Naib Menteri Luar China, Song Tao yang menghadiri Sidang Kemuncak Jawatankuasa Sungai Mekong (MRC) Pertama di Hua Hin, Thailand semalam berkata bahawa pandangan mengenai "penerokaan hidro elektrik China di Sungai Lancang mengakibatkan turunnya paras air Sungai Mekong" tidak mempunyai asas saintifik. Negara-negara di Sungai Mekong dan MRC juga bersetuju dengan penjelasan Song Tao itu.
Ketika diwawancara oleh media China di Thailand, Song Tao menyatakan bahawa kawasan aliran Sungai Lancang-Mekong, termasuk kawasan barat daya China mengalami bencana kemarau yang amat teruk baru-baru ini. Kerajaan China dapat memahami perasaan negara-negara di kawasan hilir sungai tersebut, dan mengambil inisiatif untuk berbincang dan bertukar-tukar maklumat lebih banyak dengan negara-negara di subkawasan untuk bersama-sama mengatasi bencana tersebut. Terdapat maklumat yang saintifik yang menunjukkan bahawa bencana kemarau yang menjadi punca yang mengakibatkan turunnya paras air Sungai Mekong. Kata Song Tao,
"Pertama, aliran Sungai Lancang di China hanya merupakan 13.5% daripada jumlah seluruh aliran Sungai Mekong. 86.5% lagi berasal dari cawangannya di luar wilayah China. Bencana kemarau yang teruk kali ini mengakibatkan kurangnya jumlah air cawangan Sungai Mekong di luar China, dan ini mengakibatkan paras air di sungai tersebut turun."
Menurut Song Tao, penerokaan hidro elektrik China di Sungai Lancang sebenarnya hanya menghabiskan sedikit air sahaja, maka ia tidak mungkin mengakibatkan paras air Sungai Mekong turun.
(Naib Menteri Luar China, Song Tao dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MRC, Jeremy Bird)
Pada hakikatnya, pihak-pihak terbabit, termasuk negara-negara di hilir Sungai Mekong dan MRC mempunyai pemahaman yang objektif dan santifik pula mengenai hal ini. Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MRC, Jeremy Bird berkata,
"Kami mengkaji aliran air dengan empangan dan tanpa empangan, dan menghasilkan sebuah laporan pada awal bulan Mac lalu. Kami memdapat kesimpulan bahawa empangan China tidak mengakibatkan paras air Sungai Mekong turun. Punca yang sebenarnya ialah kekurangan hujan yang amat sangat dan berakhirnya musim hujan dengan lebih awal. Jumlah air pada musim hujan pada tahun yang lalu juga kurang, dan jumlah hujan pada musim kemarau berikutnya pula merosot 30% hingga 40%."
Menurut beliau, pembinaan empangan hidro elektrik merupakan topik yang amat sensitif, kerana ia memberikan kesan positif dan negatif kepada kawasan sekitarnya, baik di kawasan hulu mahupun di hilirnya. Namun, berdasarkan analisis MRC, empangan China didapati tidak memberikan kesan negatif dalam musim kemarau ini atau ketika bencana banjir berlaku di China pada bulan Ogos tahun 2008.
Bencana kemarau kali ini juga memberikan kesan negatif kepada China. Seramai lebih 23 juta orang di kawasan barat daya China menghadapi masalah kekurangan air minum.
Menurut Song Tao, sumber air di Sungai Lancang-Mekong merupakan harta yang berharga bagi negara-negara di Subkawasan Mekong. Penerokaan sumber yang dilaksanakan secara saintifik, rasional dan beransur-ansur itu merupakan keperluan rakyat di subkawasan tersebut untuk membebaskan diri daripada kemiskinan, memperbaiki taraf hidup, dan membangunkan ekonomi. Ini juga merupakan tindakan penting bagi kawasan tersebut untuk melindungi alam sekitar, mengekalkan pembangunan berterusan dan menangani perubahan iklim global.
(Naib Menteri Luar China, Song Tao dan Menteri Luar Thailand, Kasit Piromya)
Badan berkenaan China telah menyediakan bahan hidrologi Sungai Lancang kepada MRC mulai dari 22 Mac lalu. Menteri Luar Thailand, Kasit Piromya menghargai tindakan China ini. Kata beliau,
"Bencana kemarau merupakan cabaran yang dihadapi bersama oleh semua negara di Sungai Mekong. Maka, pihak-pihak yang terlibat perlu membincangkan kaedah penyelesaiannya bersama-sama, dan menimbangkanfaktor yang terlibat dan kesannya dari pelbagai aspek. Sungai Mekong merupakan sungai bersama bagi enam buah negara kita. Tindakan mengkritik mana-mana negara tidaklah betul dan tidak bermakna. Kita perlu berkongsi sumber dan pengalaman, dan berusaha mendorong perkembangan kerjasama sungai Mekong."