Ekspo China-ASEAN ke-7 selama 6 hari telah dirasmikan di Nanning, Guangxi China hari ini. Ekspo kali ini bertema "Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) dan pelauang baru". Ketua Setiausaha Sekretariat Ekspo China-ASEAN, Zheng Junjian memaklumkan bahawa ekspo itu telah mencapai kejayaan yang besar sejak ia mula diadakan di Nanning pada tahun 2004, dan juga menggalakkan pembangunan CAFTA.
Dalam tempoh enam tahun yang lalu, jumlah perdagangan dua hala telah meningkat sekali ganda daripada 105.9 bilion dolar Amerika kepada lebih 213 bilion dolar Amerika. Sejak "Perjanjian Perdagangan Barangan" CAFTA ditandatangani pada tahun 2004, hingga CAFTA itu siap dibina pada tahun 2010, terbukalah kawasan perdagangan bebas negara-negara membangun yang paling besar yang akan memberi manfaat kepada 1.9 bilion penduduk dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menghampiri 6,000 bilion dolar Amerika, dan jumlah perdagangan menyeluruh mencatat angka 4,500 bilion dolar Amerika. Kejayaan yang dicapai itu bergantung pada wadah yang penting, iaitu Ekspo China-ASEAN.
Sejak ekspo yang pertama diadakan pada tahun 2004, ia telah menarik seramai 216.4 ribu orang pengunjung dan pedagang dengan jumlah perdagangan yang dicapai mencecah 8.171 bilion dolar Amerika.
Selain itu, pelaburan antara China dengan ASEAN pula terus meningkat. Perdagangan dua hala pada pertengahan tahun pertama 2010 mencatat jumlah 136.5 bilion dolar Amerika, meningkat 55% berbanding dengan tempoh yang sama tahun 2009. Zheng Junjian menyatakan bahawa Ekspo China-ASEAN berkait rapat dengan pembangunan CAFTA, dan telah menjadi pemacu bagi pembangunan kawasan perdagangan bebas yang ketiga terbesar di seluruh dunia.
Ekspo China-ASEAN ke-7 telah menarik banyak syarikat dari dalam dan luar negara. Gerai pameran yang ditempah mencatat angka 5,360 buah, meningkat 34% daripada jumlah yang dirancangkan pada awalnya.
Naib Presiden Akademi Sains Sosial Guangxi, Gu Xiaosong berkata, tindakan menghapuskan halangan pelaburan telah ditingkatkan selepas CAFTA siap dibina. Ini menyediakan peluang bagi syarikat China untuk melabur di negara Asia Tenggara. Anggota ASEAN mempunyai sumber tenaga petroleum, kayu dan arang batu. Namun taraf perindustriannya amat rendah dan penggunaan sumber tenaga tersebut kurang berkesan. Walau bagaimanapun, tenaga manusia mencukupi di negara anggota ASEAN. Oleh itu, industri intensif buruh boleh dibangunkan.
Sebagai ekspo pertama selepas CAFTA siap dibina, lebih 10 aktiviti peringkat tinggi akan diadakan dalam tempoh berlangsungnya Ekspo China-ASEAN ke-7 ini, termasuk Forum Pemimpin Kerjasama dan Pembangunan Kewangan China-ASEAN, Dialog Pemimpin Negara ASEAN dengan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan China, Forum Kerjasama dan Pembangunan Elektrik China-ASEAN ke-3 dan Mesyuarat Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan Elektrik China-ASEAN, Dialog Strategik Kumpulan Pemikir China-ASEAN.
Naib Ketua Setiausaha Tetap China bagi Majlis perniagaan China-ASEAN, Xu Ningning menyatakan bahawa pihaknya akan terus menyempurnakan mekanisme untuk menganjurkan ekspo bersama-sama dan meningkatkan penyertaan negara anggota ASEAN. Walaupun jumlah perdagangan dua hala meningkat dengan cepat, namun lebih separuh daripada jumlah seluruh perdagangan tersebut adalah perdagangan antara China dengan Singapura dan Malaysia. Perdagangan antara China dengan negara anggota ASEAN baru tetap kurang banyak. Tambahan lagi, dalam perdagangan dua hala itu, kebanyakannya adalah perdagangan dalaman syarikat transnasional dan perdagangan transit.
Ahli penyelidik kanan institut Asia Timur Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr. Yang Mu berpendapat, Ekspo China-ASEAN perlu menimbangkan sepenuhnya kepentingan dan perbezaan antara pelbagai negara, menganalisis keperluan dan perbezaan yang dihadapi oleh negara-negara tersebut.