Durian beku Malaysia dijangka mempunyai potensi pasaran yang luas di China berdasarkan jualan durian Musang King yang amat menggalakkan di China sejak awal bulan Oktober lalu. Demikian dinyatakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak dalam temu ramah dengan wartawan CRI ketika Ekspo China-ASEAN Ke-8 di Guangxi, China baru-baru ini.
Eskpo tersebut menarik penyertaan 132 buah syarikat Malaysia, yang 30% antaranya ialah syarikat makanan. Ini termasuk syarikat Le Moon Sdn Bhd, yang mengeksport durian beku dari negeri Sembilan. Pemilik syarikat itu, Encik Yap Min Keong pertama kali menyertai Ekspo China-ASEAN di Guangxi ini. Menurut beliau, sebelum datang beliau memang bimbang dengan penjualan produk duriannya semasa ekspo tersebut. Namun, kebimbangannya kini hilang sama sekali kerana gerai syarikatnya sentiasa dibanjiri para penghunjung, dan jualan duriannya amat memuaskan. Beliau berkata: "Tiada perbezaan yang besar antara rasa durian segar dengan durian beku seperti ini. Ini kerana durian kami akan dibekukan dalam masa satu jam selepas gugur dari pokok. Durian beku boleh disimpan di dalam peti sejuk selama dua tahun."
Pengurus Jabatan Pemasaran Syarikat Le Moon, Puan Lee Pooi Yee berkata, Ekpso China-ASEAN menjadi wadah yang sangat baik untuk mempromosi durian beku Malaysia. Pihaknya optimis dengan produk duriannya di China kerana ramai rakyat China dipercayai berminat terhadap buah tersebut. Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan(FAMA) badan yang mengendalikan pengeksportan durian Malaysia ke China. FAMA adalah satu-satunya badan yang mempunyai sijil AQSIQ yang diberikan oleh Jabatan Pemeriksaan Kualiti dan Kuarantin Negara China. Sijil itu diperlukan untuk mengeksport durian ke China. Dr. Tan Sue Sian, pegawai Syarikat Top Fruits Bhd yang mengusahakan makanan di Johor berkata, pihaknya menghadapi masalah dari segi logistik ketika mengeksport durian ke China. Ini kerana pengangkutan durian beku perlu harus dilakukan menurut piawaian AQSIQ, khususnya dalam keadaan yang suhu rendah.
Kini, dua jenis durian Malaysia dibawa ke China untuk menerokai pasaran yang potensinya amat besar di negara ini. Kedua-dua jenis durian itu ialah Musang King dan D24 yang sudah dibuktikan mempunyai sambutan yang amat baik di Malaysia. Menurut Dr. Tan Sue Sian, durian jenis tersebut mempunyai kualiti yang lebih stabil serta prestasi yang baik di pasaran antarabangsa. Oleh yang demikian, ia dijangka lebih mudah diterima oleh pelanggan di China.