Oleh Faizal Riduan
Apabila berkunjungan ke luar negara, saya akan cuba meluangkan masa untuk beriktikaf di masjid termasuk pernah bersolat Jumaat di Masjid Pusat Seoul, Korea Selatan.
Setelah terlepas peluang bersolat di Masjid Daxuexixiang, Xian sempena Kembara Laluan Sutera 2016 maka kesempatan mengunjungi Masjid Agung Dongguan, Xining pada waktu Solat Jumaat dimanfaatkan dengan permulaan solat sunat 'tahiyyatul masjid'.
Walau pun ruang tengah masjid tidak berbumbung dan panas dipanah matahari, tetapi terasa dingin di dalam badan bila menginsafi teguhnya masjid yang berusia 636 tahun dan Islam yang telah bertapak di China sejak 1,365 tahun yang lalu.
Alunan bacaan ayat-ayat suci dari suara Imam Besarnya Ma Changqing, 80 tahun yang lemah lesu dan sayup-sayup begitu sayu dan syahdu, menerobos masuk dari cerowong telinga sampai ke pintu hati.
Masjid Dongguan yang terbesar di provinsi Qinghai dan dibina pada tahun 1380 iaitu sejak zaman Dinasti Song Utara dan disempurnakan hingga ke zaman Dinasti Ming melambangkan keharmonian Islam berkembang subur dalam negara leluhur ajaran Buddha, Konfucius dan Tao.
Dengan dua menara dan sebuah kubah besar berwarna hijau pada pintu masuk utamanya, ia pemandangan biasa bagi masjid-masjid yang dipengaruhi rekabentuk Arab dan Asia Barat.
Rekabentuk Cina yang tersorok dalam ruang solat utama melambangkan jatidiri bangsa dan negara yang tiada tolok bandingnya.