New York,
26 September 2015
Tuan-tuan pengerusi bersama,
Rakan-rakan sejawat yang dihormati,
Saya amat berbesar hati kerana dapat menghadiri sidang kemuncak ini. Bersempena dengan ulang tahun ke-70 penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), para pemimpin dunia berhimpun di New York untuk merencanakan pembangunan masa depan. Hal ini amat signifikan.
Pembangunan berkaitan dengan harapan dan kehidupan rakyat semua negara. Pembangunan juga simbol maruah dan hak bagi mereka. Dalam konteks ini, kita telah menetapkan Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) pada lebih 15 tahun lalu dalam usaha untuk membaiki kehidupan beratus-ratus juta rakyat.
Mengimbas kembali masa lalu, kita telah menyaksikan pertumbuhan mampan ekonomi global dan impak krisis kewangan antarabangsa. Kita telah menyaksikan kebangkitan negara-negara membangun dan juga menyedari realiti ketidakseimbangan pembangunan antara Utara dengan Selatan. Di sebalik kegembiraan atas kejayaan membawa lebih 1.1 bilion rakyat keluar daripada belenggu kemiskinan, kita tetap berasa bimbang tatkala melihat lebih 800 juta orang masih menderita kebuluran.
Pada peringkat global, keamanan dan pembangunan tetap menjadi tumpuan pada masa kini. Dalam menghadapi cabaran-cabaran bersifat global yang perlu kita tangani dengan baik, termasuk krisis pelarian Eropah, tiada jalan lain selain melalui keamanan dan pembangunan. Berdepan dengan pelbagai cabaran dan kesukaran, pembangunan adalah kunci yang mesti kita genggam. Hanya melalui pembangunan, kita dapat menghapuskan punca konflik, menjamin hak asasi rakyat dan memenuhi aspirasi semua pihak yang mengimpikan masa depan yang lebih cerah.
Tuan-tuan pengerusi bersama,
Rakan-rakan sejawat yang dihormati,
Agenda Pembangunan Pasca 2015 yang diluluskan dalam sidang kemuncak ini telah merangka cetak biru baharu untuk pembangunan global, sekali gus menyediakan peluang baharu dalam kerjasama antarabangsa. Kita perlu memanfaatkan titik permulaan baharu ini bagi meneroka laluan pembangunan yang adil, terbuka, komprehensif dan berorientasikan inovasi demi pembangunan bersama.
— Kita perlu menggalakkan pembangunan yang adil.
Semua negara patut mempunyai hak sama rata sebagai peserta, penyumbang dan penerima manfaat pembangunan global. Hak ini mesti dinikmati oleh semua negara secara adil, bukan hanya sesebuah atau sejumlah kecil negara. Meskipun wujud perbezaan dari segi keupayaan dan taraf pembangunan, namun dengan matlamat yang sama, semua negara perlu menggalas tanggungjawab yang sama, walaupun tidak serupa. Adalah penting untuk membaiki tadbir urus ekonomi global, meningkatkan perwakilan dan hak bersuara negara-negara membangun, serta memberi hak kepada semua negara untuk terlibat dalam penggubalan peraturan antarabangsa secara sama rata.
— Kita perlu menjamin pembangunan yang terbuka demi manfaat semua.
Dalam era globalisasi ekonomi, semua negara perlu membuka pintu dan mempermudah pengaliran faktor-faktor pengeluaran. Kita mesti bersama-sama memelihara sistem perdagangan multilateral, membangunkan ekonomi bersifat terbuka dan melaksanakan sepenuhnya prinsip berunding bersama, membangun bersama dan berkongsi. Kita perlu menghormati laluan pembangunan antara satu sama lain, saling menimba pengalaman dan memastikan agenda pembangunan masing-masing membuahkan hasil yang boleh dikongsi semua.
— Kita perlu memastikan pembangunan yang komprehensif demi mengukuhkan asas pembangunan.
Pembangunan akan membawa manfaat kepada rakyat. Ketika bertungkus-lumus membasmi kemiskinan dan menambah baik kesejahteraan rakyat, kita perlu mempertahankan kesamarataan dan keadilan sosial serta memastikan setiap individu mempunyai peluang pembangunan dan menikmati hasilnya. Usaha mesti dilakukan untuk menyeimbangkan pembangunan sosioekonomi dan alam sekitar bagi mewujudkan keharmonian antara manusia dengan masyarakat, dan manusia dengan alam.
— Kita perlu mendorong pembangunan yang berorientasikan inovasi untuk memaksimumkan potensinya.
Inovasi membawa kedinamikan dan menjana momentum. Hanya dengan meneruskan pembangunan, barulah masalah-masalah yang muncul dalam proses berkenaan dapat diselesaikan. Semua negara perlu memanfaatkan pembaharuan dan usaha inovasi untuk mencungkil potensi, mengukuhkan penjanaan pertumbuhan dan memupuk daya saing yang baharu.
Tuan-tuan pengerusi bersama,
Rakan-rakan sejawat yang dihormati,
Agenda Pembangunan Pasca 2015 merupakan senarai tugas berwawasan yang memerlukan komitmen yang tinggi. Seperti yang sering diperkatakan, nilai sesuatu rancangan terletak pada pelaksanaannya. Oleh itu, saya menyeru masyarakat antarabangsa supaya melipatgandakan usaha untuk melaksanakan agenda tersebut demi situasi menang-menang.
Pertama, meningkatkan keupayaan pembangunan pelbagai negara. Setelah mempertimbangkankan kesemuanya, pembangunan bergantung pada usaha sesebuah negara sendiri. Seperti pepatah Cina, "makan mengikut saiz perut dan pakai baju mengikut potongan badan sendiri". Jadi, setiap negara perlu menyusun strategi pembangunan yang sesuai dengan keadaan sendiri. Masyarakat antarabangsa diharap dapat membantu negara-negara membangun meningkatkan keupayaan, serta menyediakan sokongan dan bantuan mengikut keperluan sebenar negara-negara tersebut.
Kedua, membaiki persekitaran pembangunan antarabangsa. Keamanan dan pembangunan tidak boleh dipisahkan. Semua negara perlu berganding bahu memelihara keamanan sejagat, memanfaatkan keamanan untuk menggalakkan pembangunan, dan memanfaatkan pembangunan demi mengukuhkan keamanan. Pembangunan memerlukan persekitaran luaran yang kondusif. Institusi-institusi kewangan antarabangsa perlu mempercepat pembaharuan tadbir urus mereka, manakala agensi-agensi pembangunan multilateral hendaklah menambah sumber untuk pembangunan.
Ketiga, mengoptimumkan perkongsian pembangunan. Negara-negara maju perlu memenuhi komitmen dan kewajipan mereka tepat pada masanya. Manakala, masyarakat antarabangsa perlu berusaha memperkasakan kerjasama Selatan-Selatan dan kerjasama tiga pihak serta menggalakkan sektor swasta dan pemegang amanah lain memainkan peranan yang lebih besar dalam perkongsian berkenaan, selain mengekalkan kerjasama Utara-Selatan sebagai saluran kerjasama utama.
Keempat, mengukuhkan mekanisme penyelarasan dalam pembangunan. Semua negara perlu meningkatkan penyelarasan dasar ekonomi makro bagi mengelakkan kesan limpahan negatif. Pertubuhan-pertubuhan serantau hendaklah mempercepat proses integrasi dan memanfaatkan kesalinglengkapan kelebihan dalam rantau berkenaan bagi meningkatkan daya saing seluruh rantau. Dalam pada ini, PBB mesti terus memainkan peranan utama.
Tuan-tuan pengerusi bersama,
Rakan-rakan sejawat yang dihormati,
Dalam tempoh lebih 30 tahun sejak China melaksanakan dasar pembaharuan dan pintu terbuka, negara ini berjaya meneroka laluan pembangunan yang bercirikan China berdasarkan keadaan sendiri. China merealisasikan Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) lebih awal, dengan mengurangkan 439 juta penduduk miskin dan mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang pendidikan, kesihatan dan kebajikan wanita. Pembangunan China bukan sahaja menambah baik kesejahteraan lebih 1.3 bilion rakyatnya, malah memacu pembangunan sejagat.
Dalam tempoh enam dekad yang lalu, China giat terlibat dalam kerjasama antarabangsa. Negara ini telah menghulurkan bantuan bernilai hampir RMB 400 bilion kepada 166 buah negara dan pertubuhan antarabangsa, dan menghantar lebih 600 ribu petugas termasuk lebih 700 yang telah menggadaikan nyawa demi pembangunan negara lain.
Memandang ke hadapan, China akan terus meletakkan keadilan pada kedudukan yang lebih penting daripada kepentingan sendiri. China akan bergabung tenaga dengan negara-negara lain untuk merealisasikan Agenda Pembangunan Pasca 2015. Oleh itu, saya mengumumkan:
— China akan menubuhkan Tabung Bantuan Kerjasama Selatan-Selatan dengan dana awal sebanyak USD 2 bilion untuk membantu negara-negara membangun lain melaksanakan Agenda Pembangunan Pasca 2015.
— China akan terus menambah pelaburan di negara-negara yang kurang maju dengan menyasarkan jumlah pelaburan berkenaan mencapai USD 12 bilion menjelang tahun 2030.
— China akan melupuskan pinjaman tanpa bunga oleh negara-negara kurang maju, negara-negara membangun di pedalaman dan negara-negara pulau yang sedang membangun, yang masih belum dijelaskan dan perlu dijelaskan sebelum penghujung tahun 2015.
— China akan menubuhkan pusat sumber pembangunan antarabangsa bagi memudahkan pelbagai negara bersama-sama mengkaji strategi pembangunan dari segi teori dan praktikal yang bersesuaian dengan keadaan negara masing-masing.
— China menyarankan supaya usaha membangunkan rangkaian tenaga global dipertimbangkan bagi memenuhi permintaan dunia terhadap tenaga bersih dan hijau.
China juga bersedia untuk bekerjasama dengan pihak-pihak terlibat bagi mempercepat pembangunan "Jalur dan Laluan", operasi Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) dan Bank Pembangunan Baharu BRICS demi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan penambahbaikan kesejahteraan rakyat negara-negara membangun.
Tuan-tuan pengerusi bersama,
Rakan-rakan sejawat yang dihormati,
China komited untuk melaksanakan Agenda Pembangunan Pasca 2015 dan bersatu tenaga dengan dunia demi pembangunan sejagat.
Terima kasih.