Cari:
Bahu-membahu Teroka Prospek Baharu Hubungan China-ASEAN
2014-11-11 17:49:04 CRI Cetak

Sempena menghadiri siri persidangan Asia Timur di Naypyidaw dan melakukan lawatan rasmi ke Myanmar, Perdana Menteri China, Li Keqiang telah menulis artikel yang bertajuk: Bahu-membahu Teroka Prospek Baharu Hubungan China-ASEAN. Artikel ini telah disiarkan melalui media-media utama di negara-negara ASEAN pada 11 November, antara akhbar Berita Harian Malaysia.

Artikel beliau seperti berikut:

Esok saya akan ke Myanmar untuk menghadiri siri persidangan pemimpin Asia Timur. Pemimpin dari 18 buah negara berkumpul di Naypyidaw, membincangkan kedamaian, pembangunan dan kerjasama Asia Timur, dan ini akan menarik perhatian sejagat. Saya menantikan kerjasama persahabatan antara China dengan ASEAN mengorah langkah baharu dan mencapai hasil yang memberangsangkan.

China berjiran dengan ASEAN, sempadan darat antara China dengan negara-negara ASEAN panjangnya lebih 4,000 kilometer. Kita mempunyai banyak persamaan budaya dan telah menjalinkan hubungan persahabatan yang rapat sejak zaman dahulu. Kita telah menjadi teladan interaksi pelbagai bangsa, agama dan budaya untuk saling melengkapi serta membangun bersama dalam sejarah tamadun Asia Timur. Pergerakan kemerdekaan bangsa yang berlaku pada zaman moden membuatkan nasib kita terikat dengan ketat. "Keajaiban Asia" pada tahun 1970-an dan 1980-an menarik tumpuan seluruh dunia dan ini berkait rapat dengan sumbangan China dan ASEAN. Dalam tempoh beberapa dekad yang lalu, China menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara ASEAN, dan hubungan kita semakin ditingkatkan sehingga ke tahap rakan strategik pada masa ini. Melalui usaha gigih bersama, kesalingpercayaan kita semakin ditingkatkan, kerjasama komprehensif dilaksanakan sehingga memberikan manfaat kepada rakyat pelbagai negara dan memangkin keamanan dan kemakmuran rantau Asia Timur.

China merupakan tonggak dalam memelihara kedamaian Asia Timur dan menyokong ASEAN memainkan peranan yang positif dalam menjaga kestabilan serantau. Dalam tempoh lebih 20 tahun setelah Perang Dingin berakhir, Asia Timur bangkit dengan pesat kerana kita jauh daripada peperangan dan pergolakan. Kita percaya bahawa saling menghormati dan hidup bersama secara aman merupakan prasyarat negara-negara mengekalkan hubungan baik, manakala mencari persamaan dan mengetepikan perbezaan serta bermuafakat secara sama kedudukan pula merupakan kaedah baik untuk menyelesaikan perselisihan. Antara pelbagai rakan dialog ASEAN, China merupakan negara pertama yang menganggotai Perjanjian Kerjasama Persahabatan Asia Tenggara, negara pertama yang menjalinkan hubungan rakan strategik dengan ASEAN, dan negara pertama yang menganjurkan untuk menandatangani Perjanjian Kerjasama Persahabatan Jiran Baik dengan ASEAN. Dengan wujudnya suasana serantau yang aman dan stabil, China dan negara-negara ASEAN dapat menumpukan perhatian terhadap pembangunan masing-masing dan mencapai kemakmuran negara.

Kerjasama China-ASEAN merupakan penjana bagi pembangunan rantau ini. China merupakan rakan dagang terbesar dan pelabur ketiga terbesar bagi ASEAN. China merupakan negara pertama yang memulakan rundingan kawasan perdagangan bebas dengan ASEAN dan berjaya membina kawasan perdagangan bebas terbesar yang dianggotai oleh negara-negara membangun di dunia. Pada tahun 2013, jumlah perdagangan China-ASEAN mencatat USD443.6 bilion manakala pelaburan pula mencatat USD120 bilion. Jumlah orang yang melakukan lawatan antara China dengan negara-negara ASEAN mencatat 18 juta. Hubungan perdagangan dan ekonomi kita yang rapat serta potensi pasaran yang besar telah menjadi tonggak utama yang merangsang pembangunan serantau, di samping menyuntik tenaga yang kuat terhadap kerjasama Asia Timur.

Rakan-rakan dari ASEAN selalu berkata bahawa antara rakan-rakan dialog ASEAN, China paling mementingkan dan menyokong ASEAN, paling banyak memberi perhatian dan mengemukakan cadangan kerjasama yang paling banyak kepada ASEAN. Kedua-dua pihak kita boleh dikatakan "rakan strategik semula jadi". Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, kerjasama China-ASEAN terus ditingkatkan. China dan ASEAN telah menjadi sebuah komuniti yang berkongsi nasib bersama dan saling bergantung. Hubungan antara China dengan ASEAN pula menjadi teladan kerjasama Asia Timur.

Dalam tempoh setahun yang lalu, China mencadangkan supaya China dan ASEAN bersama-sama membina Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21. Selain itu, China telah mengemukakan rangka kerjasama "2+7", yang meliputi dua konsensus politik dan kerjasama dalam tujuh bidang. Antaranya konsensus untuk mengeratkan kesalingpercayaan strategik, dan menumpukan perhatian dalam kerjasama ekonomi. Manakala kerjasama dalam tujuh bidang termasuk politik, ekonomi dan perdagangan, kesalinghubungan, kewangan, maritim, keselamatan dan sosiobudaya. Dalam tempoh setahun yang lalu, kerjasama China-ASEAN mencapai kemajuan yang amat besar. Dalam tiga suku tahun pertama tahun ini, jumlah perdagangan China-ASEAN mencatat USD346.6 bilion, meningkat 7.5% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Kita telah mencapai persepakatan mengenai penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) dan telah memulakan rundingan rasmi berkenaan. Program Taman Perindustrian Suzhou dan Kota Ekologi Tianjin China-Singapura berjalan lancar. Kedua-dua negara China dan Singapura sedang membincangkan program kerjasama antara kerajaan ketiga di China. Selain itu, program Taman Perindustrian Qinzhou dan Taman Perindustrian Kuantan usaha sama China dengan Malaysia serta zon kerjasama lintas sempadan China-Vietnam dan China-Myanmar dilaksanakan lancar, sementara kerjasama maritim China-Indonesia telah mencapai hasil yang cemerlang. Tahun ini merupakan Tahun Interaksi Kebudayaan China-ASEAN. Kita telah menganjurkan banyak aktiviti yang menarik untuk membantu rakyat kedua-dua pihak menghayati daya tarikan budaya Timur dan mewujudkan perpaduan dari hati ke hati.

Walaupun China mempunyai pertikaian dengan beberapa negara ASEAN dalam isu Laut China Selatan, namun pertikaian itu tidak patut menjejaskan kestabilan serantau dan hubungan kita secara amnya, dan juga tidak akan mempengaruhi kebebasan dan keselamatan pelayaran di Laut China Selatan. Pada tahun ini, kita telah mengadakan rundingan dan dialog tentang isu Laut China Selatan dan mencapai beberapa konsensus yang penting. Kita menekankan "panduan dua perkara" untuk menangani isu berkenaan, menganjurkan supaya pertikaian patut diselesaikan secara damai oleh negara-negara terlibat melalui rundingan dan permuafakatan, sementara China dan negara-negara ASEAN bersama-sama memelihara kedamaian dan kestabilan di Laut China Selatan. Asalkan kita berada pada landasan yang betul, mengekalkan dialog dan meningkatkan kerjasama maritim yang pragmatik, kita akan lebih yakin dan mampu menyelesaikan isu Laut China Selatan secara tuntas.

Sempena persidangan pemimpin Asia Timur kali ini, saya akan bertukar-tukar pandangan dengan pemimpin pelbagai negara tentang usaha meningkatkan kerjasama keselamatan, membincangkan penandatanganan Perjanjian Kerjasama Persahabatan Jiran Baik antara China dengan Negara-negara ASEAN, bersama-sama menyusun pelan tindakan ketiga Deklarasi Bersama Hubungan Perkongsian Strategik China-ASEAN ke Arah Kedamaian dan Kemakmuran, menggalakkan kerjasama pertahanan dan keselamatan bukan tradisional.

Kita akan berusaha untuk menyelesaikan penaiktarafan CAFTA dan pelbagai rundingan perdagangan bebas serantau seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sebelum penghujung tahun 2015. Ini diyakini dapat terus meningkatkan tahap liberalisasi dan pemudahan perdagangan dan pelaburan di rantau ini, dan mendorong integrasi ekonomi Asia Timur. Kita patut memanfaatkan pelbagai wadah penting seperti Ekspo China-ASEAN untuk menggalakkan kerjasama ekonomi dan perdagangan kedua-dua pihak.

China akan menggerakkan pengumpulan modal fasa kedua Tabung Kerjasama Pelaburan China-ASEAN. Selain itu, Bank Pembangunan Negara China akan menubuhkan pinjaman khas untuk pembangunan infrakstruktur China-ASEAN. Langkah-langkah ini akan memberi sokongan yang kukuh kepada kesalinghubungan infrakstruktur kedua-dua pihak.

Kerjasama maritim telah menjadi tumpuan baharu dalam kerjasama China-ASEAN. China mengesyorkan supaya tahun depan ditetapkan sebagai Tahun Kerjasama Maritim China-ASEAN. Kedua-dua pihak mempergiat kerjasama dalam bidang ekonomi maritim, sains dan teknologi maritim, perlindungan persekitaran maritim dan kesalinghubungan maritim supaya mendorong kemakmuran ekonomi bersama, memperluas kepentingan bersama, dan mengeratkan persahabatan rakyat kedua-dua pihak.

China bersedia meningkatkan bantuan kepada negara-negara ASEAN yang kurang maju, meningkatkan interaksi dan kerjasama dengan negara-negara di kawasan aliran Sungai Mekong dalam usaha membasmi kemiskinan dan pembangunan sosial, dan menyokong ASEAN mengurangkan jurang pembangunan dalaman.

Komuniti ASEAN akan siap dibina tahun depan. Ini amat bermakna kerana komuniti ini merupakan komuniti serantau yang pertama di Asia. China amat mengalu-alukan pembinaan komuniti ini. China akan terus mengutamakan hubungan dengan ASEAN dalam dasar luar terhadap negara-negara jiran. Kami secara teguh menyokong perpaduan dan pembangunan ASEAN, menyokong pembinaan Komuniti ASEAN, dan menyokong ASEAN memainkan peranan peneraju dalam kerjasama serantau.

China dan ASEAN bersama-sama memelihara kemakmuran dan kestabilan Asia Timur, di samping mendapat manfaat daripadanya. Kedua-dua pihak kita patut meningkatkan dialog dan penyelarasan, memperluas kepentingan bersama, dan membimbing negara-negara di rantau ini mengorak langkah ke arah komuniti Asia Timur. Kita juga mengalu-alukan negara-negara di luar rantau ini menyertai kerjasama Asia Timur supaya memberikan sumbangan demi kedamaian dan pembangunan Asia khasnya dan Asia-Pasifik amnya.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China