Persidangan Asia Timur Forum Ekonomi Dunia Ke-20 yang bertemakan "Menyambut Globalisasi Baharu" telah berakhir di Jakarta, Indonesia semalam. Lebih 600 orang peserta, termasuk pegawai kerajaan dan tokoh-tokoh perniagaan dari 40 buah negara sepakat berpendapat, perkembangan ekonomi Asia tetap menghadapi pelbagai cabaran walaupun negara-negara di rantau ini mempunyai kedudukan yang semakin tinggi di arena ekonomi global.
Sebagai negara pengerusi bergilir ASEAN pada tahun ini, Indonesia menegaskan peranan penting yang dimainkan oleh negara Asia, khususnya negara di Asia Tenggara dalam memulihkan ekonomi global daripada krisis kewangan. Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dalam ucaptamanya berkata, "Sekarang masa Asia sudah tiba" selepas negara-negara di rantau ini berjaya mengatasi tempias hebat krisis kewangan dan memainkan peranannya dalam menimbangkan trend perkembangan ekonomi sejagat. ASEAN berkemampuan dan berkeyakinan untuk mengetengahkan prestasinya dalam proses globalisasi.
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pula berkata, Asia akan menjadi komponen penting di dunia pada abad ke-21. Tambah beliau, kemakmuran pembangunan China pada masa ini menunjukkan potensi yang amat besar.
Walau bagaimanapun, para peserta juga berpendapat ekonomi Asia tetap menghadapi pelbagai cabaran seperti kenaikan harga komoditi pukal, gejala inflasi, kenaikan kos buruh dan dasar monetari yang tidak menentu.
Menurut Ketua Pengarah Urusan Bank Pembangunan Asia, Rajat M Nag, gejala inflasi antara perkara yang membimbangkan dalam ekonomi makro di rantau Asia. Oleh itu, pelbagai negara perlu menjalankan pemantauan yang rapi terhadap gejala inflasi di samping berusaha mengelakkan kesan negatif daripadanya.
Pakar daripada Bank Dunia pula berpendapat, pertumbuhan ekonomi yang pesat di beberapa negara Asia-Pasifik memajukan sektor pengeksportan di rantau tersebut. Walau bagaimanapun, negara ekonomi baru muncul kini perlu meningkatkan permintaan dalam pasaran domestik, dan tidak boleh bergantung kepada pengeksportan sahaja berikutan pertumbuhan konomi negara maju kini yang semakin perlahan.