Cari:
Ucapan Presiden Xi Jiinping pada Majlis Perasmian Persidangan Tidak Rasmi Pemimpin-pemimpin APEC
2014-11-11 14:46:50 CRI Cetak

Persidangan Tidak Rasmi Pemimpin-pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Ke-22 telah dirasmikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa di tepi Tasik Yanqi, daerah Huairou, bandar Beijing pagi tadi.

Presiden China, Xi Jinping telah menyampaikan ucaptama dalam majlis perasmian persidangan tersebut. Ucapan penuh beliau seperti berikut:

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya amat gembira kita dapat berkumpul di tepi Tasik Yanqi ini di Beijing. Terlebih dahulu, saya dengan penuh sukacitanya mengalu-alukan kedatangan tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Setiap musim bunga dan musim gugur, terdapat banyak angsa liar singgah di sini. Inilah sebabnya tasik ini dinamakan Tasik Yanqi. Kita 21 anggota APEC, ibarat 21 ekor angsa liar. Terdapat puisi China yang bermaksud"angin bertiup, ombak berbuih, dan bunga berkembang; angsa-angsa liar terbang sebaris di langit". Kita berkumpul di sini seperti angsa-angsa liar itu, bersama-sama membincangkan usaha meningkatkan kerjasama bagi mewujudkan visi baharu pembangunan Asia-Pasifik.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-25 penubuhan APEC. Asia-Pasifik mencapai pembangunan dan kemakmuran dalam tempoh 25 tahun ini. APEC telah menyaksikan kecemerlangan pembangunan Asia-Pasifik, sementara pembangunan Asia-Pasifik juga memberi misi baharu kepada APEC.

Pada masa ini, pemulihan ekonomi dunia masih menghadapi banyak unsur yang tidak stabil dan tidak menentu, manakala pembangunan Asia-Pasifik juga memasuki tahap baharu. Ekoran itu, kita menghadapi banyak peluang dan cabaran pada masa yang sama. Bagaimana mengelakkan kerjasama ekonomi serantau menjadi retak? Bagaimana mewujudkan penjana pertumbuhan ekonomi pada zaman pasca krisis kewangan antarabangsa? Dan bagaimana menghapuskan halangan dalam pengumpulan dana dalam pembangunan kesalinghubungan? Semua ini masalah yang patut kita bincangkan dengan teliti dan tangani dengan berkesan.

Berdepan dengan situasi baharu, kita patut memperdalam integrasi ekonomi serantau dan membentuk struktur terbuka yang bermanfaat bagi pembangunan jangka panjang. APEC patut memainkan peranan sebagai peneraju dan penyelaras, menghapuskan pelbagai halangan supaya mewujudkan keterbukaan, interaksi dan penggabungan yang lebih meluas, bertaraf lebih tinggi dan lebih mendalam di rantau Asia-Pasifik. Kita perlu menghapuskan halangan dalaman dan membuka pintu kepada dunia. Kita perlu menggalakkan Matlamat Bogor dan proses Kawasan Perdagangan Bebas Asia-Pasifik (APFTA), menetapkan sasaran, hala tuju dan peta garisan yang jelas, supaya matlamat integrasi trans pasifik yang tahap keterbukaannya tinggi menjadi kenyataan secepat mungkin.

Berdepan dengan situasi baharu, kita patut menggalakkan pembaharuan dan inovasi dengan sedaya upaya, mencari pertumbuhan dan penjana ekonomi yang baharu supaya membentuk struktur pertumbuhan yang kukuh dan lestari. Bagaimana mewujudkan penjana pertumbuhan ekonomi pada zaman pasca krisis kewangan antarabangsa? Jawapannya mudah sahaja, penjana baharu hanya mungkin diwujudkan melalui pembaharuan, inovasi dan pengubahsuaian. Kita perlu membaharui strategi pembangunan, mengubah penjana yang berorientasikan pengeluaran dan eksport menjadi yang berorientasikan inovasi dan pembaharuan, dan membebaskan penjana dalaman melalui pengubahsuaian struktur. Kita perlu mengubah model tadbir urus pasaran, supaya pasaran dapat memainkan peranan muktamad dalam pengagihan sumber. Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu memainkan peranan dengan lebih baik. Kita perlu mengalakkan inovasi sains dan teknologi demi meningkatkan pembaharuan tenaga dan penggunaan, menjadikan Asia-Pasifik rantau yang paling awal mewujudkan revolusi sains dan teknologi baharu. Pada tahun ini, kita menggalakkan kerjasama dalam bidang ekonomi internet, urbanisasi, ekonomi biru dan lain-lain, serta membincangkan masalah "perangkap pendapatan sederhana". Semua ini merupakan topik ekonomi antarabangsa yang paling hangat dan menonjol dan menjadi permulaan yang baik bagi mencapai matlamat tersebut.

Berdepan dengan situasi baharu, kita patut mempergiat pembinaan infrastruktur dan mewujudkan kesalinghubungan yang komprehensif. Kesalinghubungan merupakan laluan yang perlu kita tempuhi. Tidak kira kesalinghubungan jalan raya, landasan kereta api, laluan pelayaran atau pun internet, di mana-mana ada laluan, di situlah kita jalankan kerjasama. Kesalinghubungan juga merupakan laluan dari hati ke hati. Apabila kita saling memahami, kita lebih mudah menangani pelbagai masalah. Mewujudkan kesalinghubungan yang menyeluruh di Asia-Pasifik, adalah untuk menyambungkan semua anggota APEC, baik dari segi laluan di bawah kaki, dasar dan peraturan, ataupun dari hati ke hati. Menghapuskan halangan dalam pengumpulan dana adalah untuk meningkatkan hubungan antara kerajaan dengan swasta sehingga mewujudkan pembangunan bersama.

Tuan-tuan dan puan-puan,

APEC merupakan sebuah keluarga yang besar. Membentuk struktur ekonomi Asia-Pasifik yang mempunyai ciri-ciri inovatif, berkembang bersama, dan mengutamakan keprihatinan negara-negara serantau, bersesuaian dengan kepentingan bersama semua anggota kita. Untuk mewujudkan sasaran tersebut, pelbagai entiti ekonomi di Asia-Pasifik perlu bersama-sama menjalinkan hubungan rakan yang saling mempercayai, inklusif, kerjasama dan saling menguntungkan, menyediakan penjana baharu kepada pembangunan ekonomi rantau Asia-Pasifik bahkan seluruh dunia.

Pertama, bersama-sama merancangkan wawasan pembangunan. Pembangunan rantau Asia-Pasifik berkait rapat dengan kepentingan setiap anggotanya. Kita telah mencapai konsensus yang penting untuk memulakan proses APFTA, mendorong kesalinghubungan, dan menggalakkan inovasi. Kita harus mengambil tindakan berdasarkan konsensus tersebut dan melakar cetak biru untuk pembangunan dalam jangka 5 tahun akan datang, 10 tahun akan datang malah 25 tahun akan datang.

Kedua, bersama-sama menangani cabaran global. Pada zaman pasca krisis kewangan antarabangsa ini, kita bukan sahaja perlu mementingkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan penyelarasan dasar makro, malah juga perlu menyelesaikan pelbagai masalah sejagat termasuk penyakit berjangkit, jaminan bahan makanan, keselamatan sumber tenaga dan sebagainya. Kita perlu berkongsi maklumat untuk meningkatkan persefahaman antara satu sama lain, bertukar-tukar pengalaman supaya membentuk amalan terbaik, menyelaraskan untuk bertindak bersama, saling membantu untuk memperkasakan kerjasama serantau.

Ketiga, bersama-sama membentuk wadah kerjasama. Rakan bermaksud bekerjasama untuk menjayakan usaha baik dan penting. Kita perlu menjayakan APEC sebagai wadah untuk menggalakkan integrasi, meningkatkan pertukaran pengalaman, menentang fahaman perlindungan perdagangan. APEC perlu dijadikan wadah untuk merapatkan kerjasama ekonomi dan teknologi, dan mendorong kesalinghubungan. Pembangunan dan kemajuan APEC bergantung pada sokongan anggota-anggotanya.

Di sini, saya mengumumkan bahawa China akan memperuntukkan dana sejumlah USD10 juta untuk menyokong pembinaan mekanisme dan keupayaan APEC serta kerjasama pragmatik dalam pelbagai bidang yang berkaitan.

Keempat, bersama-sama mengejar pembangunan bersama. Rakan bermakna bekerjasama demi situasi menang-menang dan saling melengkapi. Kini, beberapa entiti ekonomi membangun di rantau Asia-Pasifik menghadapi kesukaran yang besar. Pembangunan rantau ini tidak akan berterusan tanpa pembangunan mereka. Oleh yang demikian, kita perlu meningkatkan sokongan kepada anggota membangun sama ada dari segi dana atau pun teknologi, mengoptimumkan kelebihan masing-masing untuk mencapai pembangunan bersama.

Dalam tempoh tiga tahun yang akan datang, kerajaan China akan menawarkan 1,500 peluang latihan kepada anggota-anggota membangun APEC dalam program pembinaan keupayaan perdagangan dan pelaburan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Persidangan kali ini bertemakan "Membina Bersama Hubungan Rakan Asia-Pasifik ke Masa Hadapan". Kita akan mengadakan perbincangan mengenai tiga topik, iaitu "mendorong integrasi ekonomi serantau", "menggalakkan pembangunan, inovasi dan pertumbuhan ekonomi", serta"memperkasakan pembinaan infrakstruktur dan kesalinghubungan yang menyeluruh". Saya menantikan dan percaya persidangan kali ini akan menyuntik kedinamikan baharu terhadap pembangunan Asia-Pasifik.

Sekuntum bunga kembang bukanlah musim bunga, seekor angsa liar tidak dapat membentuk baris. Mari kita mengambil Tasik Yanqi Beijing sebagai titik permulaan yang baharu, membimbing baris angsa liar bagi pembangunan ekonomi dunia, menuju ke langit yang lebih biru dan luas.


Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China