Cari:
China dan ASEAN Meneliti Kerjasama Industri selepas Ditubuhkannya CAFTA
2010-09-24 15:36:23 CRI Cetak

Hubungan perdagangan antara China dengan ASEAN memasuki "era tanpa tarif" dengan tertubuhnya Kawasan Perdagangan China-ASEAN(CAFTA) pada 1 Januari tahun ini. Kini, 93% produk yang diperdagangkan antara kedua-dua pihak telah menikmati status bebas tarif. Di samping memudahkan kegiatan dan pelaburan, CAFTA juga memberikan peluang yang amat baik kepada perusahaan serantau untuk mengadakan kerjasama dalam bidang pengeluaran dan pemprosesan, sehingga mewujudkan rantaian industri yang lebih berdaya saing di rantau ini.

Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN merupakan sebuah pasaran besar yang mempunyai 1.9 bilion orang pengguna dan dengan jumlah perdagangan sebanyak 4,500 bilion dolar Amerika. Selepas pembukaan pasaran antara satu sama lain, kerjasama antara perusahaan dalam bidang pengeluaran dianggap perkara yang amat penting untuk meningkatkan daya saing produk serantau dan mengelakkan persaingan yang tidak munasabah antara perusahaan kedua-dua pihak..

Ketika berucap dalam Persidangan Kerjasama Industri China-ASEAN Pertama yang diadakan di Kunming, Yunnan baru-baru ini, Kaunselor daripada Kementerian Perdagangan China, Zhang Kening berkata, perusahaan China dan negara ASEAN boleh memanfaatkan kemudahan dan dasar keutamaan daripada CAFTA untuk bekerjasama demi saling melengkapi. Dalam konteks ini, persatuan industri kedua-dua pihak perlu meningkatkan interaksi dan penyelarasan bagi memastikan sumber dan bahan mentah industri boleh digunakan secara rasional. Kata beliau: "Persatuan industri dalam pelbagai sektor perlu menyusun strategi pembangunan yang selaras dengan keadaan semasa dan menyumbang kepada perkembangan industri serantau yang sihat dan berterusan. Bagi perusahaan serantau, CAFTA akan mewujudkan sebuah pasaran yang serba baru di mana terdapatnya peluang dan juga cabaran. Oleh yang demikian, pengubahsuaian, kerjasama dan inovasi merupakan usaha yang perlu dilakukan oleh syarikat serantau untuk menghadapi persaingan dan merealisasikan perkembangan."

Penubuhan CAFTA telah menerajui kegiatan perdagangan antara China dengan ASEAN. Dalam tempoh 8 bulan pertama tahun ini, jumlah perdagangan dua hala China-ASEAN mencatat 185.4 bilion dolar Amerika, meningkat 47% berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Sementara itu, kerjasama antara perusahaan kedua-dua pihak bidang pengeluaran terus meningkat. Hasil kajian yang dibuat oleh Bank Pembangunan Asia menunjukkan bahawa sejak beroperasinya CAFTA pada 1 Januari lalu, kerjasama antara perusahaan China dan ASEAN dalam proses pengeluaran produk didapati amat berkesan, baik di peringkat bahan mentah dan juga proses pemprosesan. Menurut Ketua Jabatan Integrasi Pasaran Sekretariat ASEAN, Encik Subash Bose Pillai, syarikat-syarikat di rantau ini perlu mengambil peluang daripada CAFTA untuk mengambil bahagian dalam kerjasama industri serantau demi mencapai pembangunan bersama.

Naib Ketua Setiausaha Majlis Perniagaan China-ASEAN, Xu Ningning berpendapat bahawa CAFTA bukan bermakna membatalkan tarif perdagangan sahaja, tetapi juga akan mendorong pembentukan rantai industri yang lebih efisien di rantau ini. Maka, kerjasama antara perusahaan serantau perlu dilakukan. Kata beliau: "Penubuhan CAFTA menyasarkan matlamat untuk meningkatkan daya produktiviti dan daya saing perusahaan serantau. Matlamat ini boleh dicapai dengan membatalkan tarif perdagangan, membuka pasaran dan menjalin kerjasama yang lebih rapat antara satu sama lain. Kini, kerjasama industri dalam pelbagai sektor amat mendesak dilakukan antara China dengan ASEAN. Dalam konteks ini, persatuan industri dan perdagangan kedua-dua pihak perlu mengadakan perbincangann dan menyusun rancangan kerjasama supaya perusahaan kedua-dua pihak boleh saling melengkapi dan menggunakan sumber dengan lebih efisien."

Pembatalan tarif kargo membolehkan perusahaan serantau untuk memperoleh bahan mentah yang lebih murah. Selain itu, kerjasama dalam proses pengeluaran dan eksport akan membantu menurunkan lagi kos pengeluaran dan meningkatkan kualiti produk. Presiden Persatuan Tekstil Indonesia, Encik Ade Sudradjat Usman berkata: "Perusahaan China dan ASEAN yang mempunyai kelebihan masing-masing boleh bekerjasama untuk saling melengkapi dan meneroka pasaran antarabangsa. Perusahaan tekstil China boleh melabur dan menubuhkan kilang mereka di beberapa negara ASEAN seperti Indonesia, Kemboja dan Vietnam. Dengan ini, kain-kain buatan China boleh dibawa ke negara-negara tersebut untuk diproses. Hal ini bukan sahaja berfaedah untuk mengurangkan kos pengeluaran, tetap juga akan merancakkan interaksi antara sektor tekstil dan berkongsi pengalaman antara satu sama lain.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China