Oleh Azrida Yusop
Baru beberapa hari berjauhan dengan Malaysia tanah tumpahnya darahku, sudah saya bayangkan imej dan haruman nasi lemak sambal sotong ditambah dengan telur mata, roti canai garing, mi goreng mamak dan nasi goreng kampung. Oh rindunya! Hari ini kumpulan kami dibawa menuju ke Restoran Halal Daximien Mi Tarik. Mungkin ini makanan kewajipan masyarakat tempatan pada setiap pagi, juga sarapan kami pada hari ini. Saya fikir inilah 'nasi lemak daun pisang' mereka.
Kami dimaklumkan perlu berjalan untuk ke restoran tersebut. Saya cuba mempositifkan diri kerana rupanya perjalanan itu agak jauh. Setiap 500 meter kami mendapati terdapat restoran mi tarik. Hampir sahaja saya dan beberapa rakan masuk ke restoran mi tarik lain kerana menyangka sudah sampai. Sejurus masuk ke ruangan restoran, aroma sup menusuk hidung. Suasana restoran ini juga cukup selesa dan luas. Sempat juga saya perhatikan orang awam termasuk pelayan disini, majoriti memiliki rupa paras yang baik dan berpewatakan sopan. Fikiran saya menerawang, kalau ada jodoh dengan orang disini pasti bakanya comel belaka. Pelayan menghidangkan satu persatu hidangan sampingan seperti daging sapi sejuk, kubis dan timun jeruk, serta cendawan.
Di satu sudut berkaca, tukang masak sibuk menarik tepung untuk dijadikan mi. Hebatnya usaha mereka untuk mengekalkan resipe turun temurun empat ribu tahun lamanya yang berasal dari provinsi Qinghai ini. Pelayan kemudiannya meletakkan mi tarik diisi dalam mangkuk besar. Di sini ia dijual antara 7 hingga 12 Yuen semangkuk. Menawan sungguh warna cili merah saga yang diletak bersama sup sebagai pembangkit rasa. Mi tariknya kenyal sedikit berbanding mi kuning Giant yang selalu saya beli di Malaysia. Sup pula cukup rasa namun mungkin sedikit masin bagi saya.
Daripada 600 ribu pengusaha dan penggiat industri mi tarik seluruh China, 250 ribu daripadanya adalah daripada Qinghai. Di seluruh negara ini, terdapat 30 ribu restoran dan kedai makan yang diusahakan penduduk asal provinsi ini. Jika umur panjang, ada rezeki saya pasti akan membawa keluarga saya makan disini lagi.
mitarik
|