Kerjasama ekonomi dan perdagangan antara China dengan Kemboja berkembang pesat berikuan penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA). Walaupun jumlah perdagangan dua hala ini bukan begitu besar, namun Kemboja tetap berusaha untuk menerokai potensi tiga sektor utama, iaitu industri pelancongan, pertanian dan pembuatan pakaian.
Kemboja merupakan negara yang terkenal dengan pemandangan alam semula jadi yang indah dan warisan budaya yang bersejarah. Industri pelancongan dianggap salah satu tonggak yang menerajui pertumbuhan ekonomi negara itu. Beberapa tapak peninggalan sejarah di Kemboja, seperti Angkor Wat menjadi daya tarikan kepada pelancong asing dari seluruh dunia. Menurus statisik, jumlah pelancong asing yang melawat Kemboja tetap meningkat dari setahun ke setahun, dengan pertambahan pelancong dari China yang amat ketara. Dalam lapan bulan pertama tahun ini, China merupakan negara sumber pelancong yang ketiga terbesar bagi Kemboja, selepas Vietnam dan Republik Korea. Naib Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Kemboja, Pak Sokhom berkata: "Pelancong China yang melawat Kemboja mencecah 158 ribu orang pada lapan bulan pertama tahun ini, meningkat 38% berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas. Kemboja berhasrat menarik lebih ramai pelancong China kerana industri pelancongan boleh menjana perkembangan beberapa sektor termasuk katering, perhotelan, dan juga membantu menambah peluang pekerjaan di negara ini."
Pertanian juga antara industri yang diberikan keutamaan kerajaan Kemboja untuk memajukan ekonomi negara itu. Kini, Kemboja menyasarkan untuk menjadi negara pengeksport beras utama di dunia dengan jumlah eksport beras sebanyak 1 juta tan pada tahun 2015. Naib Ketua Setiausaha Suruhanjaya Pelaburan dan Majlis Pembangunan Kemboja, Chea Vuthy berkata, pada lapan bulan pertama tahun ini, beras, produk pertanian, bahan kayu, getah dan perikanan antara barangan utama yang dieksport oleh Kemboja ke China. AS dan Eropah merupakan pasaran utama beras Kemboja sebelum ini. Kini, Kemboja sedang berusaha membawa berasnya menembusi pasaran Asia, termasuk China.
Industri pembuatan pakaian dan tekstil Kemboja kini juga berkembang pesat, dan mencapai pengeksportan bernilai lebih USD 3.1 bilion pada sembilan bulan pertama tahun ini. Pengerusi Persatuan Pengilang Pakaian Kemboja, Van Souleng berkata: "Kerjasama antara syarikat pengeluar pakaian China dan Kemboja semakin meningkat selepas penubuhan CAFTA. Kos buruh yang rendah dan keutamaan percukaian antara faktor utama yang menarik syarikat China melabur dalam sektor pembuatan pakaian di Kemboja."