Cari:
Menikmati Keindahan Tasik Qinghai
2016-07-31 14:56:22 CRI Cetak

Azman Anuar, Mingguan Malaysia

Selepas Kembara Laluan Sutera 2015 di Xian, Jiayuguan dan Dunhuang, saya bersyukur kerana diberi peluang menyambung misi pengembaraan ini ke Provinci Qinghai, barat China pula.

Teruja di hati untuk melihat lagi keindahan dan keunikan negara China yang kaya dengan pusat tarikan pelancongan termasuk keindahan muka buminya, senibina kuno yang megah, haiwan dan tumbuhan aneh serta pelbagai struktur dan tapak bersejarah.

Provinci Qinghai yang bersempadan dengan Gansu di timur laut, Wilayah Autonomi Xinjiang di barat laut, Sichuan di tenggara, dan Wilayah Autonomi Tibet di barat daya pun ada keistimewaannya.

Selepas dua hari berada di ibu kota Qinghai iaitu Xining, rombongan Kembara Laluan Sutera 2016 yang terdiri daripada tujuh wartawan Malaysia dan tiga dari Indonesia bersama-sama sembilan wartawan China Radio International (CRI), menjelajah ke Tasik Qinghai yang mengambil masa perjalanan lebih tiga jam.

Rupa-rupanya nama wilayah ini diambil sempena nama Tasik Qinghai yang besar itu. Saya juga tidak sangka tasik ini adalah tasik air masin terbesar di China. Kawasan sekelilingnya terdiri daripada padang rumput dan diduduki oleh etnik Tibet.

Tasik ini meliputi keluasan 105 km panjang dan 63 km lebar dan permukaan kawasannya lebih 30,000 km persegi. Istimewa Tasik Qinghai ialah terletak di altitut 3,000 meter dari paras laut.

Oleh sebab musim cuti sekolah dan musim panas bermula, maka sepanjang perjalanan penuh sesak dengan kenderaan menuju ke Tasik Qinghai. Hati puas apabila disajikan dengan panorama gunung-ganang dan tumbuhan renik menghijau dan berbunga kuning yang menutupi buminya yang landai.

Ribuan kenderaan parkir di tepian jalan sekitar Tasik Qinghai. Bermakna ratusan ribu orang mahu merasai keunikan di sini dengan cuaca yang berangin, mengurangkan panas matahari.

Pengunjung boleh menaiki bot atau kapal mengelilingi 10 peratus perairan tasik itu. Kemudian kembali ke pangkalan dengan menaiki bas yang disediakan.

Bagi pelancong Islam, soal makanan halal tidak lagi menjadi masalah utama kerana banyak restoran halal ada di sini. Begitu juga kemudahan hotel baru giat dibina dan kemudahan untuk perkemahan turut diperbanyakkan.

Sepanjang perjalanan, saya kagum melihat laluan sutera di sini sudah moden. Etnik Tibet yang masih menghuni kawasan pergunungan ini pun tidak lagi menunggang haiwan seperti lembu dipanggil Yark, sebaliknya tunggang motosikal atau kenderaan moden lain. Mereka mendapat nikmat kemakmuran dasar Satu Jalur Satu Laluan Kerajaan China.

Kerajaan China memang serius dalam memodenkan laluan sutera. Tidak perlu kami mendaki bukit dan gunung atau menyusuri lereng sebab banyak terowong dibina.

Gunung batu ditebuk menjadi terowong! Memang dahsyat teknologi dan pembangunan China.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China