Kerjasama antara China dengan negara-negara ASEAN dalam bidang pendidikan kini semakin erat dengan jumlah pelajar China yang melanjutkan pengajian di rantau ASEAN terus bertambah. Negara ASEAN disambut baik oleh pelajar China kerana kemudahan dari segi kos kehidupan dan kos pengajian yang lebih murah, iaitu hanya 1/4 berbanding A.S. dan negara Eropah.
Liu Ziqing, pelajar sekolah menengah di Guangxi berhasrat untuk melanjutkan pengajiannya di Malaysia atau Singapura pada masa depan. "Bagi keluarga yang berpendapatan sederhana, Malaysia dan Singapura merupakan tempat terbaik untuk menghantar anak mereka melanjutkan pengajian kerana tidak perlu menanggung kos pelajaran yang begitu mahal, malah ijazahnya juga dianggap berprestasi dan mendapat pengiktirafan yang baik."
Menurut statistik daripada Kementerian Pendidikan, pelajar China yang menuntut di luar negara mencatat jumlah yang paling ramai di dunia, iaitu 284 ribu orang pada tahun 2010, dan majoritinya menanggung sendiri kos pengajian.
Kini, jumlah pelajar China yang melanjutkan pengajian di Malaysia melebihi 10 ribu orang, yakni bilangan pelajar antarabangsa yang kedua terbesar di negara itu. Pelajar China yang menuntut di Thailand pula mencatat lebih 9,000 orang. Angka ini meningkat 10 kali ganda berbanding 2001, sekali gus menjadikan China sebagai tempat untuk menarik pelajar antarabangsa yang paling ramai bagi Thailand.
Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA) yang beroperasi pada awal tahun 2010 telah memacukan kerjasama pendidikan antara kedua-dua pihak. Menurut statistik daripada Sekretariat Ekspo China-ASEAN, jumlah pelajar dari negara-negara ASEAN yang menuntut di China telah mencecah 30 ribu orang. Manakala, hampir 70 ribu pelajar China melanjutkan pengajian mereka di rantau ASEAN. China berharap angka tersebut terus meningkat dan menyasarkan matlamat bagi menghantar dan menerima 100 ribu pelajar antara satu sama lain.
Bank-bank komersial di China juga menawarkan pinjaman kepada pelajar yang menuntut di luar negara. Pinjaman itu boleh diguna pakai untuk membiayai yuran pengajian, tiket kapal terbang malah sara hidup mereka di seberang laut.