Usahawan, sarjana dan pegawai kerajaan dari China dan 10 buah negara anggota ASEAN yang sedang menyertai Ekspo China-ASEAN ke-7 di Nanning, Guangxi bersetuju bahawa bayaran bagi perdagangan dua hala dengan mata wang RMB antara China dengan ASEAN akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam bidang kewangan.
Usahawan dari Vietnam, Pham Quang Vu menyediakan gerai pameran yang agak menarik dalam ekspo kali ini usaha untuk mempromosi kopi yang dihasilkan oleh syarikatnya. Beliau amat menyokong untuk menggunakan RMB dan Dong Vietnam sebagai mata wang urus niaga. Menurut beliau, nilai dolar Amerika yang tidak stabil telah menjejaskan urus niaga syarikatnya.
Penolong Gabenor Bank Rakyat China, Li Dongrong menyatakan bahawa wujudnya Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN telah meletakkan asas yang kukuh bagi kerjasama kewangan di rantau ini. Masa depan kerjasama antara China dengan ASEAN dalam bidang kewangan amat cerah. Menurut beliau, bayaran dengan mata wang RMB dalam lingkungan yang semakin meluas telah memudahkan perdagangan dan pelaburan di rantau ini serta meningkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua pihak.
Pada bulan Julai 2009, percubaan awal bayaran bagi perdagangan transnasional dengan mata wang RMB telah dilaksanakan di 4 buah bandar raya di China. Selepas itu, RMB telah digunakan sebagai mata wang urus niaga antara Tanah Besar China dengan Hong Kong, Makau dan negara-negara ASEAN. Sehingga akhir bulan September yang lalu, pelbagai bank di China telah menguruskan bayaran bagi perdagangan antarabangsa dengan RMB yang sberjumlah 197.1 bilion yuan. Bank-bank di Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi pula telah menguruskan bayaran perdagangan antarabangsa dengan RMB berjumlah 5 bilion yuan, 90% daripadanya adalah perdagangan dengan negara-negara ASEAN.
Li Dongrong berkata, Bank Rakyat China akan terus menggalakkan penggunaan mata wang masing-masing dalam perdagangan dua hala untuk memudahkan urusan perdagangan dan pelaburan. Selain itu, pihaknya akan memeterai perjanjian tukaran mata wang masing-masing dengan negara-negara berkaitan menurut keperluannya dalam hubungan luar.
Pegawai dari Persatuan Industri dan Perdagangan Singapura, Zhang Caihong berkata, perdagangan antarabangsa kebanyakan menggunakan dolar Amerika pada masa ini. Dengan semakin antarabangsanya RMB, China dan ASEAN telah mengadakan kerjasama untuk mendorong pertumbuhan ekonomi serantau dan keadaan ini juga memberi faedah kepada ekonomi dunia.
Presiden Institut Kedamaian dan Kerjasama Kemboja, Norodom Serivuth berkata, negara-negara di dunia berusaha menstabilkan ekonomi masing-masing ketika membaharui mekanisme kadar tukaran mata wang. Pembaharuan terhadap mekanisme kadar tukaran RMB juga perlu berasaskan bekalan dan permintaan pasaran serta memelihara kestabilan dan keseimbangan kadar tukaran mata wang tersebut.