan bagi mendorong hubungan persahabatan antara China dengan negara Asia Tenggara. China bersedia berusaha bersama-sama dengan pelbagai negara Asia Tenggara untuk terus menerokai potensi kerjasama dalam bidang perdagangan, teknologi canggih, sumber tenaga baharu dan kewangan, di samping memperhebat kerjasama dalam mewujudkan kesalinghubungan serantau dan maritim. Selain itu, kerjasama yang berhubung dengan kehidupan rakyat perlu ditingkatkan supaya hasil kerjasama betul-betul memberikan manfaat kepada rakyat serantau.
Ketiga, mendorong kemajuan bersama dengan bertoleransi dan menimba pengalaman antara satu sama lain. Kita memegang semangat yang terbuka dan bertoleransi, di samping menghormati hak rakyat pelbagai negara dalam menentukan jalan pembangunan dan sistem sosial di negara sendiri. Kita perlu berusaha menghapuskan kecurigaan dan salah faham, dan saling mengambil pengalaman ketika menangani pelbagai cabaran.
Keempat, mengekalkan persahabatan kalangan rakyat demi memperkukuh asas hubungan dua hala. Perkara ini juga merupakan arus perdana dan juga hasrat bersama rakyat serantau. China bersedia menjalankan interaksi dalam pelbagai aspek dengan negara-negara Asia Tengara bagi memperkukuh asas persahabatan dari segi masyarakat, dan memastikan rakyat betul-betul memperoleh manfaat daripada hubungan persahabatan China-Asia Tengara.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Pertubuhan kalangan rakyat kini berkembang dengan penuh dinamik di lingkungan sejagat, dan aktif mengambil bahagian dalam usaha ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi, kesihatan dan perlindungan alam sekitar. Pertububhan kalangan rakyat kini memberikan pengaruh yang semakin besar kepada hubungan antarabangsa. Parti Komunis China dan kerajaan China tetap mengutamakan pertukaran dengan pelbagai pertubuhan kalangan rakyat di Asia Tengara dan menyokong mereka menjalinkan kerjasama dan interaksi dalam pelbagai bidang. Tokoh-tokoh politik dan kalangan rakyat pelbagai negara diharapkan dapat memanfaatkan dialog kali ini untuk membentangkan pendirian masing-masing dan mengemukakan cadangan yang menyumbang kepada pencapaian impian bersama.
Akhir sekali, semoga Dialog Tokoh Politik dan Rakyat China-Asia Tenggara kali ini dapat diadakan dengan penuh kejayaan. Sekian, terima kasih!