Cari:
Kerjasama Ekonomi Kawasan Pan Teluk Beibu Ke Arah Lebih Pragmatik
2011-09-02 13:19:23 CRI Cetak

Kerjasama Ekonomi Kawasan Pan Teluk Beibu antara China dengan negara-negara ASEAN yang terlibat kini melangkah ke peringkat yang semakin pragmatik. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Asia Kementerian Perdagangan China, Chen Zhou, kerjasama ekonomi antara negara-negara di Kawasan Pan Teluk Beibu menyumbang kepada peningkatan hubungan rakan strategik China-ASEAN pada keseluruhannya. Di samping itu, ia juga membantu merancakkan kerjasama ekonomi dan perdagangan kedua-dua pihak dan menerajui langkah ke arah integrasi ekonomi serantau berdasarkan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA).

Perisytiharan Sidang Kemuncak Pemikir Kawasan Pan Teluk Beibu telah dikemukakan oleh Dato' Dr. Michael Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi ASEAN dan Kepemimpinan dari Malaysia dalam satu forum berkenaan yang diadakan di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, China pada bulan Ogos lalu. Menurut Dato' Dr. Michael Yeoh, ekonomi dunia kini masih menghadapi pelbagai faktor yang tidak menentu. Oleh yang demikian, kerjasama dan integrasi serantau menjadi lebih penting kepada pembangunan negara-negara di sesebuah rantau tersebut. Maka, kerjasama ekonomi Kawasan Pan Teluk Beibu patut digalakkan demi mendorong pembangunan serantau pada masa ini.

Kini dikatakan sudah tiba masanya kerjasama ekonomi Kawasan Pan Teluk Beibu melangkah ke peringkat yang lebih pragmatik, kerana semua negara telah mencapai persetujuan dalam perkara tersebut. Selain itu, kerjasama ini juga sewajarnya ditingkatkan lagi memandangkan jumlah perdagangan antara China dengan negara-negara ASEAN di Kawasan Pan Teluk Beibu mewakili 90% daripada jumlah perdagangan keseluruhan China-ASEAN.

Menurut statistik daripada Kementerian Perdagangan China, China merupakan rakan perdagangan terbesar bagi ASEAN. Sementara itu, ASEAN pula telah menjadi rakan dagang ketiga terbesar bagi China pada setengah tahun pertama tahun ini.

Pembangunan "Koridor Ekonomi Nanning-Xingapura" antara satu program kerjasama yang mendapat sambutan baik daripada negara-negara di Kawasan Pan Teluk Beibu. Kumpulan pemikir dari negara-negara di sepanjang koridor tersebut telah mengeluarkan saranan untuk bekerjasama dalam program tersebut.

Guangxi, China yang bersempadan dengan Vietnam memainkan peranan penting dalam menerajui kerjasama dengan negara-negara Kawasan Pan Teluk Beibu, khususnya dalam menubuhkan zon kerjasama ekonomi merentasi sempadan dan zon industri bebas tarif. Di samping itu, China dan Malaysia juga telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah taman industri bersama di bandar Qinzhou, Guangxi.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China