Aktiviti "Pameran dan Persembahan Budaya Islam China-Indonesia 2010" yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Agama Islam China dan Majlis Ulama Indonesia(MUI) telah diadakan di Jakarta, Indonesia bermula 23 Julai lalu. Aktiviti yang berlangsung selama 3 hari itu diadakan sempena ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan diplomatik China-Indonesia, dan merupakan aktiviti interaksi budaya Islam yang julung kalinya diadakan oleh kedua-dua negara..
Upacara perasmian aktiviti itu telah dihadiri oleh 200 orang tokoh-tokoh agama, pegawai kerajaan dari kedua-dua negara, termasuk Ketua Pengarah Jabatan Hal-Ehwal Agama Negara China, Wang Zuoan, Presiden Persatuan Agama Islam China, Imam Besar Chen Guangyuan dan Menteri Keagamaan Indonesia Suryadharma Ali. Ketika berucap menjelaskan mengenai perkembangan agama Islam di China, Wang Zuoan menyifatkan budaya Islam sebagai salah satu komponen yang amat penting dalam kebudayaan bangsa China. Kata beliau: "Agama Islam disebarkan ke China 1300 tahun yang lalu. Perkembangan agama Islam di China menghasilkan budaya Islam yang amat istimewa di negara ini dan mencatat sebahagian penting dalam tamadun bangsa China. Persembahan kali ini membolehkan penonton Indonesia mengetahui sejarah perkembangan agama Islam di China dan menghayati budaya Islam China yang penuh istimewa dan menarik."
Menteri Keagamaan Indonesia, Suryadharma Ali ketika berucap dalam upacara perasmian itu berkata: "Saya mewakili kerajaan Indonesia mengucapkan tahniah kepada penganjuran aktiviti 'Pameran dan Persembahan Budaya Islam China-Indonesia 2010' dan menyampaikan penghormatan yang tinggi kepada pihak-pihak penganjur. Aktiviti yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan diplomatik kedua-dua negara ini pastinya akan terus menerajui interaksi persahabatan rakyat Indonesia dan China dan membantu meningkatkan ke fahaman budaya antara satu sama lain."
Pameran dan Persembahan Budaya Islam China-Indonesia 2010 kali ini merangkumi pameran yang kaya termasuk pameran 300 buah gambar yang menggambarkan sejarah perkembangan Islam di China serta ekonomi dan kebudayaan masyarakat Islam di negara ini. Selain itu, pameran artifak agama Islam China juga menjadi daya tarikan kepada pengunjung Indonesia. Antara bahan-bahan artifak yang dipamerkan termasuk bekas dupa tembikar yang bertulis dengan ayat-ayat kitab suci yang bersejarah lebih 300 tahun, pasu enamel kloisone yang digunakan oleh keluarga Muslim di China pada Abab ke-19 serta manuskrip Al-Quran yang bersejarah lama. Di samping itu, pameran kali ini juga merangkumi lebih 80 buah karya kaligrafi dan lukisan yang hasilkan oleh seniman Muslim di China.
Seorang pengunjung Indonesia selepas mengunjungi pameran itu berkata: "Pameran ini sungguh bagus. Saya baru mengetahui tentang kebudayaan Islam China meliputi seni kaligrafi yang begitu cantik dan menarik. Sebagai seorang penganut Islam, saya merasa bangga ketika melihat budaya Islam yang sungguh gemilang di China. Saya tidak sangka terdapat begitu ramai penduduk Islam di China."
Menurut Imam Besar Chen Guangyuan yang juga Presiden Persatuan Agama Islam China, aktiviti pameran dan persembahan kali ini berjaya memperlihatkan sejarah dan kebudayaan agama Islam di China secara menyeluruh kepada penduduk Indonesia. Kata beliau: "Saya berharap aktiviti ini dapat membantu meningkatkan persefahaman dan kerjasama umat Islam di kedua-dua negara, malah memperkukuh lagi hubungan persahabatan antara rakyat China-Indonesia yang sudah terjalin sejak sekian lama. Marilah kita berusaha bersama-sama mengembangkan persahabatan tradisional ini dengan konsep kedamaian, persahabatan, keharmonian dan kemajuan."